Previu MSL 2019: JDT Berpeluang Menebus Kekecewaan Tersingkir Daripada Piala FA

Tugas berat sedang menanti PKNS FC apabila bakal berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin malam ini untuk perlawanan yang ke 10 Liga Super.

Ini adalah pertemuan kedua mereka minggu ini dan pengendali skuad semut merah, Datuk Rajagobal sedar JDT pasti mahu membalas dendam setelah menyingkirkan mereka daripada saingan Piala FA 2 hari lepas dengan jaringan 1-0.

Namun begitu, prestasi JDT ketika itu tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana mereka menurunkan barisan kedua dan merehatkan beberapa tonggak utama selain beraksi dengan 10 orang ekoran kad merah Kiko Insa.

Ujian sebenar menanti PKNS FC malam ini apabila pengurus JDT, Luciano Figueroa membayangkan akan menurunkan barisan terkuat untuk mengutip tiga mata penuh bagi mengukuhkan lagi kedudukan teratas Liga Super.

Bagaimanapun, Rajagobal yakin anak buahnya dapat menampilkan aksi terbaik meskipun berdepan dengan masalah keletihan dan kecederaan setelah berhempas pulas menewaskan JDT di stadium yang sama pada hari rabu lepas.

Kiko Insa (JDT) menerima kad merah ketika menentang PKNS FC dalam saingan Piala FA. – foto: JST

Pemain tumpuan

Diogo Luis Santos (JDT)
Beliau bukanlah seorang pemain yang mudah untuk dikawal apabila berada dalam kotak penalti dan mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan PKNS FC yang diterajui oleh Rodney Celvin dan pemain import dari Krygyzstan, Tamilan Kozubaev. Bekas penyerang Buriram United ini telah menjaringkan 5 gol dalam saingan Liga Super setakat ini dan hanya dimasukkan sebagai pemain simpanan ketika menentang PKSN FC dalam saingan Piala FA. Kemampuannya menyudahkan beberapa peluang di depan pintu gol bergantung kepada kebijaksanaan Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid mengaturkan gerakan ke kubu lawan.

Diogo Santo
FOTO: JST

Akram Mahinan (PKNS FC)
Beliau adalah antara wira yang tidak didendang dalam skuad semut merah. Pemain tengah skuad kebangsaan ini merupakan tonggak penting PKNS FC dan khidmatnya sentiasa berada dalam perancangan Rajagobal untuk membantu melindungi benteng pertahanan daripada diserang oleh lawan. Tidak hairanlah pasukan tersebut merupakan pasukan ketiga yang paling sedikit bolos dalam Liga Super setakat ini. Ketiadaan Akram mampu memberi masalah kepada pertahanan PKNS FC kerana lawan yang ditemui sentiasa mengamalkan corak permainan pantas.

FOTO: PKNS FC

Rekod pertemuan

Berdasarkan rekod pertemuan, JDT lebih mendominasi dengan 17 kemenangan sepanjang 29 perlawanan dengan PKNS FC sejak tahun 2005.

Pada musim lepas, JDT mudah membelasah PKNS FC dengan jaringan 3-0 di Stadium Larkin namun mereka terikat tanpa jaringan dalam pertemuan kedua Liga Super di Stadium Shah Alam.

17 April 2019:
JDT 0-1 PKNS FC (Piala FA)

27 Mei 2018:
PKNS FC 0-0 JDT (Liga Super)

14 April 2018:
JDT 3-0 PKNS FC (Liga Super)

24 Mei 2017:
PKNS FC 0-1 JDT (Liga Super)

15 April 2017:
JDT 2-1 PKNS FC (Liga Super)

Taktikal pasukan

JDT dijangka akan mengekalkan posisi 4-3-3 yang sinonim dengan falsafah bola sepak menyerang kelab bola sepak ini. Gonzalo Cabrera, Diogo Luis Santo dan Safawi Rasid dijangka akan terus mengetuai rangkaian tiga serangan dalam perlawanan ini. Formasi berubah menjadi 4-2-3-1 ketika dalam permainan, Leandro Velasquez dijangka akan kembali beraksi di belakang Diogo – sebagai pemain No.10.

Sedikit pertukaran dijangka akan berlaku terutama di bahagian pertahanan, Adam Nor Azlin dijangka akan kembali digandingkan dengan Mauricio di bahagian tengah pertahanan menggantikan Aidil Zafuan. Namun Luciano harus membuat keputusan sama ada untuk menurunkan Afiq Fazail atau Natxo Insa untuk digandingkan bersama Harris Harun di bahagian tengah. Ianya bergantung kepada tahap kecederaan yang dialami oleh Natxo Insa.

Dua sistem utama yang sering digunapakai oleh Datuk K. Rajagopal pada musim ini adalah sistem 4-4-2 dan juga 4-1-4-1. Kedua-dua sistem mampu memberi kestabilan kepada PKNS FC. 4-4-2 lebih sesuai sekiranya PKNS FC mahu corak permainan menyerang yang lebih agresif.

Manakala 4-1-4-1 lebih kepada corak permainan berhati-hati, sebelum menggempur lawan menggunakan serangan balas pantas seperti mana yang dipamerkan ketika menundukkan Selangor 4-0, dan mengikat Kedah 0-0 di Alor Star. Kpah Sherman adalah ancaman utama kepada kubu lawan. Namun kebijaksanaan Akram Mahinan yang merencakan serangan dari bawah turut harus diberikan kredit.

FOTO: PKNS FC

Ramalan Semuanya BOLA

Di atas kertas, JDT sudah pasti akan menang kerana mereka sentiasa konsisten dan sehingga kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri dalam saingan Liga Super.

Namun, PKNS FC juga mampu melakukan kejutan jika benteng pertahanan skuad Harimau Selatan mengambil mudah terhadap jentera serangan yang diketuai oleh Kpah Sherman dan Gonzalo Guerra.

Menentang pasukan yang secara taktikal lebih banyak bertahan seperti PKNS FC, keupayaan Diogo Luis Santos dan Safawi Rasid akan diuji malam ini.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN