1 Februari merupakan Hari Wilayah Persekutuan, dan bagi warga kota ia adalah hari cuti umum. Lebih daripada itu, tumpuan kita turut akan ke Cheras pada malam ini untuk perlawanan Liga Super Malaysia membabitkan pasukan tuan rumah, Kuala Lumpur menentang Pahang.
Menariknya mengenai perlawanan ini ialah himpunan pemain dari kedua-dua buah pasukan yang mempunyai kredibiliti yang sangat baik untuk menghasilkan jaringan.
Kuala Lumpur
Sukar untuk mengukur kekuatan sebenar skuad warga kota pada musim ini setelah kehilangan beberapa pemain berpengalaman pada musim lalu. Syazwan Andik memilih untuk ke JDT, manakala Zaquan Adha dan Azmeer Yusof turut berubah angin ke utara. Kuala Lumpur juga tidak meneruskan kontrak pemain import mereka pada musim lalu iaitu Bobirjon Akbarov dan Junior Aparecido.
Di sebalik kisah kemelut pemain yang berhijrah, Kuala Lumpur berjaya memikat beberapa pemain berpengalaman lain seperti Fitri Omar dan Khair Jefri Jones. Tatkala kemampuan pemain import Ryutaro Karube tidak boleh dipastikan, reputasi Sylvano Comvalius yang beraksi di Liga 1 Indonesia sebelum ini pasti menghadirkan gerun lawan.
Pahang FA
Pahang mengekalkan hampir kesemua pemain mereka pada musim lalu, kecuali Patrick Cruz, Issey Nakajima-Faran, dan Austin Amutu yang dilepaskan. Semua pemain tempatan dari skuad musim lalu dikekalkan. Dilabel sebagai salah sebuah pasukan pilihan pada musim ini, Pahang pasti mahukan mata penuh dari perlawanan pada malam ini.
Bagi penyokong mereka yang akan hadir ke Stadium Bola Sepak Cheras pada malam ini, kelibat tongak import baru, Dickson Nwakaeme, Saddil Ramdani (Persela Lamongan), Ze Eduardo
(Oeste), Herold Goulon pasti menjadi tumpuan.
Pemain tumpuan
Bagi Kuala Lumpur, bahagian tengah pasti akan terus disandarkan kepada gandingan pemain berpengalaman seperti Indra Pura Mahayuddin dan juga Paulo Josue.
Namun demikian kelibat Comvalius adalah yang paling dinanti-nantikan selepas pemain itu meledak 37 jaringan dari 34 perlawanan untuk Bali United pada 2017. Memiliki susuk tubuh yang tinggi, cemerlang di udara, gandingan pemain ini bersama Guilherme de Paula pasti menjadi ancaman buat Pahang.
Tok Gajah turut tampil dalam perlawanan ini dnegan senjata istimewa mereka. Dickson Nwakaeme yang pernah menjadi hero pasukan Pahang dengan membantu pasukan itu bergelar juara Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014 kini kembali mengetuai jentera serangan pasukan kendalian Dollah Salleh.
Menjadikan ianya lebih menarik untuk Pahang, Mohamadou Sumareh turut berpeluang melakukan penampilan pertama beliau sebagai pemain tempatan melalui perlawanan ini. Sumareh pasti mahu membuktikan kesetiaan dan kesabaran Pahang FA terhadap beliau selama ini adalah berbaloi.
Berita pasukan
Tugas sukar sedang menanti skuad warga kota apabila hampir pasti beraksi tanpa dua tonggak utama di bahagian pertahanan. Yusri Che Lah, mengesahkan dalam Stadium Astro, pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto, masih dilanda kecederaan dan terpaksa berehat selama beberapa minggu. Turut mengalami nasib yang sama ialah pemain baharu yang beraksi dengan Melaka United pada musim lalu iaitu Khair Jones.
Berbeza dengan skuad Pahang, tiada sebarang kecederaan dilaporkan berdasarkan carian kami setakat ini.
Perang Taktikal
Yusri Che Lah vs Dollah Salleh. Dari segi pengalaman Yusri boleh kita anggap sebagai jurulatih muda yang baru menapak di kancah bola sepak tempatan. Manakala Dollah Salleh adalah jurulatih yang cukup kaya dengan pengalaman. Namun demikian, ianya hanya sekadar perbandingan di atas kertas.
Di atas padang pada malam ini, Yusri berkemungkinan tampil dengan formasi 4-4-2. Ancaman daripada Kuala Lumpur sudah pasti akan datang dari kedua-dua penyerang import mereka.
Manakala Pahang hampir pasti menurunkan Nwakaeme untuk mengetuai jentera serangan. Tatkala Sumareh hampir pasti diturunkan sebagai sayap kanan, Saddil Ramdani dijangka akan mengisi posisi sayap kiri – posisi yang dianggap bermasalah bagi skuad Pahang pada musim lalu.
Rumusan
Berdasarkan bahagian serangan kedua-dua pasukan, sukar membayangkan perlawanan ini akan tamat tanpa sebarang jaringan.
Namun siapakah yang lebih berhak mendabik dada selepas 90 minit perlawanan?