Manchester United akan berkunjung ke Stadium Wembley, berhadapan dengan Tottenham Hotspur untuk perlawanan peringkat separuh akhir Piala FA Inggeris. Pertandingan ini merupakan peluang terakhir untuk Jose Mourinho untuk memiliki kejuaraan pada musim ini.
Begitu juga kisahnya buat Tottenham Hotspur. Namun demikian Spurs berhadapan dengan perlawanan ini setelah dua keputusan mengecewakan di peringkat liga setelah dikecewakan oleh Manchester City dan Brighton & Hove Albion.
Manchester United
Setelah dikecewakan oleh West Bromwich Albion- keputusan yang turut mengesahkan Manchester City sebagai juara EPL, Manchester United bangkit untuk menang 2-0 ke atas Bournemouth.
Kemenangan di arena lawan itu sekaligus menjarakkan skuad The Red Devils sebanyak empat mata dengan Liverpool yang berada di tempat ke-3. Keputusan itu sudah tentu melegakan Jose Mourinho kerana pasukan kendalian beliau berada di landasan yang baik untuk menamatkan cabaran di tangga ke-2.
Prestasi United ketika menang ke atas Bournemouth turut memberi implikasi politik dalaman di bilik persalinan pasukan. Ketika Mourinho mempersoalkan komitmen sebahagian pemain setelah tumpas kepada The Baggies, tujuh pertukaran telah dilakukan oleh pengendali dari Portugal itu untuk perlawanan menentang Bournemouth.
Mourinho melihat perlawanan tersebut untuk memberi peluang kepada beberapa pemain untuk membuktikan diri, sebelum merebut tempat di dalam kesebelasan utama menentang Spurs.
Ander Herrera dan Paul Pogba dikekalkan daripada kekalahan pada Ahad lalu. Dan setelah turut dikritik oleh Mourinho, kedua-dua pemain menampilkan persembahan yang lebih baik sebagai tindak balas.
Isu utama di kem United pasti mengenai masa depan Paul Pogba dan hubungan pemain tersebut dengan Mourinho. Ironinya setelah dikritik oleh Paul Scholes, Mourinho menjadi individu pertama yang mempertahankan pemain tengah Perancis itu.
Setelah memastikan kedudukan kedua EPL berada di tangan mereka sendiri dalam minggu yang mendatang, tumpuan Mourinho dan anak buahnya pasti terarah kepada sainga Piala FA.
Sebelum mereka mahu mengimpikan untuk menjulang piala tersebut, mereka perlu terlebih dahulu menghalang cabaran daripada Mauricio Pochettino dan anak buahnya. Kemudian ianya sama ada Chelsea atau Southampton yang menunggu di perlawanan akhir.
Menuju perlawanan pada tengah malam ini (waktu Malaysia), United tidak dibolosi dalam 6 daripada 8 perlawanan Piala FA sebelum ini. Namun demikian, Spurs adalah pasukan yang mudah menewaskan mereka dengan jaringan 2-0 di venue yang sama di saingan EPL pada Januari lalu.
Perlawanan pada malam ini akan memberitahu sama ada skuad United pada hari ini benar-benar dahagakan kejuaraan atau pun tidak. Ujian komitmen?
Tottenham Hotspur
Setelah melalui satu lagi musim yang boleh dianggap sebagai kemajuan daripada segi taktikal dan hala tuju sebagai sebuah pasukan, musim Pochettino diancam oleh tanggapan ‘kegagalan’ menuju ke pengakhiran musim ini.
Spurs beraksi dengan cemerlang di UEFA Champions League dan turut menghasilkan 14 perlawanan tanpa kalah sejak Januari 2018.
Namun keputusan seri dan kekalahan dalam dua perlawanan terdahulu telah memberikan Chelsea sedikit harapan untuk kembali bersaing merebut kedudukan ke-4 EPL.
Spurs kelihatan serba tidak kena apabila tewas mudah di Wembley kepada Manchester City. Ini diikuti dengan aksi goyah apabila sekadar terikat 1-1 menentang Brighton pada Selasa lalu.
Tottenham Hotspur berkemungkinan besar akan menamatkan saingan EPL di tangga ke-4, sekaligus melayakkan diri ke saingan UCL pada musim hadapan.
Ia sudah cukup untuk dianggap musim yang berjaya buat Pochettino yang pasti akan terus bergelut memastikan pemain terbaiknya untuk kekal di White Hart Lane baharu pada musim hadapan.
Stadium Wembley sebenarnya adalah venue neutral untuk pertandingan Piala FA.
Walaupun beraksi sebagai tuan rumah di Wembley sepanjang musim ini di peringkat liga, adakalanya Spurs turut bergelut dengan persekitaran dalam beberapa perlawanan sebelum ini di sini.
Namun kejayaan mereka menewaskan Manchester United dengan mudah pada Januari lalu, seharusnya dijadikan aspek positif menuju ke perlawanan pada malam ini buat anak buah Pochettino.
Bukan taktikal atau fludity permainan sebagai sebuah pasukan yang dipersoalkan. Soalannya ialah sehingga bila kebijaksanaan taktikal dan fludity bola sepak milik Spurs akan diterjemahkan kepada kejuaraan dan trofi?
Barisan kemungkinan
Herrera dan Pogba seperti sudah memastikan diri mereka memperolehi kepercayaan daripada Mourinho selepas aksi menentang Bournemouth. Dan kedua-duanya hampir pasti akan digandingkan dengan Nemanja Matic membentuk sistem 3 pemain tengah. Marouane Fellaini akan dijadikan pemain gantian sekiranya diperlukan.
Alexis Sanchez yang disisihkan pada Rabu lalu, belum pasti sama ada akan dipanggil balik oleh Mourinho, dangan Lukaku dijangka sudah mengesahkan tempat sebagai penyerang tunggal, dan Marcus Rashford, Anthony Martial, Jesse Lingard, dan Juan Mata akan turut bersaing merebut dua lagi posisi sayap.
Spurs sebenarnya turut merehatkan beberapa pemain ketika perlawanan menentang Brigton. Kieran Tripper dijangka akan mengantikan Sege Aurier di bek kanan, dan Danny Rose masih mempunyai isu kecergasan di bek kiri.
Son Heung Min dijangka akan mengambil kembali posisi pemain tengah menyerang daripada Erik Lamela, dan Eric Dier dijangka akan menjadi pilihan digandingkan dengan Moussa Dembele. Dua lagi nama lain di bahagian tengah yang dimiliki oleh Pochettino ialah Victor Wanyama dan juga Mousa Sisoko.
Tom Alderweireld turut dijangka kembali di posisi bek tengah untuk digandingkan dengan Jan Vertogen, sambil Davinson Sanchez menjadi calon simpanan dan pilihan lain buat Pochettino.
Manchester United:
De Gea; Valencia, Bailly, Smalling, Young; Herrera, Matic, Pogba; Rashford, Lingard, Lukaku
Tottenham Hotspur
Lloris; Trippier, Alderweireld, Vertonghen, Davies; Dier, Dembele; Lamela, Alli, Eriksen; Kane
Rumusan
Siapakah yang akan melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2017/18? Mampukah Pochettino dan Tottenham Hotspur menamatkan kemarau trofi pada musim ini?
Atau adakah Jose Mourinho dan Manchester United akan meneruskan rentak kecemerlangan dengan kejuaraan sejak ketibaan pengendali Portugal itu di Old Trafford?