Previu MSL 2019: FELDA United Buru Tiga Mata, Pahang Intai Peluang Rampas Takhta Liga Super

Skuad Tok Gajah hari ini memerlukan tiga mata penuh untuk terus mencabar pendahulu Liga Super apabila berkunjung ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka untuk menghadapi FELDA United.

Selain Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang merupakan pasukan kedua yang masih belum tewas selepas 7 perlawanan Liga Super musim ini dan mereka berpeluang untuk memintas juara bertahan tersebut jika berjaya menewaskan FELDA United malam ini dengan defisit 2 gol tanpa bolos.

Namun begitu, ianya bukan tugas yang mudah kerana FELDA United juga mempunyai misi untuk mengekalkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri selepas mencatat dua keputusan yang positif di Jengka iaitu seri 1-1 bertemu PKNP FC dan menewaskan Petaling Jaya City, 1-0.

FOTO: FELDA United

FELDA United waspada terhadap ancaman rangkaian serangan Pahang

Hadin Azman merupakan antara pemain yang perlu diberi perhatian oleh skuad tok gajah apabila muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan itu dengan tiga gol dalam saingan Liga Super setakat ini.

Malah, pemain import baharu skuad The Fighters, Thiago Quirino yang dibawa masuk pada saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup, bakal membuat penampilan pertama malam ini selepas mendapat lampu hijau daripada Malaysia Football League (MFL).

Biarpun Dickson Nwakaeme tidak akan beraksi bersama Pahang malam ini, pengendali skuad itu, Nidzam Jamil memberi amaran kepada anak buahnya bahawa Pahang tetap berbahaya tanpa kelibat penyerang dari Nigeria itu.

“Sebaik mengetahui Nwakaeme tidak beraksi kerana penggantungan, saya lebih bimbangkan dengan barisan pemain di posisi serangan. Ini kerana Pahang memiliki jentera serangan yang bagus terutama gandingan Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan Ze Love (Jose Eduardo) yang dilihat mampu memberi tekanan kepada kubu FELDA United.

“Atas faktor itu, saya minta pemain supaya lebih berhati-hati dan tidak memberi ruang kepada Pahang membolosi gawang,” katanya dalam Berita Harian

Ditanya rekod tanpa kalah dua perlawanan di STAR setakat ini, Mohd Nidzam mengharapkan tuah di gelanggang sendiri akan berpihak kepada The Fighters.

“Biarpun bakal berdepan saingan getir bertemu Pahang esok, saya mahu pemain beraksi dengan baik dan memberi tentangan,” katanya.

FOTO: FELDA United

Pahang berpeluang menghuni kedudukan teratas Liga Super

Semalam, juara liga super 5 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) gagal meneruskan rentak kemenangan apabila terikat 1-1 dengan pasukan Kedah di Stadium Darul Aman. Keputusan itu merupakan peluang terbaik untuk skuad tok gajah memintas skuad Harimau Selatan dengan syarat mendapatkan 3 mata penuh.

Pahang dijangka akan mempertaruhkan gandingan Norshahrul Idlan Talaha dan Ze Eduardo di bahagian serangan. Selain Dickson Nwakaeme, pengendali Tok Gajah, Dollah Salleh juga mengesahkan pemain import dari Indonesia, Saddil Ramdani tidak akan beraksi malam ini.

“Saddil mungkin tidak bersama Pahang bertemu FELDA United kerana saya perlu menilai prestasi sebelum dia disenaraikan. Apa yang boleh saya sahkan bahawa tiga import iaitu Safuwan Baharudin, Herold Goulon dan Jose Eduardo akan disenaraikan,” katanya dalam Harian Metro.

Bermain di padang tiruan di Stadium Tun Abdul Razak pasti akan memberikan kesukaran kepada pemain Pahang. Situasi itu memaksa mereka menjalani latihan selama dua hari di padang sintetik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk menyesuaikan diri.

“Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamer prestasi diinginkan selepas liga berehat selama tiga minggu.

“Tiga mata menjadi misi utama pasukan dan diharapkan ia tercapai untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super,” katanya.

FOTO: Pahang FA

Rekod pertemuan

Pahang jelas sekali mempunyai rekod buruk setiap kali bertemu FELDA United apabila gagal mencatat sebarang kemenangan dalam 5 pertemuan terakhir mereka. Bagaimanapun, rekod tersebut bukan ukuran sebenar kerana FELDA United ketika itu dibimbing oleh B. Satiananthan dengan barisan pemain yang lebih berpengalaman.

1 Julai 2017:
FELDA United 2-1 Pahang (Liga Super)

26 April 2017:
Pahang 1-1 FELDA United (Liga Super)

16 Ogos 2016:
Pahang 0-3 FELDA United (Liga Super)

12 Mac 2016:
FELDA United 2-0 Pahang (Liga Super)

19 Ogos 2015:
Pahang 2-2 FELDA United (Liga Super)

Taktikal pasukan

Kedua-dua pasukan menggunakan formasi yang sama iaitu 4-4-2. Nidzam Jamil dijangka akan menurunkan dua pemain import di bahagian serangan iaitu Thiago Quirino dan Kei Ikeda yang berfungsi sebagai ‘target man’ sambil dibantu oleh Hadin Azman dan S. Chanturu.

Manakala Pahang seperti biasa akan menurunkan Mohamadou Sumareh di bahagian sayap kanan dan pemain muda, Faisal Halim di bahagian sayap kiri untuk membantu Norshahrul Idlan Talaha dan Ze Eduardo.  Mereka dilihat bergantung kepada kekuatan bahagian sayap untuk mengatur serangan ke kubu lawan.

Ketiadaan Daniel Amier Norhisham juga sedikit menjejaskan jentera tengah skuad FELDA United kerana mereka perlu berdepan gandingan dua pemain tengah skuad kebangsaan Malaysia dan Singapura iaitu Azam Azih dan Safuwan Baharuddin.

Berbanding Pahang, FELDA United mempunyai rekod bolos yang paling banyak dengan 9 gol berbanding Pahang yang hanya bolos 3 gol setakat ini. Statistik ini sudah cukup untuk mengambarkan kekuatan bahagian pertahanan di antara kedua-dua pasukan.

Ramalan Semuanya BOLA

Meskipun rekod pertemuan lebih memihak kepada FELDA United, namun Pahang pasti tidak rela rekod tanpa kalah mereka lebur malam ini kerana boleh menjejaskan usaha mereka untuk mencabar pendahulu liga super.

Bagaimanapun, FELDA United yang kini menghuni kedudukan ke 9 dalam carta Liga Super sudah membuat persiapan rapi untuk memastikan 3 mata penuh menjadi milik mereka. Keputusan perlawanan malam ini bergantung pada sejauh masa penguasaan pemain beraksi di atas rumput tiruan kerana ia melibatkan tahap kecergasan yang tinggi.

Pasukan mana yang tidak berdepan dengan isu kecergasan beraksi di atas rumput tiruan dijangka akan menjadi pemenangnya.

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun.

Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan sedutan perlawanan minggu-minggu sebelumnya. Teruskan setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN