Melaka United akan berhadapan dengan PJ City (sebelum ini dikenali sebagai MISC MIFA) dalam aksi pertama kedua-dua pasukan dalam Liga Super 2019.
Kualiti Melaka United
Seperti beberapa musim sebelum ini, Melaka United terus menjadi pasukan yang sangat aktif dalam jendela perpindahan. Musim ini mereka mendapatkan lebih daripada 15 pemain baharu (termasuk pemain yang diberikan kontrak tetap selepas pinjaman).
Pasukan Melaka United musim ini mendapatkan beberapa pemain tengah berpengaruh dalam Liga Super. Mereka adalah Safiq Rahim, Liridon Krasniqi dan Shukor Adan. Ramai pemerhati merasakan trio tengah ini berpotensi menjadi antara trio terbaik dalam persaingan kali ini.
Selain daripada itu mereka juga memiliki Nazrin Nawi dan R. Gopinathan untuk beroperasi di bahagian sayap. Di bahagian hadapan mereka ada penyerang yang sudah tahu akan Liga Malaysia iaitu Casagrande.
Casagrande mula beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada musim 2016 dimana beliau mewakili pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Perdana. Namun, pemain berusia 29 tahun ini hanya beraksi selama enam bulan bersama skuad The City Boys.
Casagrande sebelum ini bermain untuk KLFA dan kemudiannya Felcra FC. Ketika menyarung jersi Felcra FC beliau menjadi pemenang kasut emas Liga Perdana dengan 19 gol.
Melaka kini perlu untuk membentuk pasukan yang mantap dengan kualiti pemain yang ada. Zainal Abidin Hassan pastinya sedar, dengan senarai pemain yang beliau ada, pasukan Melaka United perlu menjadi antara pesaing pada musim ini.
Penampilan sulung PJ City
Ianya satu kisah yang penuh inspirasi. Kelab kecil ini berjaya mengorak langkah demi langkah dan akhirnya berjaya sampai ke Liga Super – pertandingan perdana dalam bola sepak Malaysia.
Pasukan PJ City bimbingan jurulatih berpengalaman, K. Devan dan diketuai oleh S. Subramanian.
S. Subramaniam menyuarakan keyakinannya untuk memberikan aksi terbaik dalam saingan musim ini.
Seterusnya PJ City diperkuatkan lagi oleh bekas pemain Selangor dan Kedah iaitu S. Veenod – serta tenaga import
Joshua Grommen (Flilpina) dan Pedro Henrique (Brazil). Selain itu PJ City mengekalkan Elizue dan Bae Beomgeun.
Namun begitu, mereka kehilangan Kpah Sherman – yang menjadi nadi penting pasukan mereka musim lalu. Sherman menyertai PKNS FC.
Rekod pertemuan
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 2015, dalam saingan Liga Perdana. Ketika itu Melaka United menjuarai Liga Perdana musim tersebut.
4 pertemuan terakhir Melaka United dan PJ City sebelum ini menyaksikan 2 dimenangi Melaka United – 1 dimenangi PJ City dan 1 lagi berakhir dengan keputusan seri.
Sebelum wisel
Ini perlawanan yang boleh dikatakan penuh muslihat untuk Melaka. PJ City musim lalu melakukan antara kejutan terbesar dengan menewaskan JDT. Jadi, Melaka United pastinya perlu merencana strategi terbaik untuk perlawanan ini.
PJ City sudah tentu selesa dengan label ‘under dog’ kerana ianya membuatkan mereka kurang tekanan. Dengan tambahan pemain ke dalam skuad yang ada, mereka sebenarnya berjaya melakukan perpindahan dengan baik.