Di atas kertas, ia bagaikan pertemuan langit dan bumi. Kuala Lumpur tewas semua perlawanan yang mereka lalui setakat ini. Hanya empat gol dijaringkan, dan gawang mereka dibolosi 17 kali – paling banyak dalam saingan.
Tatkala Kedah gagah bersaing dengan kelompok atasan Liga Super, Kuala Lumpur berada di kedudukan tercorot – masih tercari-cari rentak saingan yang turut menyaksikan Yusri Che Lah meletakkan jawatan selepas enam kekalahan berturut-turut.
Lang Merah enggan pandang rendah The Hawks
Walaupun tampak lebih gagah di atas kertas, pengendali skuad Lang Merah sedar barisan pemainnya tidak sepatutnya memandang rendah keupayaan pemain Kuala Lumpur.
“Kita tidak sesekali akan mengambil mudah dalam saingan berdepan mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia termasuk KL. Kita akan pastikan perancangan kita berjalan dengan baik.
“Kita tahu KL berjaya mencatat kemenangan yang melayakkan pasukan itu ke pusingan ketiga Piala FA. Ini sudah pasti memberi semangat serta motivasi yang baharu buat mereka.”
“Pencapaian mereka (KL) dalam Liga Super hari ini adalah kisah semalam. Apa yang berlaku besok akan menjadi rekod baharu dan oleh itu kita perlu lebih berwaspada, “ ujar pengendali dari Singapura itu kepada Berita Harian semalam.
Kuala Lumpur mahu positif
Skuad warga kota akhirnya mencatat kemenangan pertama pada musim ini di bawah kendalian pemangku ketua jurulatih, Chong Yee Fat ketika menewaskan Tun Razak FC 3-0 dalam perlawanan pusingan kedua Piala FA yang lalu.
Kemenangan tersebut boleh menjadi tonik permulaan untuk skuad warga kota memburu keputusan positif bermula dengan perlawanan pada malam ini.
Ia bukan tugasan yang mudah, apatah lagi moral pasukan turut rendah selepas gagal mencatat sebarang mata sebelum ini.
Sekiranya kebangkitan yang Kuala Lumpur cari, maka perlawanan ini adalah masa terbaik untuk melakukannya.
Pemain tumpuan
Bagi pasukan tuan rumah Kuala Lumpur, kelibat dan pengalaman Indra Putra Mahayudin sentiasa ditagih. Malah ketika dalam perlawanan menentang Tun Razak FC, kesungguhan beliau jelas sekali dalam membantu rakan sepasukan untuk memburu gol. Perlawanan menentang Kedah pada malam ini tiada bezanya. Menggalas tanggungjawab selaku kapten, Indra mempunyai peranan besar untuk dimainkan pada malam ini.
Bagi skuad Lang Merah, kelibat Fernando Rodriguez akan menjadi perhatian – setelah pemain ini menjaringkan gol dalam dua perlawanan terdahulu. Bemula agak perlahan pada musim ini, Rodriguez seolah-olah sudah menemui rentak yang diperlukan untuk aksi di Liga Malaysia. Bersama-sama rakan sepasukan, Jonathan Bauman, Rodriguez harus diberikan perhatian sepenuhnya oleh barisan pertahanan Kuala Lumpur.
Rekod pertemuan
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan juga menarik untuk diperkatakan. Musim lalu, ia berlangsung dengan sengit, dan Kuala Lumpur mencipta kemenangan dalam perlawanan serupa yang diadakan di Cheras.
- 20hb Jun 2018 Kedah 3-2 Kuala Lumpur (Liga Super)
- 10hb Mac 2018 Kuala Lumpur 4-3 Kedah (Liga Super)
- 14hb Februari 2017 Kedah 4-2 Kuala Lumpur (Piala FA)
- 7hb Ogos 2015 Kedah 3-0 Kuala Lumpur (Liga Premier)
- 3hb April 2015 Kuala Lumpur 0-1 Kedah (Liga Premier)
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!