Bermula dengan dua legenda bola sepak iaitu Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang pernah beraksi untuk kedua-dua pasukan, sehinggalah kini iaitu Razman Roslan, Khairul Azhan dan Azzamuddin Akil.
Nama-nama besar ini telah banyak meninggalkan memori buat Pahang dan Selangor.
Malam ini skuad kendalian P. Maniam bakal melayani kunjungan Pahang pada perlawanan keempat unifi Liga Super di Stadium Cheras, Kuala Lumpur malam ini.
Prestasi semasa
Skuad Merah Kuning dilihat mempamerkan prestasi yang sedikit baik berbanding Pahang selepas berjaya mengutip 6 mata dan kini berada dikedudukan keempat liga.
Namun demikian, kekalahan pertama kepada Terengganu pada perlawanan ketiga sedikit menganggu motivasi para pemain yang sebelum ini mempamerkan prestasi yang sangat baik ke atas pasukan Kuala Lumpur dan Melaka.
Skuad Tok Gajah bermula dengan agak perlahan pada musim ini. Namun kehadiran penyerang import baharu, Francis Forkey Doe segera menghadirkan impak ketika membantu Pahang menewaskan Kelantan tempoh hari.
Pemain tumpuan
Forkey Doe berjaya membuka akaun jaringan Pahang selepas jentera serangan gagal melakukannya dalam 2 perlawanan sebelum ini.
Kehadiran penyerang import ini sekali lagi akan menjadi tumpuan.
Apatah lagi beliau akan bertemu semula dengan rakan-rakan sepasukannya musim lalu.
Beliau yang sudah beraksi di liga tempatan sejak tahun 2012 dilihat tidak mempunyai masalah untuk segera serasi dengan pasukan dan pasti sudah ‘masak’ dengan corak dan tempo permainan terutamanya bekas rakan sepasukannya ketika di Selangor musim lalu.
Dalam pada itu, Pahang juga dianggap memilki sentuhan misteri selepas dikaitkan dengan kehadiran seorang lagi penyerang import yang bakal membuat penampilan dalam perlawanan ini.
Namun demikian, sehingga artikel ini ditulis, tiada sebarang pengesahan yang diberikan oleh Pahang FA mengenai khabar angin yang berlegar dalam laman media sosial sejak 2 minggu kebelakangan ini.
Rufino Segovia yang berbekalkan reputasi hebat selepas meledak 4 jaringan dalam 3 perlawanan lalu pasti menghadirkan gerun buat barisan pertahanan Pahang.
Beliau yang memiliki sentuhan pemusnah dilihat sangat ‘tajam’ dalam kotak penalti, lebih-lebih lagi sekiranya mendapat umpanan cantik dari rakan sepasukan terutamanya dari bahagian sayap.
Selain itu, kehadiran pemain tempatan seperti Syahmi Safari, dan pengalaman pemain seperti Amri Yahyah bakal memberi variasi kepada corak permaianan Selangor.
Rekod lampau
Rekod Pahang ke atas Selangor di halaman lawan agak baik dalam 3 musim sebelum ini.
Pahang berjaya menewaskan Selangor dengan jaringan 0-2 (2017), 0-1 (2016) dan 1-3 (2015).
Rumusan
Perlawanan sengit bakal dipamerkan kedua-dua pasukan dalam usaha memburu kedudukan selesa di persada liga.
Kesempatan beraksi di halaman sendiri sudah pasti digunakan sebaik mungkin oleh Selangor.
Memperlihatkan jentera serangan kedua-dua pasukan yang semakin efektif, ia seakan memberi gambaran jumlah jaringan yang besar bakal dihidangkan dalam perlawanan ini nanti.
Mampukah Pahang mengekalkan rekod baik ke atas Selangor di halaman lawan?
Adakah ulangan aksi hebat Selangor ke atas Melaka di Cheras diulangi pada perlawanan ini nanti? Menarik untuk kita natikan bersama-sama.