Musim lalu, saingan Liga Malaysia bolehlah diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga bagi pasukan Sarawak FA. Pertamanya, skuad yang sinonim dengan jolokan ‘Bujang Senang’ tersebut gagal untuk kekal di saingan Liga Super untuk saingan musim akan datang.
Kemudian, Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) disahkan gagal untuk mendapatkan lesen FAM, sekaligus memadamkan hasrat mereka untuk kekal di saingan tertinggi bola sepak negara, setelah Felda United dan T-Team FC disahkan beraksi di saingan 100Plus Liga Premier pada musim akan datang.
Apa masalah Sarawak FA?
Kegagalan demi kegagalan untuk bangkit pada saban musim Liga Malaysia menyebabkan penyokong-penyokong mulai tertanya-tanya. Apakah perancangan seterusnya oleh FAS? Apakah pelan FAS untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Sarawak?
Atau lupakan dulu perancangan untuk ke hadapan. Soalan yang perlu dijawab terlebih dahulu ialah, adakah FAS sudah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki segala permasalahan yang timbul dari musim-musim sebelum ini?
Untuk pertama kalinya, FAS juga mewujudkan satu jawatan khas iaitu jawatan Pengarah Komersil. Tujuan jawatan tersebut diwujudkan ialah untuk melancarkan lagik perancangan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti media, pemasaran dan hubungan korporat persatuan tersebut secara lebih meluas.
Berdasarkan satu kenyataan media Pengarah Komersil FAS yang dikenali sebagai Abang Man, persatuan tersebut tampil untuk menjawab beberapa persoalan yang sering menjadi tanda tanya penyokong bola sepak Sarawak.
1. Isu gaji
Dalam kenyataan yang turut dimuat naik ke dalam laman Facebook persatuan tersebut semalam, Abang Man mengakui bahawa persatuan tersebut mempunyai masalah kelewatan membayar gaji pemain pada musim lalu.
Namun demikian, usaha-usaha tetap dilakukan oleh Presiden FAS, Dato Posa Majais untuk mencari dana bagi mengisi kantung persatuan untuk mengatasi masalah tersebut.
Namun demikian, Abang Man tidak mengesahkan sama ada FAS sudah mengatasi masalah pembayaran gaji secara sepenuhnya, atau pun FAS masih berusaha untuk berbuat demikian menjelang permulaan musim baharu.
Walaupun timbul kelewatan di dalam pembayaran gaji pemain, kegagalan FAS untuk mendapatkan lesen kelab FAM 2018 bukanlah kerana urusan kewangan pada musim 2017, yang didukung oleh kumpulan pengurusan baru diketuai oleh Dato Posa Majais.
2. Kegagalan memperolehi lesen FAM
Sebaliknya, Abang Man menjelaskan ia adalah kerana kegagalan FAS untuk menampilkan laporan audit akaun persatuan tersebut untuk tahun 2016 yang didukung oleh kelompok pengurusan terdahulu.
Oleh itu, pada kali ini FAS memberi jaminan akaun kewangan semasa persatuan tersebut akan sentiasa dikemaskini, dan sedia diaudit untuk membolehkan Sarawak FA memperoleh lesen pertandingan FAM, sekali gus layak untuk bertanding di dalam saingan Liga Super 2019, sekiranya berjaya melayakkan diri pada musim akan datang.
Satu perkara yang pasti mengenai usaha FAS untuk menghadapi saingan pada ialah mereka tidak mahu episod duka di dalam dan juga di luar padang daripada berulang.
Setelah bergelut sepanjang musim pada saingan Liga Malaysia pada musim lalu, FAS kini tampil lebih proaktif dalam merangka strategi bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2018.
3. Tugas berat Ian Gillan
Oleh itu, FAS bertindak melantik Ian Andrew Gillan sebagai Ketua Jurulatih skuad Bujang Senang pada musim hadapan.
Selain daripada memegang tanggungjawab mengendalikan skuad utama Sarawak, Ian Gillan juga turut dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan FAS.
Antara peranan Ian Gillan di dalam portfolio tersebut ialah untuk membantu FAS membangunkan seberapa ramai bakat baharu di dalam bidang kejurulatihan, sebelum bakat-bakat di dalam bola sepak di negeri Sarawak mampu dibangunkan secara menyeluruh.
Ian Gillan bukanlah watak asing di dalam kancah bola sepak Malaysia, khususnya di peringkat pembangunan bakat muda.
Pernah menjawat jawatan penolong jurulatih bersama skuad Lang Merah ketika era Tan Cheng Hoe, Gillan juga merupakan individu yang bertanggungjawab membangunkan bakat-bakat muda di Kedah pada ketika itu seperti Farhan Roslan, Rizal Ghazali, Syafiq Tajuddin, Syafiq Ahmad dan Hanif Dzahir.
Tetapi pencapaian tersebut dicapai kira-kira 4 musim yang lalu. Cabaran yang menanti Gillan bersama Sarawak FA mulai musim ini adalah jauh lebih sukar.
Berbeza seperti ketika bersama Kedah, Gillan bukan sekadar perlu memulakan. Malah jurulatih daripada Scotland itu turut perlu bermula dari proses perangkaan di Sarawak.
4. Penyokong setia dukung Sarawak FA
Satu keistimewaan Sarawak FA yang mungkin tidak dimiliki oleh kelab-kelab dan pasukan lain di Liga Malaysia ialah pengorbanan kelompok penyokong setia mereka yang dikenali sebagai GB13.
Jika anda berkesempatan menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan Sarawak pada musim lalu, anda pasti menyedari kehadiran mereka.
Dari selatan tanah air di Larkin, sehinggalah ke Kangar, kehadiran mereka sentiasa ada untuk memberikan sokongan, walaupun dengan prestasi pasukan yang tidak menentu.
Menjelang sepak mula Liga Malaysia 2018, GB13 turut mengambil inisiatif tersendiri bagi membantu pasukan kesayangan mereka.
Selain daripada lantang dalam kritikan dan memberi cadangan kepada pengurusan, GB13 turut membantu menerbangkan salah seorang calon pemain import untuk menjalani sesi pemilihan di Kuching dengan dana mereka sendiri.
Kerjasama sebegini adalah satu jalinan kerjasama yang sihat untuk kebaikan bola sepak negeri Sarawak, sekali gus menjadikan bola sepak itu lebih inklusif di kalangan penyokong bola sepak Sarawak.
5. Isu pemain cedera
Tengah hari semalam, penyokong bola sepak Sarawak turut dikejutkan dengan satu kenyataan dari bekas bintang dan kapten pasukan Sarawak, Joseph Kalang Tie (JKT) di akaun Facebook milik beliau.
Dalam muat naik tersebut, JKT secara lantang membidas bekas majikannya itu yang mengabaikan kebajikan pemain sekiranya mengalami kecederaan.
Luahan tidak puas hati oleh JKT tersebut berlaku selepas FAS mengumumkan pengguguran pemain tengah, Shahrol Saperi selepas pemain tersebut mengalami kecederaan.
Usaha kami untuk mendapatkan ulasan Shahrol gagal. Namun demikian FAS membayangkan tidak akan membiarkan Shahrol Saperi begitu sahaja, dan bersedia untuk menawarkan pemain berusia 33 tahun itu peranan di dalam bidang kejurulatihan.
Sepanjang tempoh itu juga, FAS berjanji untuk membenarkan Shahrol menggunakan segala kemudahan di FAS seperti penggunaan fisioterapis untuk tempoh pemulihan kecederaan beliau.
6. Persiapan pasukan menjelang 100Plus Liga Premier
Berdasarkan laporan oleh akhbar tempatan, Borneo Post, FAS dijangka akan mengumumkan skuad penuh pasukan Sarawak pada minggu hadapan, selewat-lewatnya pada 10 Januari 2017.
Menjadi tanda tanya siapakah pemain import yang bakal menggalas cabaran pasukan Sarawak pada kali ini. Setelah membatalkan niat untuk kekal dengan 100% tenaga tempatan untuk cabaran pada musim ini, beberapa pemain asing dilaporkan telah tiba di Kuching untuk memikat Ian Gillan.
Bagaimanapun, kami menyarankan agar FAS berhati-hati dalam pengambilan tenaga import, setelah sebelum ini pernah terpalit dengan isu kecederaan dan pemain yang tidak cergas.
Mulai 13 Januari akan datang, FAS turut telah merangka 3 perlawanan persahabatan di semenanjung tanah air, dengan Felcra FC, UITM FC, serta Felda United menjadi pilihan untuk menguji keserasian di kalangan pemain.
Penutup
Satu perkara yang pasti, Sarawak FA masih mempunyai banyak perkara untuk diperbaiki sebelum kembali bangkit dan tampil sebagai sebuah pasukan yang digeruni di kancah saingan Liga Malaysia.
Namun langkah-langkah positif yang diambil oleh pihak pengurusan, serta kerjasama semua pihak termasuk dari kalangan penyokong wajar dipuji.
Dari kaca mata penyokong, FAS sudah melakukan terlampau banyak kesilapan di masa lalu sehingga bola sepak di negeri Sarawak merudum begitu teruk sekali.
Kini tiba masa untuk melakukan pembetulan, merancang dan melaksana. Buat penyokong, ketahuilah kejayaan tidak akan tiba bergolek tanpa usaha.
Buat FAS, jangan biarkan pisang berbuah dua kali!
Artikel ini merupakan pandangan penulis semata-mata dan tidak mewakili Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.