Previu MSL: Tiga Mata Sulung Jadi Buruan Pahang & Kelantan Di Darul Makmur

Pahang dan Kelantan. Perlawanan ketiga bagi kedua-dua pasukan dalam tempoh kurang seminggu seakan menghimpit para pemain dalam mengekalkan prestasi untuk melakar kemenangan pertama saingan unifi Liga Super musim ini.

Selepas melalui 2 perlawanan, Pahang dan Kelantan masih gagal mencipta kemenangan meskipun berpeluang bermain di arena sendiri.

Prestasi semasa

180 minit tanpa sebarang jaringan bukanlah satu permulaan baik buat Pahang. Ianya adalah terburuk sejak musim 2016, walaupun pada ketika itu Pahang dibarisi skuad yang dilabel serba kekurangan.

Ketumpulan di bahagian serangan tatkala banyak peluang keemasan dicipta dalam 2 perlawanan sebelum ini mencerminkan betapa skuad kendalian Dollah Salleh perlu menekan butang panik untuk mencipta akaun jaringan malam ini.

Sumber: Pahang FA

Bagi anak-anak buah Sathit Bensoh pula, meskipun prestasi dalam 2 perlawanan lalu bukanlah yang terbaik, namun keupayaan mereka mendapatkan gol dalam 2 perlawanan sebelum ini, adalah perkhabaran positif untuk dibawa ke Kuantan.

Namun demikian, 3 gol yang dilepaskan sedikit merisaukan kem The Red Warriors, menampakkan kelemahan yang terdapat pada bahagian pertahanan Kelantan dalam menyerap asakan lawan.

Rekod pertemuan

Pada musim 2017, Kelantan menewaskan Pahang di Kuantan di Kuantan dengan kemenangan tipis 2-3.

Manakala pada musim 2016, disebalik pelbagai permasalahan dan situasi tidak menentu, Pahang tetap mampu menewaskan Kelantan dengan jaringan 4-3.

Pemain tumpuan

Heboh di medium laman sosial sejak beberapa hari lalu akan kemunculan Francis Forkey Doe yang sudah sebati dalam saingan Liga Malaysia sejak tahun 2012.

Beliau yang sudah kelihatan mulai menyertai kem latihan skuad Pahang dianggap sebagai jawapan kepada ketumpulan penyudah skuad Tok Gajah.

Namun demikian, kemunculan Forkey Doe dalam mengepalai jentera serangan Pahang, pasti akan bergantung kepada tahap kecergasan dan pemain tersbut yang akan dinilai sendiri oleh barisan kejurulatihan Pahang.

Penyerang import baharu Pahang, Francis Forkey Doe dijangka akan beraksi malam ini. FOTO: Pahang FA

 

Sehingga artikel ini ditulis, status Forkey Doe sebagai pemain import Pahang belum diketahui.

Manakala di kem Kelantan, Bruno Lopes dilihat semakin serasi bersama rakan sepasukan. Jaringan seawal minit ke-2 pada perlawanan pertama, Lopes dilihat bakal menjadi tumpuan pertahanan Pahang pada malam ini.

Selain daripada Lopes, Kelantan turut memiliki seorang lagi pemain import dari Korea Selatan, Do Dong Hyun yang setakat ini merupakan nadi utama jentera tengah Kelantan.

Selain pemain import, watak pemain tempatan seperti Muhammad Haikal Md Nazri dan Nik Akif Syahiran wajar diberikan tumpuan hasil dari persembahan yang menarik seperti dipamerkan pada dua perlawanan terdahulu.

Muhammad Haikal dilihat efektif di bahagian sayap kanan pasukan, sementara Nik Akif banyak membantu menggerakkan jentera serangan bersama Ferdinand Sinaga.

Rumusan

Perlawanan malam ini dijangka menarik kerana kedua-dua pasukan dalam usaha melakar kemenangan pertama pada musim ini.

Pahang pasti tidak mahu terus ketinggalan untuk berada di atas kelompok atas liga, dan peluang beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri pada malam ini pasti mahu dipergunakan sepenuhnya.

Bagi kem Kelantan, ini adalah peluang terbaik mereka membuktikan kepada peminat bahawa skuad sedia ada sudah bersedia untuk memberi cabaran pada musim ini.

Buat skuad Tok gajah dan The Red Warriors, selamat berjuang kami ucapkan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN