Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bakal menghadapi tugas sukar malam ini apabila akan berdepan pasukan pilihan, Pahang di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada aksi ke-5 unifi Liga Super Malaysia 2019.
PKNP FC yang masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam saingan liga setakat ini perlu mencipta kejutan sekiranya mahu menjarakkan diri daripada zon penyingkiran.
Pahang pula yang sekadar seri pada dua perlawanan terakhir sudah pasti mengharapkan kemenangan ketiga untuk terus memberikan tekanan buat Johor Darul Ta’zim dan Kedah yang berada di dua tangga teratas.
PKNP FC tercari-cari kemenangan sulung
Keputusan pada empat perlawanan terdahulu bukanlah satu perkembangan yang baik buat Abu Bakar Fadzim dan anak buahnya selepas mereka hanya mampu mencatatkan satu keputusan seri dan tiga kekalahan dialami.
Namun, skuad yang dibarisi hanya dua orang pemain melebihi usia 30 tahun ini boleh menarik nafas lega apabila Pahang bakal turun tanpa tiga tonggak utama mereka akibat penggantungan serta mengalami kecederaan.
Berdepan lawan yang turun tanpa dua pertahanan tengah yang menjadi nadi kekuatan mereka, kesempatan tersebut harus digunakan sepenuhnya oleh Giancarlo Lopes dan Yashir Pinto bagi mencipta kejutan malam ini.
Tanpa tiga tonggak utama rencat misi Pahang
Pahang bermula dengan cukup meyakinkan pada dua perlawanan awal apabila menewaskan Kuala Lumpur dan Terengganu FC.
Bagaimanapun dua perlawanan berikutnya menunjukkan sedikit penurunan setelah hanya mampu seri 1-1 ketika bertemu Melaka United dan Selangor.
Lebih perit untuk diterima adalah pada kedua-dua perlawanan tersebut, Nor Azam Azih (Melaka) dan Herold Goulon (Selangor) telah dilayangkan kad merah.
Menjelang pertemuan menentang PKNP FC, Dollah Salleh pasti pening kepala untuk merencana strategi bagi menampung ketiadaan tiga pemain tonggaknya iaitu Safuwan Baharuddin, Herold Goulon dan Muslim Ahmad.
Ketiadaan mereka sedikit sebanyak akan dirasai impaknya dalam misi Pahang untuk kembali mencatatkan kemenangan saingan liga.
Giancarlo Lopes & Ze Love bakal curi tumpuan
Giancarlo Lopes mungkin gagal mencipta jaringan pada perlawanan sulungnya ketika bertemu PKNS FC tempoh hari, namun pemain kelahiran Brazil berusia 29 tahun itu mampu untuk menjadi duri dalam daging buat pertahanan Pahang pada malam ini.
Di samping mempunyai fizikal yang tegap dan tinggi, Giancarlo juga merupakan pemain yang mempunyai kualiti yang cukup baik dan ‘mobil’ yang dijangka dapat memberikan ancaman buat Pahang.
Dickson Nwakaeme sememangnya pemain yang pasti akan menjadi tumpuan semua pihak pada perlawanan ini tetapi penulis melihat Ze Love akan memperagakan corak permainan terbaik beliau.
Beliau mampu untuk beraksi dengan cukup baik pada ruang yang sempit serta berkeupayaan untuk mencipta peluang terbaik.
Ze Love bakal memainkan peranan penting buat skuad Tok Gajah pada malam ini bagi membuka ruang kepada rakan sepasukannya.
Rekod dan statistik
PKNP FC (K-S-K-K)
- Kalah 0-2 v Kedah (H)
- Seri 1-1 v Felda United (A)
- Kalah 2-3 v PJ City FC (H)
- Kalah 0-1 v PKNS FC (A)
Pahang (M-M-S-S)
- Menang 3-1 v Kuala Lumpur (A)
- Menang 3-0 v Terengganu FC (H)
- Seri 1-1 v Melaka United (A)
- Seri 1-1 v Selangor (H)
Taktikal pasukan
Kedua-dua pengendali dilihat akan mempraktikkan formasi 4-4-2.
PKNP FC dijangka akan mempertaruhkan Amani Aguinaldo dan Siyovush Asrorov di jentera pertahanan tengah.
Fadhil Idris dan ketua pasukan, Hafiz Ramdan menjadi sandaran utama di bahagian sayap untuk memberikan bantuan secukupnya buat Giancarlo Lopes dan Yashir Pinto.
Bagaimanapun harus diingat apabila Abu Bakar Fadzim merupakan jurulatih yang gemar memberikan peluang kepada kesemua pemainnya untuk membuktikan kualiti yang dimiliki.
Bagi kem Pahang pula, Afif Amiruddin dan Bunyamin Omar bakal menggantikan Herold Goulon dan Muslim Ahmad serta Nor Azam Azih bakal mengisi kekosongan ditinggalkan Safuwan Baharuddin.
Dickson Nwakaeme pula dijangka akan kembali diletakkan sebagai penggempur utama selepas Norshahrul Idlan Talaha mengambil tanggungjawab beliau sebagai pemain kesebelasan utama pada pertemuan menentang Selangor tempoh hari.
Ramalan Semuanya BOLA
Berdasarkan prestasi semasa yang ditampilkan serta kualiti pemain yang dimiliki kedua-dua pasukan, Pahang dilihat lebih mempunyai peluang untuk menjadi pemenang pada perlawanan ini.
Walaupun tanpa tiga tonggak yang terpaksa diketepikan, pengendali Pahang, Dollah Salleh pasti mempunyai perancangan tersendiri kerana beliau masih mempunyai barisan pemain simpanan yang mampu mengisi kekosongan tersebut.
Tanpa memandang enteng cabaran yang bakal diberikan PKNP FC, mereka juga mampu untuk membuat kejutan sekiranya Pahang mengambil mudah saingan yang bakal disajikan Hafiz Ramdan dan rakan sepasukannya malam ini.
Pasukan manakah yang menjadi pilihan anda untuk meraih tiga mata penuh di Manjung malam ini?
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!