Previu MSL 2018: Pahang Bakal Pertaruh Issey Nakajima Jumpa Terengganu

10 hari selepas berentap sesama sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu dan Pahang bakal beradu kekuatan sekali lagi dalam aksi perlawanan ke-10 unifi Liga Super 2018.

Cuma bezanya kali ini, Pahang berpeluang untuk menghadiahkan kemenangan di depan penyokong sendiri di Stadium Darul Makmur selepas berjaya melakukan perkara sama ketika menewaskan Terengganu 3-1 di halaman Sang Penyu itu.

Ketika aksi di Kuala Terengganu pada 1 Mei lepas, Pahang mudah menewaskan Terengganu yang nampak tempang tanpa penyerang Kipre Tchetche dengan jaringan 3-1.

Patrick Cruz memporak-perandakan pertahanan Terengganu untuk menjaringkan 2 gol dan menyumbang 1 bantuan gol kepada pemain gantian, Faisal Halim. Gol saguhati Terengganu dijaringkan oleh Lee Tuck selepas bek kiri Pahang, Faisal Rosli menjatuhkan bek kanan Terengganu, Kamal Azizi dalam kotak penalti.

https://www.youtube.com/watch?v=CXZNxOa3lsU

Prestasi semasa

Dianggap salah sebuah pasukan yang berpotensi menduduki kedudukan ke-4 teratas unifi Liga Super 2018, Terengganu mempunyai sebab untuk tidak berasa puas hati dengan persembahan mereka setakat ini apabila hanya mampu mengutip 12 mata daripada 27 mata maksimum.

Kemenangan terakhir Terengganu datangnya pada pertengahan April apabila mereka menewaskan Melaka United 3-0 di Stadium Hang Jebat. Sejak itu, Terengganu hanya mengutip 1 mata dalam 3 perlawanan seterusnya – seri 1-1 dengan Kedah, sebelum tewas 1-3 kepada Pahang dan 2-3 kepada Perak.

Kipre Tchetche (dua dari kiri) memerhati dengan kecewa selepas Terengganu tewas 2-3 kepada tuan rumah, Perak dalam aksi unifi Liga Super 2018 (Sumber: Terengganu Football Club)

Pahang pula ketika ini sedang menikmati prestasi yang cemerlang. Baru tewas sekali (1-2 kepada PKNS FC) pada musim ini, Pahang telah mengutip 11 mata daripada 15 mata maksimum yang ditawarkan dalam 5 perlawanan liga terakhir mereka.

Rekod pertemuan

Sebelum pertemuan kedua-dua pasukan ini pada Hari Pekerja lepas, Pahang dan Terengganu berentap kali terakhir pada musim Liga Super 2016. Pada musim tersebut, Terengganu jelas merupakan pasukan yang lebih baik – menewaskan Pahang 2-1 di Kuantan sebelum mengikat seri 1-1 di halaman sendiri.

Bagaimanapun dalam rekod 5 perlawanan terakhir mereka, kedua-dua pasukan jelas seimbang. Pahang menang 2 kali, Terengganu 2 kali dan sekali seri.

Sebelum wisel

Penyokong Pahang jelas mempunyai sebab yang kukuh untuk berasa yakin menjelang perlawanan ini jika kita melihat rekod cemerlang mereka di halaman sendiri pada musim ini.

Masih belum tewas, menjaringkan 14 gol dan baru bolos 3 gol dalam 9 perlawanan semua kejohanan (unifi Liga Super dan Shopee Piala FA) – Pahang jelas merupakan pasukan pilihan dalam Derby Pantai Timur ini.

Rekod Terengganu di halaman lawan – terutamanya di Stadium Darul Makmur – pula tidaklah begitu teruk. Pada musim ini sahaja, Terengganu hanya tewas sekali di halaman lawan (2-3 kepada Perak), seri sekali dan menang 2 kali (3-0 kepada Melaka United, 2-1 kepada Negeri Sembilan).

Tetapi jika kita mengambil kira prestasi semasa Terengganu yang kalah 2 perlawanan terakhir mereka, ia memerlukan lebih dari sekadar rekod yang baik untuk menang menentang Pahang yang gah di Stadium Darul Makmur ketika ini.

Ketika kedua-dua pasukan ini bertemu di Kuala Terengganu, Sang Penyu turun tanpa kehadiran penyerang utama, Kipre Tchethce dan sebaliknya menurunkan Akanni Sunday yang dipromosi dari skuad Terengganu II.

Dalam perlawanan tersebut, Sunday gagal menyerlah. Beliau gagal menunjukkan persefahaman yang jitu dengan Bruno Suzuki dan Lee Tuck di tengah di samping mudah didominasi dari segenap segi oleh Afif Amiruddin dan Muslim Ahmad.

Tetapi dengan Kipre Tchetche, Terengganu mungkin berpeluang menampilkan satu kelainan dan masalah baru kepada barisan pertahanan Pahang.

Kipre Tchetche sudah menjaringkan 6 gol daripada 7 penampilan unifi Liga Super 2018 setakat ini. (Sumber: Terengganu Football Club)

Cuma satu perkara yang pasti menjadi kerisauan Irfan Bakti adalah kecenderungan pemainnya ‘menghadiahkan’ gol kepada pasukan lawan setiap kali kehilangan penguasaan bola.

Ketika ditemu ramah oleh Stanley Bernard selepas kekalahana 2-3 Terengganu kepada Perak pada minggu lepas, Irfan sedar tentang perkara ini. “Ketiga-tiga gol yang kami lepaskan malam ini berpunca daripada kegagalan kami mengekalkan penguasaan bola ketika naik menyerang,” katanya.

Sementara itu Pahang pula dijangka akan menampilkan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama mereka menjelang perlawanan ini. Afif Amiruddin masih belum 100% akan diturunkan. Jika tidak, Muslim Ahmad dijangka akan berpasangan dengan Bunyamin Omar sebagai pertahanan tengah.

Di sayap kiri, bekas pemain Terengganu, Issey Nakajima-Farran akan membuat kemunculan pertama untuk Pahang selepas sah menggantikan Chan Vathanaka yang dilepaskan pada jendela perpindahan tengah musim 2018.

Berikut adalah keputusan undi pemilihan jentera pasukan Pahang Fa untuk pusingan ke-2 musim 2018.

Terima kasih diucapkan kepada Chan Vathanaka dan Alex Moraes.

Selamat datang calon baru ke keluarga Pahang Fa

Posted by Pahang FA on Tuesday, May 8, 2018

Di bahagian serangan, Patrick Cruz dijangka akan kembali berpasangan dengan Nurshahrul Idlan Talaha yang kembali pulih daripada kecederaan dalam formasi 4-4-2 kegemaran Dollah Salleh. Patrick yang dicalonkan sebagai Pemain Terbaik Bulanan PFAM-asiana.my Liga Super 2018 untuk bulan April sudah pun menjaringkan 6 gol dalam 6 perlawanan semua kejohanan.

Patrick Cruz merupakan sandaran utama jentera serangan Pahang pada musim 2018 ini. Sumber: Facebook Pahang FA

Pemain tumpuan

Bagi pertahanan Pahang, tiada nama lain di kem Terengganu yang lebih membahayakan selain Kipre Tchetche. Kelincahan, teknik dan kelajuan beliau dijangka bakal memberi masalah kepada Muslim Ahmad, Afif Amiruddin (atau Bunyamin Omar jika Afif masih cedera).

Jika tidak menjaringkan gol sekalipun, penyerang kelahiran Cameroon ini tetap mampu menyumbang bantuan gol kepada jentera tengah beliau yang dianggotai oleh Lee Tuck, Bruno Suzuki, J. Partiban dan Faiz Nasir.

Bagi kem Terengganu pula, kelincahan Mohamadou Sumareh di sayap kanan pastinya perlu dikawal jika mereka mahu menamatkan rentetan 2 perlawanan tanpa kemenangan mereka.

Mohamadou Sumareh dijangka akan memberikan malam yang sukar kepada bek kiri Terengganu (Sumber: Pahang FA)

Bek kiri Terengganu, Adib Aizuddin dijangka akan berdepan dengan malam yang sukar menentang Sumareh yang laju, lincah menggelecek dan dominan dari segi fizikal.

Pemain sayap kiri Terengganu wajib membantu Adib bertahan setiap kali pasukan mereka hilang mereka untuk mengelakkan situasi 2v1 apabila Matthew Davis naik membuat larian overlapping.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN