Previu MSL 2018: Gandingan Chan Vathanaka & Sumareh Ditagih Pacu Cabaran Tok Gajah

Musim 2017 yang lalu menunjukkan peningkatan yang agak dinamik berbanding ketika berada di musim sebelumnya pada 2016.

Dibarisi skuad di kalangan pemain yang pernah mewakili negara serta diadun dengan tenaga import yang berkaliber seperti Matheus Alves, sumbangan pemain-pemain ini segera menghadirkan impak.

Dinobat sebagai naib juara Liga Super, finalis Piala FA dan mara sehingga suku akhir Piala Malaysia meletakkan pasukan ini dalam kelas yang tersendiri.

Namun, semua ini cerita 2017. Musim baharu yang akan bermula tidak lama lagi bakal membawa lembaran baharu buat gergasi Pantai Timur ini.

Mampukah Pahang melakar kejayaan di Liga Malaysia 2018?

12 pemain meninggalkan pasukan

Menuju musim Liga Malaysia 2018, Pahang FA melakukan beberapa perubahan yang agak drastik.

12 pemain disahkan akan meninggalkan skuad Tok Gajah. Ianya adalah jumlah angka yang agak besar dan berkemungkinan memberi kesan kepada pasukan.

Tanpa beberapa pemain berpengalaman seperti Syamim Yahya, Joseph Kalang Tie, Ashari Samsudin, Christie Jayaselan dan Nurridzuan Abu Hasan,  sedikit sebanyak boleh mengganggu keserasian yang telah dibina pada musim sebelumnya.

Tempangnya Tok Gajah kemudian dikhabarkan dengan penghijrahan ayam tambatannya musim lalu, Matheus Alves yang telah mengesahkan akan menyertai Suwon FC dalam saingan K League.

Kehadiran Alves jelas memberi impak buat jentera serangan apabila pada musim lalu, Pahang berjaya memperbaiki pencapaian musim 2015 dengan jumlah peningkatan margin jaringan gol daripada 14 kepada 18 gol.

Kemasukan pemain baharu

Namun demikian, Pahang yakin kehadiran beberapa pemain berpengalaman yang lain, mampu membantu Pahang dalam memperbaiki pencapaian pada musim lalu.

Kemasukan Nor Shahrul Idlan Talaha dan Mohd Bunyamin Umar dilihat boleh menyumbang perkembangan pemain-pemain muda di dalam pasukan.

Beberapa muka baru dari skuad Piala Presiden musim lalu seperti Zuhair Aizat dan Shahrul Nizam serta beberapa lagi pemain muda sedia ada seperti Faisal Halim dan R Kogileswaran dilihat bakal menjadi sandaran Pahang pada musim hadapan.

Kuota pemain import

Dua awang import yang awal-awal lagi mengesahkan tempat bersama pasukan seperti Safuwan Baharudin dan Chan Vathanaka bukanlah nama kecil dalam senario bola sepak di Asia.

Kehadiran 2 pemain ini yang mengisi kuota import Asia dan Asean dipercayai mampu membantu Pahang, setelah tiba menyertai skuad Tok Gajah dengan reputasi hebat.

Sumber: Fox Sport Asia

Cuma tinggal 2 lagi slot pemain import yang masih lagi belum disahkan dan beberapa siri perlawanan ujian di Terengganu dilihat medan yang sesuai untuk menilai calon-calon yang difikirkan sesuai.

Sehingga artikel ini ditulis, Philip Hellquist dari Sweden masih diuji bersama Pahang. Pemain ini jelas memiliki karakter permainan yang berbeza berbanding Matheus Alves.

Walaupun disamakan dengan legenda import Pahang, Viatcheslav Melnikov, namun sentuhan pemain ini masih belum benar-benar menyakinkan dan mungkin perlu diberikan banyak masa dan ruang untuk beliau membuktikan impaknya nanti.

Pra-musim di Thailand

Meskipun mencatatkan keputusan yang positif ketika mengharungi 3 perlawanan ujian di sana, ia bukanlah satu elemen yang mampu disimpulkan dalam membuat penilaian awal tentang pasukan Pahang.

Cuma, kehadiran Vathanaka di bahagian sayap menjelaskan ‘appetite’ serangan Pahang yang lebih menumpukan kekuatan di bahagian sayap seperti yang dimainkan pemain import yang masih kekal musim ini iaitu Mohamadou Sumareh.

Photo by : Norazmi Ibrahim | www.asiana.my

Kelincahan 2 pemain di bahagian sayap bakal menjadi taruhan Pahang dalam merobek gawang lawan, serta dibantu oleh kreativiti dua lagi pemain, Safuwan Baharudin dan Norazam Azih yang bakal menjadi sandaran utama sebagai penggerak jentera tengah.

Kerapuhan benteng pertahanan

Meskipun berjaya memperbaiki ketajaman di bahagian serangan, Pahang masih berhadapan dengan kelemahan di barisan benteng pertahanan.

Kesukaran untuk tidak dibolosi secara berturut-turut di antara perlawanan, menggambarkan masalah yang dihadapi pasukan ini.

Ia memberi bayangan betapa pasukan ini memerlukan karakter seperti yang pernah disajikan oleh Damion Stewart beberapa tahun lalu.

Kredit: Asiana

Sehingga kini, Pahang masih mencari seorang tenaga import di barisan pertahanan dan masih menguji bekas pemain Kuantan Fa iaitu Ljuba Baranin.

Namun, kelebihan yang ada pada Safuwan Baharudin yang boleh beraksi di beberapa posisi termasuklah pertahanan mampu menyelesaikan masalah ini apabila digandingkan dengan seorang pemain tengah import.

Rumusan

Berdasarkan pencapaian musim lalu, pasukan ini bolehlah dianggap sebagai antara pencabar di Liga Malaysia 2018.

Pemain-pemain ‘marquee’ seperti Norazam Azih, Sumareh dan Mathew Davies yang merupakan antara pemain ‘regular’ dalam pasukan Pahang pada musim lalu, bakal menjadi tunjang kepada cabaran pada musim ini.

Kita semua tahu kualiti yang dimiliki oleh Sumareh. Kehadiran Chan Vathanaka juga pasti dinanti-nantikan oleh penyokong Tok Gajah.

Buat pasukan Pahang, kami di Semuanya BOLA mengucapkan selamat maju jaya untuk saingan Liga Malaysia 2018!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN