Saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 akan meneruskan saingannya apabila menyaksikan Perak akan melayani kunjungan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium TLDM, Lumut jam 9.00 malam ini.
Kedua-dua pasukan masih segar dengan kemenangan pada perlawanan kedua.
Perak berjaya meraih kemenangan keatas Kedah 3-1 manakala PKNS FC harus berterima kasih dengan jaringan minit akhir perlawanan yang dicipta Safee Sali untuk menang 1-0 ketika bertemu Pahang di Shah Alam.
Prestasi semasa
Perak
Perak berada dalam mood terbaik bagi menghadapi perlawanan malam ini setelah kejayaan menundukkan Kedah di Stadium Darul Aman dilihat menjadi lonjakan semangat buat anak buah Mehmet Durakovic itu.
Tiga jaringan berjaya dihasilkan di tempat lawan dan hanya dibolosi menerusi sepakan penalti memberikan gambaran awal yang positif buat jentera pasukan ketika ini.
Gandingan mantap Robert Cornthwaite dan Shahrul Mohd Saad di posisi pertahanan tengah yang mendapat sokongan dari Amirul Azhan Aznan dan Nazirul Naim Che Hashim bakal terus menjadi tunjang kekuatan pertahanan Perak.
Ketangkasan Leandro Dos Santos Oliveira dan Brendan Gan yang memainkan peranan bermakna dalam mematahkan gerakan awal lawan juga cukup membantu kelancaran pergerakan pasukan.
Jentera serangan pula sudah pasti akan mengharapkan gandingan Wander Luiz Bitencourt Junior dan Gilmar Jose Da Silva Filho untuk terus mempamerkan bisa yang dimiliki berbekalkan bantuan dari bahagian sayap yang menjadi tanggungjawab Nor Hakim Hassan dan Misagh Bahadoran.
Perak pada ketika ini juga kelihatan agak berbahaya sewaktu situasi bola mati.
PKNS FC
Kelab yang mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Datuk K.Rajagopal ini bermula dengan agak baik selepas seri 2-2 bertemu Terengganu di tempat lawan dan menang 1-0 menentang Pahang.
Sama seperti Perak, kombinasi pemain pertahanan tengah banyak membantu dengan kekentalan yang dipamerkan.
Gandingan pemain import, Zach Anderson dan Azmizi Azmi ternyata memainkan peranan penting dalam aspek bertahan.
Sewaktu bertahan, pemain sayap kanan dan kiri, Jafri Firdaus Chew dan Faris Ramli rajin untuk membantu K.Reuben dan Qayyum Marjoni.
Faris yang merupakan pemain import kuota Asean kelihatan lebih menyerlah apabila beliau juga berkeupayaan untuk mengancam kubu lawan.
Pemain berpengalaman, Safee Sali kini berperanan sebagai ‘nombor 10’ apabila beliau beraksi di belakang penyerang utama, Rafael Ramazotti. Sekiranya beliau benar-benar cergas dan bebas dari sebarang kecederaan, Safee Sali bakal menikmati musim yang hebat musim ini.
Namun kelemahan dapat dikesan pada bahagian tengah apabila gandingan pemain import, Jonathan Acosta dan Romel Morales ketika ini hanya memberikan aksi yang ‘biasa-biasa’ sahaja sebagai pemain import.
Banyak kesilapan mudah yang dilakukan dan ianya pasti menggusarkan Datuk K.Rajagopal apabila bakal menanti cabaran pemain tengah Perak yang lebih agresif.
Rekod pertemuan dalam Liga Super
Perak dan PKNS FC telah bertemu sebanyak lapan perlawanan sesama sendiri dalam saingan Liga Super yang menyaksikan Perak berjaya memenangi tiga pertemuan manakala PKNS FC dengan dua kemenangan. Tiga lagi keputusan seri telah dicatatkan.
Pertemuan musim lalu menunjukkan keputusan seimbang dicatatkan apabila PKNS FC menang 3-0 di Stadium Shah Alam dan Perak menang 2-0 di Ipoh.
Pemain tumpuan
Semua pemain yang beraksi pada malam ini sudah pasti akan memberikan persembahan yang terbaik buat pasukan masing-masing dalam misi mencari kemenangan kedua.
Gandingan pemain di bahagian serangan semestinya menjadi tumpuan malam ini dengan kombinasi Wander Luiz dan Gilmar serta Safee Sali dan Rafael Ramazotti bakal memberikan nasib berbeza buat pasukan mereka.
Namun pemain lain seperti Nor Hakim Hassan dan Faris Ramli juga turut mencuri tumpuan penulis.
Kelibat kedua-dua pemain tampak begitu berbahaya dalam usaha memecah tembok pertahanan pasukan lawan pada dua perlawanan terdahulu.
Sebelum wisel
Kedua-dua pasukan dilihat mempunyai kelemahan dan kelebihan tersendiri.
Kepakaran Mehmet Durakovic dan Datuk K.Rajagopal juga akan memainkan peranan bagi merencana taktikal yang sesuai malam ini.
Perlawanan yang akan dilangsungkan tanpa penyokong atas hukuman yang diterima pasukan Perak sedikit sebanyak merencatkan suasana aksi yang dijangka menarik malam ini.