Penampilan sulung Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) dalam saingan Liga Super sudah pasti dinantikan oleh banyak pihak setelah kelab tersebut berjaya mencipta beberapa kejutan pada musim lalu.
PKNP FC mendapat pengkhabaran gembira pada Disember tahun lalu selepas pihak Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengumumkan bahawa skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim itu akan beraksi dalam saingan Liga Super 2018 bagi menggantikan Felda United dan T-Team.
Perjalanan yang cukup pantas buat PKNP FC kerana mereka telah bermula dari liga bawahan.
PKNP FC beraksi dalam saingan Liga FAM pada tahun 2016, kemudiannya bersaing dalam Liga Premier musim lalu dan ketika ini kelab tersebut sedang giat bagi menyiapkan pasukan untuk mengharungi kancah Liga Super.
Pembentukan pasukan
PKNP FC masih belum membuat pengumuman rasmi untuk skuad musim ini.
Namun, berita gembira diterima apabila pemain tonggak, Muhammad Shahrel Fikri Bin Md Fauzi yang sebelum ini dikatakan hampir pasti akan berhijrah akhirnya memilih untuk terus kekal bersama pasukan.
Perkara ini secara tidak langsung dapat melonjakkan semangat para pemain lain kerana Shahrel Fikri merupakan ketua pasukan dan memberikan sumbangan yang begitu berkesan sepanjang musim lalu.
Bagi menghadapi ranjau berliku dalam Liga Super, Abu Bakar Fadzim ketika ini sudah mendapatkan khidmat dua pemain import iaitu Yeon Gisung (Korea Selatan) dan Keo Sokpheng (Kemboja) bagi menambah bisa di bahagian serangan.
Kedua-dua pemain tersebut merupakan bekas pemain di kelab Phnom Penh Crown yang beraksi dalam Liga Kemboja.
Khidmat pemain pertahanan kental dari Latvia, Ritus Krjauklis masih dikekalkan bagi mengemudi jentera pertahanan pasukan.
Raffi Nagoorgani dan Mohamad Hafiz Ramdan yang dipinjamkan dari pasukan Perak juga membuat keputusan untuk terus menabur bakti buat PKNP FC.
Sementara itu, Abu Bakar Fadzim terpaksa mencari pengganti yang sesuai buat beberapa pemain utama musim lalu yang sudah meninggalkan pasukan seperti Gilberto Valdenésio Fortunato (Felda United), Hyeon Woo Kim (Terengganu), Ahmad Sukri Hamid (Kelantan) dan Muhamad Syazwan Zaipol Bahari telah kembali ke Perak selepas dipinjamkan pada musim lalu.
Jentera serangan
Selepas Gilberto Valdenésio Fortunato dan Hyeon Woo Kim menjadi watak yang sering membantu Shahrel Fikri dalam mencipta jaringan demi jaringan pada musim lalu, PKNP FC kini perlu mengharapkan kepada gandingan Yeon Gisung dan Keo Sokpheng untuk memberikan sumbangan yang lebih berkesan.
Berdasarkan enam perlawanan persahabatan yang dilalui ketika ini, PKNP FC hanya mampu menjaringkan masing-masing satu gol dalam dua perlawanan ketika bertemu UKM FC (1-1) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) (1-3).
Empat lagi perlawanan menyaksikan mereka gagal untuk mencipta sebarang jaringan pada perlawanan bertemu Kedah (0-2), Kelantan (0-0), Felda United (0-2) dan PKNS FC (0-2).
Di samping meningkatkan prestasi pasukan, Keo Sokpheng terutamanya perlu membuktikan kualiti sebenar beliau kerana para peminat dari Kemboja begitu mengikuti rapat perkembangan beliau di laman Facebook rasmi PKNP FC.
Tidak mustahil juga warga Kemboja yang berada di seluruh Malaysia akan memenuhi stadium dimana Sokpheng akan beraksi nanti.
Cabaran berliku pada penampilan pertama
Sebagai pendatang baru dan pasti tidak diberikan harapan untuk ‘terbang’ tinggi dalam saingan ini, skuad PKNP FC berpeluang untuk mengulangi kejutan seperti yang dilakukan musim lalu apabila menamatkan saingan Liga Premier di tempat ke-3 serta layak ke saingan suku akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
Abu Bakar Fadzim yang telah bersama kelab ini sejak dari saingan Liga FAM tentunya mempunyai ramuan yang berguna untuk menjadikan perjuangan pasukannya musim ini bukan hanya sebagai nasib dan dilabelkan sebagai penumpang dalam Liga Super.
Semangat juang para pemain serta adunan pemain lama yang sudah memahami kemahuan dan taktikal yang diterapkan Abu Bakar menjadi sandaran buat pasukan. Ditambah dengan kemasukan beberapa pemain baharu yang diharapkan dapat menambah kualiti pasukan.
Diharapkan juga pemain tengah berusia 22 tahun, Muhammad Fadhil Idris dapat mempamerkan aksi yang terbaik musim ini kerana secara peribadi, penulis melihat beliau sebagai seorang pemain tengah yang berpotensi besar.
Mampu bersaing hebat dengan pasukan lain
Sudah menjadi impian buat mana-mana pasukan yang menyertai Liga Super mahukan kedudukan yang terbaik buat pasukan mereka. Itu juga pasti tidak terkecuali buat PKNP FC.
Berhadapan dengan pasukan-pasukan lebih bersedia dan berpengalaman dalam Liga Super membuatkan para penyokong PKNP FC pasti akan lebih realistik dengan apa yang bakal diberikan pasukan pada musim ini.
Namun, tiada yang mustahil dalam bola sepak kerana PKNP FC telah membuktikannya musim lalu walaupun tidak begitu dihiraukan kehadiran mereka dalam Liga Malaysia.
Selamat maju jaya buat PKNP FC!
Kredit foto: PKNP FC