Pertemuan di antara Melaka United dan Kuala Lumpur merupakan satu-satunya perlawanan yang akan berlangsung pada malam ini.
Namun demikian, perlawanan ini mempunyai daya penarik yang tersendiri dengan kedua-dua pasukan mempunyai sebab masing-masing untuk memastikan kemenangan.
Melaka United gah atas kertas
Di atas kertas, Melaka United seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menewaskan Kuala Lumpur pada malam ini. Apatah lagi kerana skuad kendalian Zainal Abidin Hassan ini akan beraksi selaku pasukan tuan rumah.
Bagaimanapun sehingga kini, kita harus jujur mengakui Melaka United belum lagi menampilkan corak permainan yang sepatutnya- terutama dengan barisan nama pemain bintang yang membarisi pasukan itu pada musim ini.
Sebagai contoh ialah ketika menentang pasukan JDT pada minggu lalu, Melaka United memilih untuk bermain secara bertahan dan mengambil langkah berhati-hati, walaupun secara teknikal mereka mempunyai deretan pemain seperti Liridon Krasniqi, Safiq Rahim, Shukor Adan dan Cassangrande untuk menerapkan aspek permainan menyerang.
Dua kemenangan, satu seri dan tewas hanya sekali setakat ini, siapa tahu apa yang mampu dicapai oleh pasukan ini sekiranya mereka mempamerkan corak permainan yang lebih positif di setiap perlawanan.
Kuala Lumpur intai peluang
Ia bukan satu kebiasaan untuk Kuala Lumpur berada di dalam situasi ini. Kuala Lumpur mungkin belum memperolehi sebarang mata setakat ini.
Namun sekiranya mereka mampu mengejutkan Melaka United pada malam ini, skuad kendalian Yusri Che Lah akan berada di tangga ke-10 liga, sekaligus keluar dari zon bahaya.
Menarinya, kemenangan juga bermakna Kuala Lumpur akan melonjak mengatasi seteru Lembah Klang, Selangor FA yang bakal mereka hadapi pada minggu akan datang.
Skuad warga kota telah menampilkan peningkatan, terutama ketika tewas kepada Terengganu pada minggu lalu. Namun masih banyak perkara yang perlu dilihat oleh Yusri Che Lah sekiranya mengimpikan sesuatu daripada perlawanan menetang Melaka.
Rekod perlawanan
Musim lalu kedua-dua pasukan bertemu sebanyak tiga kali. Salah satu daripada pertemuan tersebut ialah di saingan Piala FA. Menariknya, berdasarkan statistik dan rekod musim lalu menunjukkan beraksi sebagai tuan rumah bukan kelebihan kepada mana-mana pasukan.
Piala FA: Melaka Unied 1-1 Kuala Lumpur ( Kuala Lumpur menang melalui sepakan penalti); 17.03.2018.
Liga Super: Kuala Lumpur 3-4 Melaka United (Stadium Bola Sepak KL, Cheras); 5.6.2018.
Liga Super: Melaka United 2-4 Kuala Lumpur (Stadium Hang Jebat); 9.6.2018.
15 gol dijaringkan melibatkan tiga pertemuan kedua-dua pasukan pada musim lalu. Adakah kita akan menyaksikan jumlah jaringan yang besar turut dipamerkan pada malam ini?
Taktikal pasukan
Zainal Abidin Hassan pula dijangka akan menyandarkan taktikal pasukannya kepada sistem 4-1-4-1. Liridon Krasniqi akan digandingkan dengan Safiq Rahim di bahagian tengah, untuk membenarkan pemain itu melakukan larian membantu serangan secara langsung.
Namun demikian, tidak dapat dipastikan tahap kecergasan penyerang import, Cassagrande yang mengalami kecederaan ketika menentang JDT. Tanpa pemain import itu, Melaka United mungkin terpaksa menyandarkan bahagian serangan mereka kepada Patrick Reichelt.
Bagi Kuala Lumpur, taktikal mereka akan banyak bergantung kepada keberadaan penyerang import, Guilherme De Paula yang telah tersisih sejak beberapa perlawanan.
Yusri kerap menggunakan formasi 4-5-1 dengan Sylvanus Comvalius menjadi penyerang tunggal tanpa kehadiran De Paula.
Sekiranya pemain tersebut kembali cergas, sistem 4-4-2 mungkin adalah lebih realistik untuk skuad warga kota. Paolo Josue, Indra Putra dan Zhairi Ghafar akan menjadi nadi penting di bahagian tengah untuk meneutralkan pemain seperti Liridon dan Safiq Rahim.
Ramalan Semuanya BOLA
Sukar untuk meramalka keputusan perlawanan pada malam ini. Namun berdasarkan keputusan pada musim lalu, dan perkembangan semasa di dalam pasukan, kami meramalkan Kuala Lumpur bakal melakukan kejutan dengan menewaskan Melaka United.
Mungkinkah kita akan melihat satu lagi keputusan dengan jumlah jaringan yang banyak dalam perlawanan ini?
FM ON IFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!