Previu Piala Malaysia 2019: Kedah Perlukan ‘Pakej Kejutan’ Jika Mahu Cipta Kemenangan

Pahang vs Kedah

Sebuah pertembungan yang menarik antara Pahang selaku tuan rumah menanti kunjungan Kedah di Stadium Darul Makmur pada malam nanti. Kelebihan lebih memihak kepada Tok Gajah dengan Helang Merah memerlukan satu keajaiban untuk menang.

Pastinya semua tahu yang Pahang sangat ampuh di laman sendiri dan berdepan Kedah dengan bekalan tiga gol daripada Darul Aman seakan-akan satu tugasan mudah buat Dollah Salleh. Untuk rekod, hanya sekali Pahang gagal meledak gol di laman sendiri iaitu ketika terikat tanpa jaringan bertemu Perak pada Mei lalu.

Penulis tetap dan masih percaya, ini satu misi mustahil buat Kedah untuk menidakkan peluang Pahang untuk melangkah buat kali ke sembilan ke pentas final Piala Malaysia – kali terakhir pada 2014.

Purata dua gol setiap perlawanan

Kali terakhir Kedah menang di Darul Makmur adalah pada Julai 2011, kira-kira lapan tahun lalu ketika dalam saingan Liga Super. Jaringan tunggal Fiqry Mat Isa memberikan kemenangan berharga kepada skuad yang dikenali dengan gelaran Sang Kenari ketika itu.

Kedah 2011
FOTO: Jeebsion

Selepas itu, juara lima kali Piala Malaysia itu gagal merekodkan sebarang kemenangan lagi. Dua kemenangan buat Pahang dan dua lagi keputusan seri memberi signal jelas tugas berat menanti Kedah pada perlawanan timbal balik ini. Adakah Aidil Sharin mampu merencana sesuatu untuk mengekang Tok Gajah?

Dalam 17 perlawanan yang dimainkan di Kuantan, Pahang berhasil meledak 39 gol dengan purata dua gol dalam setiap perlawanan. Menariknya, Pahang hanya melepaskan sembilan gol, satu catatan yang pastinya menambah kegusaran buat pengendali Kedah.

Dalam pertembungan Liga Super pada Mac lalu, Kedah tewas tipis 0-1 hasil jaringan pemain muda, Zuhair Aizat di minit ke-85.

Pemain tumpuan

Dollah Salleh dilaporkan binggung mengenai kesebelasan utama pasukan setelah memiliki semua pemain termasuk empat pemain yang tiada dalam aksi yang berlangsung di Darul Aman.

Kedah Pahang Piala Malaysia
FOTO: Pahang FA

Tok Gajah memiliki skuad yang baik dan mampu mengikut arahan taktikalnya sebagaimana yang dijelmakan Nor Azam Azih dan Wan Zaharulnizam yang berhasil meledak jaringan jarak jauh tempohari. Selain itu, pemain muda Indonesia, Saddil Ramdani dan gandingan penyerang import, Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi juga akan membuat barisan pertahanan Kedah sangat sibuk.

Selain itu, kombinasi di koridor kanan yang digerakkan Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh juga dilihat akan menghadirkan ancaman buat Kedah jika benteng Kedah terus longgar seperti perlawanan tempohari – ini turut diakui oleh Aidil Sharin.

Dalam analisis yang dikongsikan sebelum ini, penulis menyatakan pengendali Kedah memerlukan ‘lampu ajaib’ untuk perlawanan ini.  Ia merujuk kepada pemain yang mampu menjelmakan kejutan dan pemain tersebut harus ditampilkan sebagai pakej kejutan.

Di tangan Aidil Sharin terdapat beberapa pemain yang mungkin boleh menjadi senjata rahsia. Fadzrul Danel terutamanya, mampu untuk meledak jaringan sebagaimana ketika di pentas akhir Piala FA 2019 menentang Perak pada Julai lalu. Selain itu, Shakir Hamzah ataupun Fayadh Zulkifli juga boleh dipertimbangkannya.

Shakir Hamzah Kedah Pahang Piala Malaysia
FOTO: Kedah FA

Pemain tumpuan buat Helang Merah adalah kaptennya, Baddrol Bakhtiar selain Fernando Rodriguez yang telah mencetak dua gol di Darul Aman. Jonatan Bauman juga pastinya mahu membaiki kelemahannya selepas gagal dalam sepakan penaltinya.

Dollah Salleh sudah arif dan memahami ‘blue print’ Kedah, jadi Helang Merah memerlukan sedikit kelainan bagi mengucar-kacirkan perancangan Tok Gajah. Kejutan dalam kesebelasan utama memungkinan perkara ini untuk memerangkap Pahang.

Taktikal pasukan

Dollah Salleh gemarkan taktikal klasik iaitu 4-4-2 dengan penjaring terbanyak Piala Malaysia ketika ini, Dickson Nwakaeme dengan tujuh gol dan Lazarus Kaimbi akan mengemudi jentera serangan.

Kembalinya pertahanan tengah, Muslim Ahmad akan memberikan ruang kepada Safuwan Baharudin untuk bersama Nor Azam Azih mengemudi ‘jantung’ skuad Pahang. Selain itu, Saddil Ramdani juga besar kemungkinan bakal digantikan oleh Norshahrul Idlan.

Kedah pula sentiasa mengetengahkan formasi 4-2-3-1 dengan Fernando Rodriguez akan beroperasi sendirian di jentera serangan sambil dibantu oleh dua pemain sayap di kiri dan kanannya. Baddrol Bakhtiar dijangka akan kembali ke posisi tengah dan Zaquan Adha mungkin akan mengambil alih tempatnya.

Persoalannya, adakah Aidil Sharin akan mengambil risiko menukar posisi Shakir Hamzah ke bek kiri seperti posisinya bersama skuad Singapura? Jika ianya berlaku, Amirul Hisyam atau Khairul Helmi bakal menggalas tugas besar bersama Renan Alves.

Rumusan

Jika Aidil Sharin mahukan keputusan positif, Kedah harus tampil dengan pakej kejutan dalam kesebelasan utama. Dan pemain itulah yang penulis maksudkan sebagai ‘lampu ajaib’ sebelum ini.

Sementara untuk Pahang pula, ketika ini mereka sudah berasa selamat namun jika tidak berhati-hati ataupun terlebih yakin, Kedah mampu mengejutkan mereka di gelanggang mereka.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN