Lupakan perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia pada musim ini. Sebaliknya alihkan tumpuan anda terlebih dahulu kepada salah satu dari dua venue yang pasti menjadi tumpuan pengikut bola sepak tanah air pada malam ini.
Di Stadium Sultan Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu, naib juara Piala Malaysia, Terengganu FC menanti kunjungan PKNS FC untuk perlawanan pertama Liga Super Malaysia (MSL) buat kedua-dua pasukan pada musim ini.
Terengganu FC
Terengganu FC bimbingan Irfan Bakti sudah tentu mahu terus optimis pada musim ini setelah berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada musim lalu. Pertemuan pada malam ini turut seperti ulangan kepada perlawanan hari pembukaan Liga Malaysia musim lalu dengan PKNS FC mengikat skuad penyu di Kuala Terengganu. Ia pasti situasi yang ingin Irfan Bakti elakkan demi meneruskan momentum positif di dalam pasukan.
Secara keseluruhan, Terengganu FC pada musim ini tampil tanpa banyak perubahan. Hampir keseluruhan pemain dari skuad musim lalu dikekalkan, kecuali perancang tengah licik, Faiz Nasir dan Latif Suhaimi yang menyertai Selangor. Pemain import Do-Dong Hyun pula memilih untuk kembali ke negara asal untuk beraksi bersama Gyeongnam FC.
Beberapa pemain baru juga dibawa masuk untuk memastikan Terengganu FC berjaya mencapai sasaran mereka pada musim ini. Selain Sanjaar Shaakhmedov dari Uzbekistan yang dilihat sebagai pengganti terus kepada Faiz Nasir, skuad penyu turut diperkuatkan dengan khidmat Syamim Yahya dari Felcra FC dan kepulangan anak jati, Ilham Amirullah dari Negeri Sembilan untuk bersaing dengan pemain veteran Suffian Rahman di posisi penjaga gol.
PKNS FC
Walaupun mengumumkan akan menggunakan bajet yang rendah untuk saingan Liga Malaysia 2019, dan hilang beberapa nama besar -termasuk hampir kesemua pemain import pada musim lalu- cabaran skuad Semut Merah musim ini tidak wajar dipandang ringan. Antara pemain musim lalu yang tidak bersama PKNS FC untuk saingan musim ini ialah penyerang berpengalaman, Safee Sali, penyerang import Rafael Ramazoti, Faris Ramli dan juga Bruno Matos.
Selain dari diperkuatkan dengan beberapa pemain baharu, PKNS FC turut akan turun dalam perlawanan pertama ini dengan penuh yakin selepas melalui pra musim yang amat positif apabila merekodkan 100% kemenangan dari tujuh perlawanan yang dilalui.
Antara muka baru yang turut tersenarai di dalam skuad Semut Merah pada musim ini ialah bekas penyerang dari Argentina yang pernah membawa PKNS FC ke perlawanan akhir Piala FA pada 2016, Gabriel Guerra. Mengejutkan ramai dengan pencapaian pada musim lalu dengan menduduki tangga ketiga liga, PKNS FC pasti mahu melakar satu lagi kejutan bermakna pada musim ini.
Pemain tumpuan
Bagi Terengganu FC, kelibat tongak import, Tcheche Kipre pasti terus menjadi sandaran di bahagian serangan pasukan. Berjaya menghasilkan 14 gol dari 20 penampilan di Liga Super pada musim lalu, kelibat Kipre bukan sahaja digeruni kerana kemampuan beliau sebagai pemusnah.
Ini kerana pemain dari Ivory Coast ini juga bijak menghasilkan peluang dan ruang bagi rakan sepasukan untuk menjaringkan gol. Kepakaran Sanjaar Shaakhmedov juga pasti akan ditagih. Pemain ini dikatakan mempunyai kelincahan seperti Faiz Nasir, tetapi mempunyai fizikal yang lebih baik berbanding pemain kelahiran Pasir Mas itu.
PKNS FC juga tidak kurang hebatnya. Gandingan Kpah Sherman dan Guerra adalah yang paling dinantikan, namun pengikut bola sepak tempatan terpaksa menunggu terlebih dahulu sebelum gandingan ini menjadi kenyataan. Bekas penyerang MIFA itu dianggap sebagai versi penyerang yang lebih lengkap berbanding Ramazoti. Ini bermakna Guerra bakal diberikan peranan sebagai penggempur utama pasukan.
Juga menjadi tumpuan ialah kembalinya Chan Vhantanaka bersama PKNS FC untuk mewarnai Liga Malaysia pada musim ini. Pemain antarabangsa Kemboja itu berpeluang untuk membuktikan potensi yang dimiliki beliau selepas disingkirkan oleh Pahang pada Mei lalu.
Berita pasukan
Terengganu FC mempunyai beberapa isu yang perlu diberikan perhatian untuk perlawanan ini. Pertama, mereka akan kehilangan khidmat Lee Tuck akibat pergantungan. Penjaga gol Suffian Rahman juga dilaporkan mengalami kecederaan.
Di koloni Semut Merah, Sherman dan Jaffri Chew sah tidak boleh diturunkan untuk aksi pada malam ini akibat pergantungan. PKNS FC turut mengalami masalah kecederaan kepada beberapa tongak seperti K. Gurusamy, Shafiq Sharudin dan juga R. Surendran.
Perang taktikal
Perang taktikal di antara dua jurulatih tempatan ini turut mencuri tumpuan kami. Irfan berkemungkinan akan mengekalkan formasi 4-3-3 yang sinonim dengan skuad penyu. Sistem ini membenarkan Terengganu membentuk 4-5-1 ketika bertahan, dan serangan balas pantas dengan numerical advantage di fasa serangan yang pasti boleh menjerat lawan. Terengganu juga dijangka melakukan pressing dengan sistem 4-5-1 setiap kali mereka kehilangan bola.
Memiliki dua pemain penyerang yang cukup berbahaya, Datuk K. Rajagopal pula dijangka akan menyandarkan taktikal beliau dengan sistem 4-4-1-1, atau pun 4-4-2.
Namun tanpa Sherman dan Jafri, Guerra dijangka akan digandingkan bersama Tamirlan Kozubaev di bahagian hadapan.
Semut merah juga dijangka akan aktif menyerang menggunakan pemain sayap, untuk memanfaatkan kepantasan yang dimiliki oleh Vhantanaka di sebelah kiri.
Perkara lain yang turut menjadi tumpuan ialah peranan Akram Mahinan yang akan berhadapan tugasan untuk meneutralkan peranan Shaakhmedov di bahagian tengah.
Rumusan
Mampukah PKNS FC melakukan kejutan di Kuala Terengganu dengan menewaskan skuad kendalian Irfan Bakti dalam perlawanan ini?
Atau adakah skuad penyu mampu memadam kekecewaan di Piala Malaysia dengan permulaan cemerlang di Liga Malaysia pada musim ini?