Tiga perlawanan Liga Super (MSL 2019) minggu ke-20 akan berlangsung pada hari ini. Tumpuan kini lebih terarah kepada pasukan manakah yang akan menamatkan saingan liga pada musim ini di tangga kedua, di belakang JDT.
Begitu juga dengan pergelutan untuk mengelakkan penyingkiran ke saingan Liga Premier pada musim hadapan. Kerana itu, tumpuan kita turut akan terarah kepada perlawanan membabitkan Pahang menentang PKNS FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada malam ini.
Pahang mahu tebus kehilangan
Mungkin masih dalam keadaan terkejut selepas tersingkir dari separuh akhir Piala FA kepada Perak – walaupun memiliki kelebihan awal – saingan liga adalah tempat terbaik buat Pahang menebus kesilapan mereka.
Selepas menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur sebelum ini, Pahang berada di landasan terbaik untuk mengakhiri liga pada musim ini di tangga kedua. Seperti ketika saingan Piala FA tempoh hari, nasib berada di tangan mereka sendiri. Dengan kelebihan jumlah perlawanan dan mata yang dimiliki, kini terpulang kepada Pahang untuk memastikan mereka tidak dipintas pasukan-pasukan lain.
Koloni Semut Merah mahu ubah nasib
Terlampau banyak spekulasi yang menyelubungi masa depan PKNS FC pada hari ini. Bagaimana perkara itu mempengaruhi prestasi pemain diatas padang, sukar untuk kita nilaikan begitu sahaja.
Hanya 1 mata dari lima perlawanan terdahulu, adalah gambaran bagaimana merudumnya prestasi PKNS FC pada musim ini, setelah berada di kelompok atasan liga pada peringkat awal saingan.
Walaupun selesa, kedudukan PKNS FC sebenarnya belum lagi selamat. Kerana itu, pemain-pemain perlu tampil dengan penuh nilai profesional untuk memburu sekurang-kurangnya lagi dua mata dari baki saingan yang perlu dihadapi.
Taktikal pasukan
Formasi 4-4-2 yang begitu sinonim dengan Dollah Salleh dijangka akan terus dikekalkan dalam perlawanan pada malam ini. Tahap kecergasan Dickson Nwakaeme masih diragui, bermakna barisa hadapan Tok Gajah berkemungkinan akan diketuai oleh gandingan Lazarus Kaimbi dan Mohamadou Sumareh.
PKNS FC pula dijangka akan menggunakan sistem 4-1-4-1, dengan Kpah Sherman akan terus menjadi sandaran sebagai penyerang tunggal. Di belakang beliau pula akan diperkuatkan dengan gandingan Jaffri Chew, Gabriel Guerra, Romel Morales dan D. Surendran. Perhatian turut wajar diberikan kepada bahagaian pertahanan yang sudah melepaskan 31 gol setakat ini.
Rekod pertemuan
- 14.04.2019 PKNS 1-2 Pahang (Liga Super)
- 21.07.2018 Pahang 1-0 PKNS (Liga Super)
- 7.02.2018 PKNS 1-0 Pahang (Liga Super)
- 15.07.2017 PKNS 1-3 Pahang (Liga Super)
- 28.02.2017 Pahang 3-0 PKNS (Liga Super)
Ramalan Semuanya BOLA
Sudah pasti Pahang tidak rela peluang mereka tampil sebagai naib juara liga diperjudikan sekiranya tercicir mata di halaman sendiri. Tetapi PKNS FC juga memerlukan mata penting untuk memastikan mereka berada dalam zon selamat dari penyingkiran.
Perlawanan malam ini bergantung kepada sejauh mana kebijaksanaan kedua-dua pasukan merencanakan taktikal masing-masing. Pasukan yang kurang melakukan kesilapan berpeluang cerah untuk muncul sebagai pemenang.
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!