Previu MSL 2018: Negeri Sembilan Kembali Ke Liga Super Dengan Impian Menggunung

Negeri Sembilan

Selepas empat tahun merindui aksi dalam saingan Liga Super, Negeri Sembilan bakal kembali membuat penampilan dalam kancah liga utama tanah air itu selepas mendapat pengkhabaran gembira dari pihak Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Negeri Sembilan yang menamatkan Liga Premier 2017 di tempat ke-4 telah diumumkan oleh FMLLP bersama-sama Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC untuk menggantikan T-Team dan Felda United bagi beraksi dalam Liga Super 2018.

Negeri Sembilan yang pernah menjuarai Liga Super 2005/06 terpaksa menelan kepahitan tergelincir ke Liga Premier pada tahun 2014 selepas menduduki tangga tercorot Liga Super 2013.

Kini mereka kembali menemui saingan Liga Super.

Pembentukan pasukan

Bagi bersaing hebat dalam Liga Super 2018, Negeri Sembilan telah melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan musim lalu.

Negeri Sembilan mengikat pemain berpengalaman, Kim Do-Heon bersama empat lagi pemain import baharu iaitu Renars Rode (Rigas FS), Madhu Mohana (Tampines Rovers),  Flavio Beck Junior (Borneo FC) dan  Nicolas Leandro Velez (Suphanburi FC).

Bagi pemain tempatan pula, Negeri Sembilan membawa masuk tujuh orang pemain yang berpengalaman beraksi dalam Liga Super untuk membentuk gandingan mantap bersama pemain import dan pemain sedia ada.

Antaranya ialah Ahmad Syihan Hazmi Mohamed (Kelantan), Mohd Khairul Izuan Rosli (Kelantan) Mohd Aizulridzwan Razali (Felda United), Muhammad Syahid Zaidon (Felda United), Mohd Fakhrul Aiman Sidid (Felda United), Mohd Fauzan Dzulkifli (PKNS FC) dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid dari Selangor.

Kehadiran semula bintang masa depan negara, N.Thabalan ke Negeri Sembilan selepas dipinjamkan ke Felcra FC musim lalu juga dapat memberikan sumbangan bermakna buat pasukan.

Manakala empat pemain dari skuad Piala Presiden Negeri Sembilan telah menarik minat ketua jurulatih, Jorg Peter Steinebrunner untuk diserapkan ke skuad utama.

Pemain tersebut adalah Kalaiharasan Letchumanan (pertahanan), Muhamad Asraf Roslan dan Mohammad Aiman Mohammad Khalidi di posisi tengah serta Mohd Fauzi Abdul Latif (penyerang).

Pemain tumpuan 

Kehadiran pemain import berpengalaman luas dan pernah beraksi untuk West Bromwich Albion di Liga Perdana Inggeris serta mewakili Korea Selatan dalam Piala Dunia, Kim Do-Heon diharapkan mampu untuk menjelmakan sumbangan berkesan buat skuad Jang.

Tambahan pula pemain berusia 36 tahun itu telah dilantik menjadi ketua pasukan Negeri Sembilan seperti yang telah disahkan oleh Pengurus Pasukan, Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin.

Di samping itu kelibat Flavio Beck Junior juga dinantikan para peminat pasukan Hoben Jang Hoben ini. Beliau mampu untuk mencipta jaringan dari jarak jauh dan juga menerusi sepakan percuma.

Artikel terdahulu mengenai Flavio Beck juga telah menceritakan mengenai kualiti yang ada pada bekas pemain Borneo FC ini.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa sentuhan pemain muda meningkat naik, N.Thanabalan turut bakal menjadi tumpuan peminat yang akan membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi nanti.

Beliau yang sering membantu skuad B-23 negara menjaringkan gol-gol penting perlu diberikan peluang untuk lebih mematangkan corak permainannya.

Siri perlawanan persahabatan

Lapan perlawanan persabahatan telah dilalui Negeri Sembilan sejak bulan Disember yang lalu termasuklah siri lawatan ke Kemboja yang dilakukan. Negeri Sembilan telah mencatatkan 3 kemenangan, 3 keputusan seri dan 2 kekalahan.

Para pemain yang baru bersama pasukan telah mula menunjukkan kualiti yang dimiliki apabila Khairul Izuan Rosli telah berjaya mencipta tiga jaringan dalam empat perlawanan terakhir.

Flavio Beck, Nicolas Velez, Fakhrul Aiman dan Syahid Zaidon masing-masing mencipta satu jaringan.

Sasaran satu piala dan 5 pasukan terbaik Liga Super

Dengan persiapan rapi yang dilakukan bagi membentuk pasukan yang lebih mantap, Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) telah meletakkan sasaran untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala bagi musim ini.

Dalam saingan Liga Super pula, PBNS mahu skuad Negeri Sembilan menamatkan saingan dalam kedudukan lima pasukan terbaik liga.

Satu cabaran berat yang perlu digalas Peter Steinebrunner dan anak buahnya, namun tiada yang mustahil dalam bola sepak bagi mereka untuk merealisasikan impian tersebut.

Sama seperti pasukan lain, pemain yang baru bersama pasukan perlu cepat untuk menyesuaikan diri dengan taktikal dan keadaan persekitaran bagi menjelmakan keputusan yang positif buat Negeri Sembilan.

Tambahan pula skuad Jang kali ini dibarisi ramai muka baru dan sudah pasti memerlukan masa untuk mewujudkan keserasian sepasukan yang lebih jitu.

Foto: Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan – RASMI

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN