Dua pasukan yang kini sedang bergelut bagi menjauhi zon penyingkiran, Kuala Lumpur dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) akan membuat perhitungan dalam saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, jam 10.00 malam ini.
Kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan satu mata apabila PKNP FC menduduki tangga ke-10 dengan 12 mata manakala Kuala Lumpur satu anak tangga dibawah wakil dari Perak itu.
Peluang beraksi sesama sendiri ini perlu digunakan sepenuhnya oleh Kuala Lumpur dan PKNP FC dalam cubaan menghambat Petaling Jaya City yang kini menghuni tangga ke-9 dengan 17 mata.
KEDUDUKAN TERKINI LIGA SUPER 2019 PUSINGAN LS15#LigaSuper2019 pic.twitter.com/zcFtnVP2tN
— Malaysian Football League (@MFL_MY) May 25, 2019
Kuala Lumpur
Skuad bimbingan Chong Yee Fat itu bakal turun tanpa penjaring terbanyak pasukan, Indra Putra Mahayuddin akibat penggantungan satu perlawanan selepas beliau mengumpul tiga kad kuning.
Ketiadaan penyerang veteran itu sedikit mengganggu perancangan pasukan, namun Yee Fat dijangka akan meletakkan harapan kepada penyerang baharu, Ahmad Fakri Saarani.
Dalam pada itu, pengendali tersebut juga mengharapkan seorang lagi penyerang yang baru ditandatangani, Shafiq Shaharudin dapat diturunkan.
PKNP FC
PKNP FC akan kembali mendapat sentuhan Giancarlo Lopes Rodrigues selepas beliau tidak beraksi pada pertemuan menentang Selangor tempoh hari akibat penggantungan satu perlawanan.
Penulis juga mendapat sumber sahih bahawa PKNP FC akan menurunkan pemain import baharu bagi menggantikan Thomas Abbey yang mengalami kecederaan panjang.
Rekod 5 perlawanan terakhir
PKNP FC dilihat memiliki kelebihan tipis dengan dua kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan dicatatkan ketika berdepan Kuala Lumpur pada lima aksi terakhir mereka.
- PKNP FC 4-0 Kuala Lumpur (MSL 2019)
- Kuala Lumpur 1-1 PKNP FC (MSL 2018)
- PKNP 2-1 Kuala Lumpur (MSL 2018)
- Kuala Lumpur 1-0 PKNP FC (MPL 2017)
- PKNP FC 0-0 Kuala Lumpur (MPL 2017)
Ramalan Semuanya BOLA
Keinginan yang kuat untuk menjauhi zon penyingkiran bakal menjadi azimat berguna buat Kuala Lumpur dan PKNP bagi menghadapi perlawanan ini.
Dengan kualiti seimbang yang dimiliki kedua-dua pasukan, cukup sukar untuk memilih pemenang.
Kemenangan besar 4-0 PKNP FC pada aksi pusingan pertama di Manjung juga tidak boleh dijadikan jaminan Kuala Lumpur akan tunduk menyerah dengan mudah malam ini.
Mungkin keputusan seri adil buat kedua-dua pasukan!
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.
Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!
Kredit foto: Kuala Lumpur Hawks & PKNP FC