Beberapa hari saja lagi saingan Piala AFF 2020 akan membuka tirai dengan penyertaan 10 negara Asean untuk edisi kali ini.
Kumpulan A pula meletakkan juara lima kali iaitu Thailand, Myanmar, Singapura, Filipina, dan Timor Leste yang boleh dikatakan kumpulan maut pada edisi kali ini.
Thailand serba lengkap, Myanmar sedia mencabar
Untuk previu kali ini kita dapat menyaksikan pilihan utama terarah kepada pasukan Thailand yang serba lengkap pemain di segenap posisi.
Mereka mempunyai jurulatih baharu, Alexandre Polking setelah tugasan sebelum ini yang dipimpin Akira Nishino menemui kegagalan untuk skuad negara tersebut.
Polking bukan suatu nama asing dalam kejurulatihan bola sepak negara tersebut apabila sudah menapak sejak tahun 2012 lagi sebagai pembantu jurulatih skuad negara.
Beliau pastinya sudah mengenali para pemain dengan baik ditambah pula ada segelintir pemain Thailand sudah beraksi di pentas-pentas liga yang lebih tinggi dan menjadi aset penting buat skuad Gajah Perang tersebut.
Seterusnya pasukan Myanmar yang dianggap antara lawan terkuat bagi kumpulan A dilihat menyahut cabaran dengan baik untuk kempen kali ini.
Jurulatih, Antoine Hey dilihat mengambil pendekatan awal dengan menjadikan Turki sebagai kem latihan mereka serta sudah menjalankan perlawanan persahabatan bersama Indonesia di sana.
Pilihan pemain juga dilihat agak mantap walaupun ada segelintir pemain senior dikhabarkan sudah berehat untuk mewakili kempen Piala AFF kali ini seperti Aung Thu dan Kyaw Ko Ko.
Tuan rumah sedia tunjuk taring
Selepas itu, tuan rumah bagi kempen kali ini Singapura juga ada sesuatu yang menarik untuk dibincangkan skuad mereka.
Walaupun dua, tiga tahun ini pasukan Singapura tidak begitu menyerlah dalam arena bola sepak di Asia mahupun Asean, mereka mempunyai beberapa pemain yang bagus dan ada beraksi di Liga Malaysia.
Sentuhan jurulatih Tatsuma Yoshida yang sudah pun memulakan tugas sejak 2019 pastinya amat ditagih dalam membawa skuad ini melangkah lebih jauh.
Barisan pemain yang disenaraikan kali ini juga dilihat agak menarik walaupun masih ramai pemain senior yang sejak begitu lama masih membarisi skuad negara mereka.
Lebih menarik, skuad kali ini dibarisi oleh tiga anak kepada legenda Singapura iaitu Fandi Ahmad.
Irfan Fandi, Ikhsan Fandi dan Ilhan Fandi bersedia meneruska legasi yang ditinggalkan bapanya untuk menjulang Singapura ke takhta bola sepak Asia Tenggara.
Filipina pada edisi kali ini membariskan nama-nama pemain yang sangat menyerlah sepanjang bermain dengan pasukan masing-masing.
Kehadiran penjaga gol, Kevin Ray Mendoza yang menjuarai Piala Malaysia baru-baru ini pastinya akan menjadi perhatian pemerhati bola sepak.
Jurulatih The Azkals, Scott Cooper pastinya akan menggunakan peluang ini sebaiknya untuk melangkah lebih jauh pada edisi ke-13 apabila setiap posisi pemain beliau dilihat serba lengkap untuk mencabar kejuaraan Piala AFF musim ini.
Akhir sekali pasukan yang dianggap kerdil pada saingan Piala AFF kali ini iaitu Timor Leste.
Skuad The Rising Sun ini tidak begitu diberi perhatian dan persiapan skuad mereka juga tidak banyak dapat diperkatakan.
Namun skuad yang menggantikan pasukan Brunei dalam saingan Piala AFF kali ini dilihat mungkin menghadirkan kejutan jika setiap pasukan mengambil mudah ketika berdepan Timor Leste.
Apapun, saingan yang akan berlangsung pada 5 Disember ini akan menyaksikan bagaimana setiap pasukan mengharungi perlawanan masing-masing.
Sama ada kejutan akan berlaku atau segalanya berlaku seperti diramalkan atas kertas mengenai keputusan perlawanan.
Diharap segalanya akan berjalan lancar tanpa sebarang insiden seperti wabak Covid-19 menyerang mana-mana kem setiap negara.
Semoga berjaya buat kesemua pasukan.