Previu MSL 2018: Konsisten Amat Penting Buat Perak Bagi Cipta Kejayaan

Perak

Pasukan Perak akan membuat penampilan ke-15 dalam saingan Liga Super dan menjadi satu-satunya pasukan beraksi dalam semua edisi Liga Super yang mula diperkenalkan sejak tahun 2004.

Namun begitu skuad yang kini dibimbing Mehmet Durakovic itu masih belum mengecapi sebarang kejuaraan Liga Super. Pencapaian terbaik Perak adalah menghuni tempat kedua pada musim 2007.

Bagi mengharungi musim 2018, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Perak boleh dianggap sebagai pasukan yang mampu untuk menghadirkan ancaman buat pasukan lain yang turut mengintai peluang menjuarai saingan musim baru itu.

Pembentukan pasukan

Perak mengekalkan hampir sebahagian besar skuad musim lalu yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia dan menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-5.

Hanya Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Thiago Junio De Aquino, Yashir Armando Pinto Islame dan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak merupakan pemain utama yang tidak disambung khidmat mereka musim ini.

Dua sandaran utama kelahiran Brazil, Leandro Dos Santos Oliveira dan Gilmar Jose Da Silva Filho turut kekal untuk menggalas tanggungjawab bersama Perak musim ini.

Bagi menampung segenap kelemahan yang diperhalusi Mehmet Durakovic sepanjang musim lalu, beliau membuat keputusan bagi membawa masuk beberapa pemain yang menjadi pilihannya sendiri.

Mehmet telah merekrut dua orang pemain import baru iaitu Wander Luiz Bitencourt Junior (Brazil) dan Misagh Medina Bahadoran (Filipina) yang bertindak sebagai pemain di bahagian serangan untuk memberikan sumbangan bermakna buat Perak.

Kuota pemain import di bahagian pertahanan dari benua Asia pula akan diumumkan dalam beberapa hari lagi dan kelihatan Perak sudah mempunyai calon yang sesuai.

Dalam pada itu Perak juga berjaya mendapatkan khidmat tiga orang pemain tempatan dalam memperkuatkan barisan pemain apabila membawa masuk Brendan Gan, Norhakim Hassan dan Rafiuddin Roddin ke dalam pasukan.

Sasaran satu piala

Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) telah meletakkan sasaran satu piala untuk diraih skuad Perak pada musim ini.

Mehmet Durakovic yang diberikan peluang untuk terus membimbing pasukan, kali ini mempunyai peluang untuk menyediakan pasukan mengikut acuannya sendiri apabila beliau bebas untuk memilih pemain yang diinginkannya.

Keadaan yang berbeza berbanding musim lalu kerana beliau hanya masuk meneruskan tugasan mendiang Karl Heinz Weigang dengan skuad yang sudah tersedia kecuali hanya dapat membawa masuk Gilmar dan Leandro ke dalam pasukan.

Dengan pengekalan hampir sebahagian besar pemain utama musim lalu juga memberikan gambaran positif berkenaan persefahaman para pemain.

Ianya merupakan perbezaan daripada kelaziman apabila sebelum ini Perak seringkali melakukan rekrut besar-besaran sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Berdasarkan senarai pemain yang dipilih serta persefahaman pasukan yang sudah semakin serasi dengan corak permainan dan taktikal dari Mehmet Durakovic, sasaran satu piala itu adalah realistik buat Perak musim ini.

Jentera pertahanan 

Mengikut statistik, Perak lebih banyak dibolosi daripada menghasilkan jaringan buat enam tahun terakhir dalam saingan Liga Super.

Bagi tiga musim terakhir pula, pasukan yang lebih dikenali sebagai The Boss Gaurus ini mencatatkan -1 dalam perbezaan jaringan.

Bukanlah satu prestasi yang amat teruk bagi barisan jentera pertahanan tetapi ia perlu dipertingkatkan untuk mewujudkan unit pertahanan yang lebih kental.

Ini bermakna Mehmet Durakovic perlu merencana satu pelan perancangan yang menarik dalam memantapkan kembali jentera pertahanan Perak.

Shahrul Mohd Saad ketika ini dilihat sebagai calon utama yang sesuai untuk digandingkan bersama pemain import pertahanan kuota Asia yang bakal dibawa masuk Perak nanti.

Pemain skuad bawah 23 tahun negara, Muhamad Syazwan Zaipol Bahari yang kembali bersama pasukan selepas dipinjamkan ke Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC musim lalu juga kelihatan berupaya untuk membuktikan kredibiliti yang dimiliki olehnya.

Sistem serangan

Sama seperti jentera pertahanan, bahagian serangan juga tidaklah begitu hambar. 30 jaringan telah dihasilkan musim lalu.

Kemasukan Wander Luiz mampu untuk membantu Gilmar di jentera serangan. Ini dibuktikan apabila Gilmar mengakui beliau mudah untuk serasi dengan rakan senegaranya itu.

Di samping itu, Norhakim Hassan yang beraksi selaku sayap kiri telah mempamerkan aksi bertenaga pada perlawanan persahabatan. Beliau berkeupayaan untuk menjadi nilai tambah buat memantapkan jentera serangan skuad ‘Yob’ itu.

Tiga perlawanan persahabatan terawal bukan petunjuk prestasi sebenar

Perak telah beraksi dalam tiga perlawanan persahabatan di Lembah Klang bertemu Felcra FC, MOF FC dan Kuantan FA. Kemenangan pada tiga perlawanan tersebut bukanlah petunjuk sebenar mengenai prestasi pasukan.

Namun, ianya mampu untuk menjadi medan buat Mehmet Durakovic menilai segala ruang yang perlu diperbaikinya menjelang saingan sebenar bermula Februari nanti. Para pemain juga dapat kembali menemui rentak selepas berehat selepas menamatkan saingan musim lalu.

Prestasi pemain seperti Norhakim Hassan dan Wander Luiz semakin menjadi bualan para peminat yang menyaksikan tiga perlawanan tersebut. Kedua-dua pemain baru ini dilihat semakin membuktikan kualiti yang baik dimiliki mereka.

Ahmad Khairil Anuar Zamri (Beto) yang diketepikan oleh Datuk Ong Kim Swee ke China juga mempersembahkan aksi yang meyakinkan. Tidak mustahil jika beliau mampu untuk menyinar dan menjadi antara sandaran utama musim ini.

Perlu konsisten

Perak merupakan satu pasukan yang sukar dijangka. Mampu untuk beraksi cemerlang dan menang berdepan pasukan yang lebih baik. Ada ketika mereka mempamerkan aksi longlai bertemu pasukan di tangga bawahan.

Konsisten sangat diperlukan oleh Nasir Basharudin dan rakan sepasukan bagi membolehkan pasukan itu menamatkan saingan di keputusan yang lebih baik musim ini sekaligus terus menunjukkan peningkatan.

Carta kedudukan terakhir Perak dalam Liga Super 2013 hingga 2017

 

Kredit foto: Perak TBG

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN