Dijangkakan sentuhan penyudah Kipre Tchetche bakal jadi penentu keputusan perlawanan minggu ke-5 unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 antara Terengganu FC dan Perak pada malam ini.
Ini merupakan satu perlawanan yang menarik, umpama peluang kedua buat Terengganu untuk membalas dendam atas kekalahan di pentas akhir Piala Malaysia 2018 – kekalahan yang memeritkan.
Kedua-dua pasukan ini bakal beradu tenaga di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dengan situasi terkini, Sang Penyu dan The Bos Gaurus masih belum mendapat rentak dan juga dalam kedudukan yang meyakinkan.
Penyu buru kemenangan sulung di KT
Ini merupakan aksi ketiga Terengganu di halaman sendiri untuk musim ini di mana dalam dua aksi sebelum ini menyaksikan anak didik Irfan Bakti ini hanya mampu mengutip dua mata – seri 1-1 dengan PKNS FC dan 2-2 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Dua aksi terkini menampakkan sinar kebangkitan calon pencabar kejuaraan liga ini. Namun, berdasarkan rekod, aksi terakhir antara kedua-dua pasukan di Kuala Terengganu, Terengganu tumbang 1-2 dalam perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2018.
Adakah Terengganu mampu untuk menidakkan harapan Perak dan meraih kemenangan sulung musim ini di Kuala Terengganu?
The Bos Gaurus hadir tempang
Perak tampak tidak berada dalam kondisi terbaik mereka sejak dari awal musim 2019. Kemenangan terakhir mereka dalam 90 miniit perlawanan adalah pada Oktober tahun lalu dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018 – menang 5-0 ke atas Sabah.
Ketika ini, The Bos Gaurus hanya mampu meraih 2 mata daripada 3 perlawanan dan berada di kedudukan ke-10 liga. Dengan beraksi di pentas kelayakan Liga Juara-Juara Asia baru-baru ini, Perak seakan-akan menambah ‘beban’ ke atas pasukan mereka.
Krisis kecederaan dan kecergasan pemain adalah antara isu yang dihadapi oleh Mehmed Durakovic menjelang aksi ke-4 liga mereka.
Kipre Tchetche dan Gilmar
Kapten Sang Penyu, Kipre Tchetche yang ‘tajam’ pada musim lalu masih gagal meledak sebarang gol ketika ini. Adakah Kipre pemain yang menyerlah untuk satu musim sahaja – one-season wonders?
Kali terakhir Kipre menjaringkan gol adalah ketika berdepan Perak dalam pentas akhir Piala Malaysia 2018. Dan pemain berusia 31 tahun ini berazam akan menamatkannya pada malam ini.
Berdasarkan rekod, selain dua gol di final Piala Malaysia itu, Kipre turut menyumbat dua gol ketika menang 2-0 ke atas Perak di Kuala Terengganu dalam saingan liga musim lalu.
Sementara The Bos Gaurus pula tampil mempertaruhkan Gilmar untuk merobek gawang Terengganu yang merupakan antara pasukan yang mudah dibolosi – 6 gol dalam 4 perlawanan.
Gilmar yang kali terakhir meledak gol pada Oktober tahun lalu akhirnya telah kembali mendapat sentuhan jaringannya ketika mereka mengikat Felda United dalam aksi liga minggu lalu.
Waima penalti, gol adalah gol dan sudah pasti ia membantu melonjak semula moral penyerang yang berasal daripada Brazil ini untuk membantu Perak memperbaiki keputusan pada minggu ini.
Rekod dan statistik
Terengganu FC (S-K-S-M)
- Seri 1-1 v PKNS FC (H)
- Kalah 0-3 v Pahang (A)
- Seri 2-2 v JDT (H)
- Menang 1-0 v Kuala Lumpur (A)
Perak (K-S-S)
- Kalah 0-1 v JDT (A)
- Seri 1-1 v Kedah (H)
- Seri 1-1 v Felda United (H)
Taktikal pasukan
Irfan Bakti sudah pasti mahukan keputusan positif apabila turun menentang pasukan serba tempang, Perak di halaman sendiri. Terengganu akan tampil dengan formasi biasa 4-1-4-1 di mana penguasaan ruang tengah bakal memberikan perbezaan.
Terengganu akan lebih menguasai bahagian tengah dengan kehadiran pemain seperti Sanjar Shaakhmedov, Lee Tuck serta Thierry Chantha Bin dan jika Perak gagal membendungnya, ia akan mengundang masalah besar buat mereka dalam perlawanan ini.
Benteng Terengganu perlu tampil kebal sekali lagi selepas berjaya untuk kali pertama merekodkan cleensheet pada minggu lalu. ‘Tangan emas’ Suffian Abd Rahman yang turun buat kali pertama minggu lalu pasti akan ditagih lagi untuk aksi ini.
Masalah utama pengendali Perak, Mehmed Durakovic adalah beliau diketahui tidak gemar menggunakan sepenuhnya senarai pemain yang telah didaftarkannya untuk saingan liga – kesebelasan utama dan formasinya sangat mudah untuk diramal.
Namun, berdepan dengan krisis kecederaan dan kecergasan pemain bakal memaksa pengendali berusia 53 tahun itu untuk memberikan peluang beraksi kepada pemain-pemain lain. Formasi yang mungkin akan digunakan oleh Perak adalah 4-4-1-1.
Gilmar dan Wander Luiz bakal diletakkan harapan tinggi untuk menggugat benteng lawan disamping kelincahan Firdaus Saiyadi dan Norhakim Hassan akan cuba mencipta peluang buat kedua-dua penyumbang 50% gol The Bos Gaurus musim lalu itu.
Ramalan Semuanya BOLA
Keputusan perlawanan ini bakal bergantung kepada sentuhan Kipre Tchetche. Jika kapten Sang Penyu itu berjaya mengakhiri kemarau jaringannya, Terengganu berada dalam kedudukan terbaik untuk memenangi aksi di Kuala Terengganu ini.
Namun, jika Kipre gagal sekali lagi, perlawanan dijangkakan akan berkesudahan dengan kedua-dua pasukan berkongsi 1 mata. Barisan peledak The Bos Gaurus dilihat masih bergelut dan krisis kecergasan pemain akan menjadi batas untuk misi 3 mata Perak.