Stadium Hang Jebat bakal menjanjikan saingan menarik pada malam ini apabila tuan rumah, Melaka United akan melayan kunjungan Pahang FA di minggu ketiga saingan unifi Liga Super Malaysia 2019.
Kedua-dua pasukan mengumpul mata maksimum setakat ini hasil dua kemenangan. Masing-masing kini menduduki tangga kedua dan ketiga carta liga, dan berpeluang bergelar pendahulu sekiranya mencatatkan kemenangan.
Apakah perkara lain yang perlu kita ketahui mengenai perlawanan ini?
Melaka United
Melaka United mempunyai kelebihan sebagai pasukan tuan rumah pada malam ini. Dua kemenangan awal juga pasti telah menyuntik keyakinan anak buah Zainal Abidin Hassan untuk meneruskan rentak cemerlang mereka pada musim ini.
Menghimpunkan beberapa nama besar dalam saingan Liga Malaysia, Melaka memiliki pemain berpengalaman untuk beraksi menentang pasukan seperti Pahang yang turut berada diprestasi baik ketika ini. Menentang pasukan yang serba serbi lengkap di semua posisi seperti Pahang adalah ujian terbaik bagi skuad Hang Tuah untuk menyatakan mereka benar-benar serius pada musim ini.
Pahang FA
Menuju minggu ketiga Liga Super berlangsung, Pahang FA merupakan pasukan paling tajam dihadapan gawang lawan setelah menjaringkan enam gol dari dua perlawanan. Tiga daripada jaringan tersebut dihasilkan oleh penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme.
Kemenangan 3-1 ke atas Kuala Lumpur pada hari pembukaan kempen musim ini juga membuktikan skuad Tok Gajah tidak segan silu menjajah kawasan lawan pada musim ini. Musim lalu, kunjungan mereka ke Melaka sekadar berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Pemain tumpuan
Kedua-dua pasukan mempunyai penyerang utama untuk disandarkan dalam memburu jaringan. Buat skuad Melaka United, sentuhan Casagrande pasti ditagih selepas hanya memnyumbang satu gol setakat ini. Uniknya Melaka United ialah mereka mempunyai barisan pemain tengah yang turut mampu menyumbangkan jaringan. Safiq Rahim misalnya mampu mengancam dari situasi bola mati, manakala pemain seperti Liridon turut boleh menyumbangkan jaringan seperti mana sepakan gunting oleh pemain itu pada perlawanan pembukaan menentang PJ City FC.
Bagi Pahang FA, tumpuan semestinya akan tertuju kepada Dickson Nwakaeme. Menariknya mengenai pemain import dari Nigeria ini ialah kemampuan beliau untuk turut menghasilkan bantuan gol untuk rakan sepasukan, sepertimana yang dihasilkan untuk Nor Shahrul Idlan Talaha dalam kemenangan bergaya ke atas Terengganu FC pada hujung minggu lalu. Rangkaian serangan Pahang turut mempunyai penyerang dari Brazil, Jose Eduardo Almeida atau lebih dikenali sebagai Ze Love. Walaupun masih belum menghasilkan sebarang jaringan setakat ini,kebolehan teknikal pemain ini tidak wajar dipandang ringan oleh pemain Melaka United.
Taktikal pasukan
Zainal Abidin Hassan dijangka akan mengekalkan formasi 4-1-4-1 di dalam perlawanan ini. Sistem ini membenarkan Safiq Rahim untuk berada lebih ke hadapan untuk beraksi di belakang Casagrande, untuk menjadi sistem 4-4-2 atau pun menggunakan kelebihan fizikal Liridon untuk membantu bahagian tengah ketiga bertahan, sekaligus berubah menjadi 4-2-3-1.
Sistem ini fleksibel untuk Melaka. Namun usaha untuk merantai gerakan Nwakaeme di bahagian pertahanan turut perlu dijadikan keutamaan untuk meneutralkan ancaman Pahang.
Dollah Salleh juga dijangka akan mengekalkan sistem 4-4-2 yang sehingga kini amat berhasil untuk pasukan Pahang. Menggunakan kepantasan dimiliki oleh Mohamadou Sumareh dan Saddil Ramdani yang akan bersilih posisi di setiap sisi, kestabilan jentera tengah Pahang juga banyak dipengaruhi oleh keupayaan Safuwan Baharudin dan Azam Azih.
Ze Love menampilkan kebolehan teknikal yang menarik, namun harus mulai menterjemahkan keupayaan tersebut sebagai jaringan. Tok Gajah turut mampu mengancam dari gerakan set pieces, melalui pemain seperti Herold Goulon.
Ramalan Semuanya BOLA
Zainal Abidin vs Dollah Salleh. Dua sahabat yang kini menjadi seteru di dalam karier kejurulatihan. Kedua-duanya amat mengenali satu sama lain. Kami menjangkakan perlawanan yang menarik akan berlangsung di Stadium Hang Jebat pada malam ini dengan beberapa gol turut akan dihasilkan. Untuk perlawanan ini kami meramalkan keputusan akan berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Apa pula pendapat penyokong Melaka dan Pahang? Siapakah yang akan menjaringkan gol pertama perlawanan? Pasukan mana yang akan mendahului terlebih dahulu? Di manakah anda akan menonton perlawanan ini?