Di atas kertas, Poland dan Colombia adalah pilihan utama untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati dari Kumpulan H.
Namun sebaliknya yang berlaku pada perlawanan pertama, yang sepatutnya dijadikan medan untuk memperolehi kelebihan awal.
Tatkala Poland dikejutkan Senegal 1-2 di Spartak Stadium, Colombia turut menanggung derita sama dikejutkan oleh jaguh Asia dengan jumlah jaringan yang sama.
Apa seterusnya untuk Poland dan Colombia? Matematikanya mudah. Pertemuan ini akan menentukan pasukan mana yang bakal meninggalkan Rusia lebih awal dari Kumpulan H.
Berikut adalah fakta-fakta pertemuan membabitkan kedua-dua pasukan menjelang perlawanan pada awal pagi nanti.
-
- Ini adalah pertama kali Poland dan Colombia bertemu di dalam perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah dalam perlawanan persahabatan di Chorzow, Poland. Ia berakhir dengan kemenangan 2-1 memihak kepada Colombia pada 2006.
- Colombia hanya merekodkan 2 kemenangan daripada 9 perlawanan Piala Dunia menentang wakil Eropah. Bakinya, Colombia tewas 5 dan seri 2 kali. Dua kemenangan tersebut direkodkan pada 1994 ke atas Switzerland dan juga Greece pada 2014.
- Poland tidak pernah mencatatkan keputusan seri menentang lawan dari Amerika Selatan dalam 9 perlawanan terakhir. Wakil Eropah ini mencatatkan 4 kemenangan, dan tewas 5 kali.
- Colombia tidak pernah tewas dua perlawanan pembukaan peringkat kumpulan dua kali berturut-turut kecuali pada Piala Dunia edisi 1994. Dalam kejohanan di USA itu, mereka dikecewakan oleh Romania dan juga pasukan tuan rumah.
- 19 perlawanan terakhir membabitkan Colombia di Piala Dunia menyaksikan jaringan tetap dihasilkan di setiap perlawanan.
- Poland tewas 7 daripada 9 perlawanan terakhir di Piala Dunia, dan gagal menjaringkan gol dalam 6 perlawanan tersebut.
- Poland juga gagal memperolehi clean sheet di dalam 9 perlawanan terakhir Piala Dunia sejak menewaskan Portugal 1-0 pada 1986.
- Juan Quintero menjadi pemain Colombia pertama menjaringkan gol dalam dua edisi Piala Dunia berbeza, dan kedua-duanya adalah dalam perlawanan pembukaan menentang Jepun.
- Robert Lewandowski mungkin gagal menjaringkan gol ketika berhadapan Senegal. Namun selepas merekodkan 21 gol daripada 16 perlawanan untuk Poland, beliau masih seorang penyerang yang wajar diberikan perhatian oleh mana-mana pemain pertahanan.
- Kad merah yang dilayangkan terhadap Carlos Sanchez dalam perlawanan menentang menentang Jepun adalah kad merah pertama kejohanan, juga merupakan yang pertama buat Colombia dalam sejarah Piala Dunia.
Pemain tumpuan
Perancang tengah Colombia, juga rakan sepasukan Lewandowski di Bayern Munich, James Rodriguez dijangka akan memulakan perlawanan ini setelah pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Di kem Poland, pemain pertahanan Kamil Glik turut disahkan cergas sepenuhnya daripada kecederaan bahu selepas tidak beraksi ketika menentang Senegal.
Kedua-dua pasukan turut menerima tekanan daripada penyokong di tanah air masing-masing untuk memastikan 3 mata di dalam genggaman untuk meneruskan cabaran Piala Dunia di Rusia.
Dua penyerang utama pasukan masing-masing, Robert Lewandowski (Poland) dan Radamel Falcao (Colombia) turut perlu mula menunjukkan apa yang mereka mampu lakukan demi memastikan kemaraan pasukan masing-masing.
Sepak mula
Hanya Sanchez yang disahkan tidak boleh beraksi kerana kad merah dalam perlawanan sebelumnya untuk Colombia. Tiada sebarang pergantungan dari kem Poland.
Tiada sebarang kecederaan turut dilaporkan daripada kedua-dua kem.
Ini adalah perlawanan antara hidup dan mati buat Colombia dan Poland. Mampukah mereka mencatatkan keputusan positif untuk memastikan kemaraan selepas ini?