Previu MSL 2019: Kuala Lumpur & Terengganu FC Punyai Misi Sama Buru Kemenangan Pertama

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras sekali lagi akan menjadi tumpuan penyokong bola sepak di sekitar Lembah Klang pada malam ini. Kali ini, venue ini akan mempertemukan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur dan juga wakil dari pantai timur, Terengganu FC.

Misi buru kemenangan pertama

Kuala Lumpur dan Terengganu mempunyai misi dan objektif yang sama dalam perlawanan ini – iaitu untuk memburu kemenangan pertama pada kempen musim ini.

Terengganu sudah pun mengharungi tiga perlawanan, yang berakhir dengan satu kekalahan dan dua keputusan seri. Manakala Kuala Lumpur yang berehat pada minggu lalu setelah perlawanan menentang Perak TBG telah ditunda, tewas dalam dua perlawanan yang dilalui setakat ini.

Tanpa sebarang mata, dibolosi tujuh kali dan hanya menghasilkan dua gol dari dua perlawanan lalu, skuad warga kota sedar mereka memerlukan kemenangan untuk dijadikan pemangkin kebangkitan pada kempen musim ini.

Manakala bagi Terengganu, kemenangan juga diharap mampu membangkitkan kembali ‘roh dan semangat’ perjuangan di pertandingan Piala Malaysia pada musim lalu – sekaligus kembali bersaing di kelompok atasan liga.

Kuala Lumpur perkemas barisan

Menyedari kelemahan yang dimiliki terutama di bahagian pertahanan, skuad warga kota pantas mengambil tindakan memperkemaskan barisan pemain sedia ada. Untuk itu, Kuala Lumpur terpaksa menggugurkan pemain import dari Indonesia, Achmad Jufriyanto yang mengalami kecederaan dan tidak menunjukkan sebarang tanda akan pulih dalam masa terdekat.

Pengganti beliau pula ialah Luke Woodland, pemain pertahanan tengah antarabangsa Filipina yang turut beraksi di pertandingan Piala Asia Januari lalu.

Bekas pemain remaja skuad The Three Lions itu dijangka akan digandingkan dengan Irfan Zakaria di hadapan penjaga gol Sharbinee Allawee.

Bagaimanapun Kuala Lumpur terpaksa melupakan khidmat penyerang import, Guilherme De Paula dan pertahanan Khair Jones yang masih belum pulih sepenuhnya.

Skuad Penyu perlu fokus

Terengganu FC pula mahu mengambil inspirasi dari kejayaan mengikat JDT pada perlawanan lalu untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan ini. Namun demikian, pemain perlu memberikan fokus 100% terhadap perlawanan tanpa membenarkan kesilapan-kesilapan mudah yang membolehkan benteng pertahanan dihukum lawan.

Dua gol yang dilepaskan pada perlawanan lalu misalnya, adalah kerana kesilapan pemain yang memberikan sepakan penalti kepada lawan, dan juga gerakan set pieces yang gagal dikeluarkan dari kawasan bahaya – sekaligus memudahkan lawan untuk menjaringkan gol.

Barisan hadapan Terengganu FC juga turut harus mulai lebih gigih dalam memburu jaringan. Sehingga kini, skuad Irfan Bakti ini hanya telah menghasilkan tiga jaringan.

Untuk itu, persefahaman di bahagian hadapan terutama melalui penyerang import, Tcheche Kipre adalah ditagih. Terengganu juga akan tampil tanpa penyerang sayap, Khairul Izuan yang mengalami kecederaan ketika menentang JDT.

Taktikal pasukan

Kuala Lumpur berkemungkinan besar akan tampil berbeza dari sistem 4-4-2 yang sering mereka gunakan sebelum ini. Sedikit perubahan turut boleh kita jangkakan- walaupun tidak melibatkan perubahan formasi yang ketara. Luke Woodland dijangka akan beraksi di bahagian pertahanan, bermakna Ryutari Karube akan kembali ke bahagian tengah selaku pemain tengah bertahan.

MFL

Kecederaan De Paula bermakna Sylvanus Comvalius akan beraksi sebagai penyerang tunggal, dengan Paulo Josue berkemungkinan besar akan beraksi di belakang penyerang dari Belanda itu di dalam sistem 4-4-1-1. Ketua Jurulatih turut boleh mengandalkan formasi 4-5-1 pada malam ini, dengan keutamaan untuk meneutralkan bahagian tengah Terengganu, yang kita tahu mempunyai mobiliti yang tinggi.

Skuad Penyu pula dijangka akan mengekalkan sistem 4-1-4-1 dalam perlawanan ini. Kelebihan utama sistem ini buat Terengganu ialah ia membenarkan Terengganu menguasai bahagian tengah ketika merencanakan serangan, atau pun ketika bertahan. Di fasa bertahan, Irfan gemar pasukannya untuk membentuk 4-5-1 yang kompak.

Irfan
Irfan Bakti (Foto: Berita Harian)

Namun demikian, dispilin, fokus dan juga daya tahan yang tinggi masih menjadi isu untuk Terengganu beraksi secara konsisten sepanjang 90 minit. Ketika menentang JDT misalnya, mereka mampu menerapkan aspek pressing dengan baik pada babak pertama perlawanan dengan sistem yang dinyatakan di atas. Namun pada babak kedua, mereka seolah-olah kepenatan untuk meneruskan corak permainan serupa sehingga memberikan ruang untuk JDT memberikan tekanan.

Rekod pertemuan

Berikut adalah rekod pertemuan lima perlawanan terdahulu membabitkan kedua-dua pasukan:

  • Piala Malaysia 2018: Terengganu 2 KL 3, (K. Terengganu)
  • Piala Malaysia 2018: KL 1 Terengganu 5, (Cheras)
  • Liga Super 2018: Terengganu 3 KL 1, (K Terengganu)
  • Liga Super 2018: KL 3 Terengganu 0, (Cheras)
  • Liga Premier 2017: KL 1 Terengganu 2, (Selayang)

Ramalan Semuanya BOLA

Kami menjangkakan perlawanan yang menarik pada malam ini membabitkan kedua-dua pasukan- dan kemenangan akan dicipta oleh salah sebuah pasukan. Di dalam situasi ini, pasukan yang mampu menjaringkan gol terlebih dahulu akan mempunyai kelebihan.

Disebabkan faktor kecederaan yang masih dialami oleh beberapa pemain Kuala Lumpur, kami meramalkan Terengganu FC akan menang 2-0 dalam perlawanan ini.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN