Skuad tok gajah terdesak untuk memburu tiga mata penuh bagi mengukuhkan kedudukan di tangga kedua dalam carta Liga Super.
Setelah terikat tanpa jaringan dengan Kedah pada hari jumaat lepas, mereka kini hanya dibezakan dengan dua mata dengan pasukan Selangor di tangga ketiga.
Justeru itu, perlawanan menentang PKNP FC di Stadium Darulmakmur malam ini merupakan kesempatan terbaik untuk anak buah Dollah Salleh mencatat kemenangan bergaya sekaligus menjarakkan mata dengan pencabar terdekat.
Tiga tonggak utama Pahang kembali beraksi
Pahang dijangka akan menurunkan barisan terkuat setelah tiga tonggak utamanya iaitu Mohamdou Sumareh, Herold Goulon dan Faisal Rosli yang tidak beraksi di Alor Star minggu lalu kembali menyertai pasukan.
Pengendali pasukan, Dollah Salleh menyifatkan kehadiran tiga pemain terbabit tepat pada masanya kerana Selangor, Kedah, Melaka United dan Perak kini intai peluang untuk memintas kedudukan mereka dalam carta Liga Super.
“Mereka digantung satu perlawanan kerana kad kuning, jadi untuk perlawanan itu, semuanya boleh diturunkan.
“Kita harap dengan kesebelasan utama dapat beraksi pada perlawanan itu, pasukan Pahang dapat merekodkan kemenangan dan menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri,” katanya dalam Harian Metro.
Skuad Tok Gajah juga akan mempertaruhkan gandingan Dickson Nwakaeme dan Lazarus Kaimbi untuk merobek gawang kelab dari Perak itu. Selain itu, kelincahan pemain naturalisasi mereka, Sumareh pasti ditagih untuk membantu jentera serangan.
Abu Bakar percaya dengan kemampuan pemain
Setelah berjaya mengikat juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Jumaat lalu, skuad PKNP FC kini bersemangat untuk terus memburu tiga mata dalam baki perlawanan yang seterusnya.
Kemenangan amat penting bagi membolehkan mereka terkeluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier musim depan setelah menghuni di tangga kedua tercorot Liga Super dengan 13 mata.
Bagaimanapun, pengendali pasukan itu, Abu Bakar Fadzim yakin dengan kemampuan pemainnya berdasarkan prestasi mereka ketika menentang JDT.
“Saya berharap mereka mampu meneruskan momentum dalam baki perlawanan akan datang, khususnya untuk menghadapi satu lagi perlawanan sukar bertemu Pahang di Stadium Darulmakmur, Kuantan, malam ini.
“Ini satu lagi ujian getir buat kami. Saya berharap kami mampu melepasinya,” ujarnya dalam Stadium Astro.
Kehadiran dua pemain pinjaman daripada pasukan Perak, Syazwan Zaipol dan Nazirul Afif ternyata telah mengubah corak permainan pasukan itu.
Selain dua pemain tersebut, pengendali itu juga memuji gandingan Yashir Pinto, Giancarlo Lopes Rodriguez dan Ramon Da Silva Costa yang turut memberi wajah baru kepada jentera serangan pasukan.
Malah, Costa menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat JDT bagi mengutip satu mata berharga.
Ramalan Semuanya BOLA
Mengikut rekod pertemuan, Pahang telah mencatat 5 kemenangan dan 4 seri dalam 9 pertemuan mereka dengan PKNP FC. Bagaimanapun, PKNP FC sering mencatat keputusan seri dengan Pahang setiap kali mereka bertandang ke Stadium Darul Makmur.
Untuk perlawanan malam ini, penulis meramalkan kemenangan akan berpihak kepada pahang berdasarkan kelebihan mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri dan prestasi semasa 5 pemain mereka dalam skuad kebangsaan.
Tidak mustahil juga PKNP FC akan melakar kejutan jika benteng pertahanan Pahang melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!