Piala Malaysia 2019 sudah menjengah ke peringkat separuh akhir dan pertembungan antara Kedah dan Pahang pastinya memiliki tarikan yang tersendiri dek kerana kedua-dua pasukan punyai sejarah yang lama dalam saingan piala antara tertua di Asia ini.
Kedah layak ke separuh akhir selepas menundukkan PKNP FC dengan agregat besar 6-2 selepas membaham lawan yang agak liat untuk dijinakkan di Manjung itu di Darul Aman dengan keputusan 4-1, sementara Pahang pula mudah melepasi cabaran pasukan bermasalah gaji, Melaka United dengan agregat 6-1.
Juara empat kali, Kedah memiliki sedikit kelebihan kerana akan beraksi di hadapan penyokong sendiri terlebih dahulu disamping jika rekod baik mereka di Darul Aman dijadikan sandaran.
Rekod baik Kedah di Darul Aman
Hanya tewas sekali di Darul Aman sepanjang musim 2019 dalam semua pertandingan menjadi Kedah pasukan yang sukar untuk ditewaskan di gelanggang sendiri selain Johor Darul Ta’zim (JDT). Kedah tewas 0-2 kepada Terengganu FC pada Ogos lalu.
Dalam 19 perlawanan yang berlangsung di laman sendiri, Helang Merah menang 12 daripadanya iaitu 64% daripada keseluruhan aksi dan diikat dengan keputusan seri dalam enam perlawanan.
Sementara Tok Gajah, sepanjang musim ini telah mencatatkan 10 kemenangan daripada 18 perlawanan di gelanggang lawan iaitu 55% daripada keseluruhan aksi. Ia masih rekod yang agak baik. Namun, empat kali Pahang pernah ditundukkan di laman lawan.
Prestasi kedua-dua pasukan dalam lima aksi terkini di gelanggang sendiri (Kedah) dan gelanggang lawan (Pahang) adalah Kedah menang empat kali dan tewas sekali sementara Pahang pula meraih tiga kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Untuk aksi Liga Super di Darul Aman, kedua-dua pasukan bertemu pada pertengahan Jun lalu dan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan. Adakah keputusan yang sama bakal dicatatkan?
Edgar Bernhardt, David Rowley dan ‘The Sniper’
Kedah dan Pahang memiliki kualiti pemain yang hampir sama jika itu adalah perbandingannya namun berdasarkan prestasi terkini termasuk aksi persahabatan antarabangsa yang dilalui, kelihatan Edgar Bernhardt bakal menjadi sandaran tuan rumah – meledak hatrik membantu Kyrgyztan menang 7-0 ke atas Myanmar dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, baru-baru ini.
Selain itu, kebangkitan prestasi pemain kacukan Malaysia-Australia, David Rowley ketika saingan suku akhir tempohari – berhasil mencetak dua gol, juga wajar menjadi motivasi terbaik buat pemain yang sudah mula menempatkan diri selaku pilihan utama Aidil Sharin Sahak di jentera tengah Helang Merah.
Namun, jangan dilupakan kapten, Baddrol Bakhtiar yang mampu menjadi peledak selepas dikembalikan ke posisi asalnya di posisi sayap. Pemain yang digelar The Sniper dek kerana kebolehannya meledak daripada sudut jauh dan sukar itu setakat ini merupakan pemain yang memiliki enam assist – terbanyak di Piala Malaysia.
‘Drama’ Dollah Salleh
Di saat saingan Piala Malaysia menghampiri ke minggu akhir peringkat kumpulan, pengendali Pahang, Dollah Salleh dilihat tampil dengan imej baharu iaitu memanipulasi situasi pasukan menerusi media apabila acap kali mendendangkan masalah kecederaan dan penggantungan melanda kem Tok Gajah.
Sebagaimana ketika Dollah Salleh menyatakan kerisauan terhadap layangan kad kuning ketiga kepada Mohamadou Sumareh lantas direhatkan ketika bertemu Pulau Pinang. Pemain itu menerima kad kuning ketiganya dalam aksi suku akhir pertama dan Dollah Salleh dilaporkan geram dan kecewa dengan pemain tersebut.
Namun, dalam aksi timbal balik menentang Melaka United, kelibat Sumareh masih kelihatan di padang. Selepas itu, isu kecergasan dan kini, masalah kecederaan enam tonggak pula menjadi tajuk utama Pahang. Begitupun, kelebihannya adalah pasukan lawan akan gagal membaca kekuatan mereka untuk aksi seterusnya.
Dollah Salleh hampir pasti memiliki kesebelasan utamanya jika semua berita hanya ‘drama’ manipulasi untuk mengganggu persediaan Kedah. Kekuatan Tok Gajah adalah di koridor kanan yang melibatkan Matthew Davies dan Sumareh, selain kemampuan ledakan penyerang, Lazarus Kaimbi dan Dickson Nwakaeme.
Rekod lima tahun terkini di Piala Malaysia
Berdasarkan rekod terkini Piala Malaysia, Kedah lebih kerap muncul di separuh akhir. Sejak 2015, Helang Merah sudah empat kali layak ke separuh akhir, tiga kali ke pentas final dan sekali menjulang kejuaraan pada 2016. Sementara Pahang pula, hanya melangkah sekali dan terkandas apabila tewas kepada Selangor pada 2015.
Kedah sangat konsisten dalam pemburuan kejuaraan dan terbaru apabila berjaya menewaskan Perak di pentas akhir Piala FA 2019. Aidil Sharin turut boleh dilabel sebagai pakar kejohanan kalah mati selepas kejuaraan tersebut selain kejuaraan Piala AFC Zon Asean bersama kelab Singapura, Home United pada musim 2018.
Stadium Darul Aman dijangka akan dibanjiri penyokong apabila lebih 14,000 tiket telah terjual kelmarin. Ini bakal melonjak aura dan semangat Helang Merah. Adakah kita bakal menyaksikan pertembungan menarik kedua-dua pasukan pada malam nanti?