Quantcast

LIGA MALAYSIA

Previu MSL 2019: Aksi Mendebarkan Bakal Hiasi Pertembungan Ke-4 Perak & PKNP FC

Perak dan Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) bakal membuat perhitungan keempat pada musim ini apabila akan turun ke Stadium Perak, Ipoh bagi aksi ke-13 saingan Liga Super Malaysia 2019, malam ini.

Sabtu lalu, Perak berjaya mencatatkan kemenangan 2-1 keatas PKNP FC hasil dua jaringan pemain import baharu, Ronaldo Henrique Silva yang sekaligus membawa skuad ‘Yob’ ke peringkat separuh akhir Shopee Piala FA.

Kedudukan Liga Super Malaysia 2019

Kempen liga bagi kedua-dua pasukan selepas mengharungi 12 perlawanan tidaklah begitu memberangsangkan apabila Perak hanya mencatatkan dua kemenangan manakala PKNP FC pula dengan tiga kemenangan diraih.

Perak bagaimanapun memiliki kelebihan hasil lapan keputusan seri dan dua perlawanan buat PKNP FC.

Ia meletakkan Perak di tangga kelapan di kedudukan Liga Super dengan 14 mata, berkelebihan tiga mata di hadapan PKNP FC yang menghuni tangga ke-10.

Perak pasca Gilmar Jose Da Silva & Wander Luiz Bitencourt Jr

Selepas kehilangan dua pemain serangan dari Brazil ini, Perak telah mendapat dua orang pengganti  yang juga dari negara samba tersebut.

Harapan besar semestinya digalas Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Da Costa Morais (Careca) bagi meneruskan kewibawaan duo yang membantu Perak menjulang trofi Piala Malaysia musim lalu itu.

Melihatkan kepada aksi sulung mereka selepas hanya kira-kira dua hari menyertai pasukan, gandingan ini kelihatan tidak sukar untuk menyesuaikan diri dengan iklim bola sepak tanah air.

Bagaimanapun, jentera tengah Perak selepas ketiadaan Brendan Gan yang mengalami kecederaan perlu kreatif dalam menjelmakan hantaran dan sokongan padu buat Ronaldo dan Careca.

PKNP FC hilang khidmat Thomas Abbey

Hasrat PKNP FC dalam menurunkan barisan terkuat pada aksi malam ini direncatkan dengan kecederaan metatarsal yang dialami Thomas Abbey.

Abbey mengalami kecederaan tersebut pada aksi suku akhir kedua di Ipoh, Sabtu lalu dan dikhabarkan akan disisihkan 6 hingga 8 minggu.

Thomas Abbey

Thomas Abbey terpaksa diketepikan akibat kecederaan Metatarsal.

Pemain tengah dari Ghana itu memainkan peranan penting di bahagian tengah pada dua aksi suku akhir di Manjung dan Ipoh sehingga menyebabkan kesukaran buat pemain Perak.

Menurut sumber StadiumAstro, tempat Abbey bakal diisi bekas pemain Perak, G. Mugenthiran yang baru sahaja pulih dari kecederaan.

Ronaldo Henrique Silva & Mohamad Hafiz Ramdan

Ronaldo mudah untuk mencuri tumpuan penyokong ‘Yob’ dengan dua jaringan pada penampilan sulungnya bersama Perak.

Penyerang berusia 28 tahun itu mempunyai ketenangan dalam menyudahkan peluang dimilikinya.

Ronaldo Henrique Silva tenang menewaskan Ahmad Asyraaf Omar bagi membuka tirai jaringan pada aksi suku akhir kedua Shopee Piala FA 2019 di Stadium Perak, Ipoh.

Sudah lega dari ‘jetlag’ berikutan perjalanan jauh dari Brazil, beliau bakal sekali lagi menjadi taruhan utama Perak dalam meneruskan kecemerlangan bagi merobek gawang PKNP FC.

Sementara itu di kem PKNP FC, Hafiz Ramdan seharusnya menjadi antara pemain yang perlu mendapat perhatian khusus jentera pertahanan Perak terutamanya buat Amirul Azhan Aznan.

Hafiz Ramdan mampu menghadirkan bahaya buat Perak.

Kelincahannya berserta larian pantas nyata menjadi aset berguna buat kapten PKNP yang mesra dengan panggilan ‘Kancil’ itu.

Ledakan menerusi situasi bola mati juga mampu membuatkan Perak berputih mata malam ini jika kehadirannya di bahagian sayap itu dipandang enteng.

Rekod pertemuan Perak vs PKNP FC

Liga Super 2018

1) PKNP FC (1) v (2) Perak – Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang

2) Perak (4) v (3) PKNP FC – Stadium Perak, Ipoh

Liga Super 2019

1) PKNP FC (0) v (4) Perak – Stadium Majlis Perbandaran Manjung

Suku akhir Piala FA 2019

1) PKNP FC (0) v (0) Perak – Stadium Majlis Perbandaran Manjung

2) Perak (2) v (1) PKNP FC – Stadium Perak, Ipoh

Sebelum sepak mula

Perak yang masih segar dengan kejayaan tempoh hari pasti mahu sekali lagi keluar sebagai pemenang ketika berdepan PKNP FC.

Berbekalkan rekod tanpa kalah ketika berdepan lawan tersebut pada lima perlawanan terakhir, ia memperlihatkan sedikit kelebihan buat anak buah Mehmed Durakovic.

Namun, selepas PKNP FC tumbang 0-4 di Manjung pada April lalu, Abu Bakar Fadzim dan para pemainnya seperti sudah mempelajari sesuatu untuk berhadapan dengan Perak.

Ia terbukti apabila Perak begitu berhempas pulas untuk menewaskan mereka pada dua aksi suku akhir Shopee Piala FA.

Satu perlawanan menarik pasti akan berlangsung malam ini!

#FMONIFLIX

Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.

Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.

Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!

Kredit foto: Perak TBG & PKNP FC