Secara matematika, semua empat pasukan dari Kumpulan F, Piala Dunia 2018 masih boleh melayakkan diri ke pusingan 16 pasukan terbaik, walaupun Korea Selatan dilihat memerlukan keajaiban untuk menewaskan Jerman dengan kelebihan lima gol.
Sweden tiada pilihan lain selain daripada beraksi sehabis baik untuk memburu kemenangan dalam perlawanan ini, sambil mengharapkan Korea Selatan mampu sekurang-kurangnya mengikat Jerman.
El Tri yang berada di tangga teratas kumpulan dan menewaskan Jerman serta Korea Selatan dalam dua perlawanan sebelum ini hanya memerlukan satu lagi mata untuk mengesahkan kemaraan.
Namun demikian jurulatih Mexico, Juan Carlos Osorio memberi jaminan pasukan kendaliannya akan memberikan yang terbaik untuk memburu kemenangan ke atas Sweden.
Jika kedua-dua perlawanan terakhir Kumpulan F ini berakhir seri, maka kelebihan jaringan akan diambil kira sebagai penentu.
Dan jika Sweden dan Jerman memiliki jumlah jaringan dan perbezaan jaringan yang sama, keputusan perlawanan di antara kedua-dua pasukan akan diambil kira sebagai penentu untuk pasukan yang akan menemani Mexico ke saingan kalah mati.
Jerman menewaskan Sweden 2-1 dalam perlawanan pusingan kedua.
Berikut adalah beberapa fakta perlawanan membabitkan Mexico dan Sweden yang wajib anda ketahui:
-
- Mexico telah berhadapan dengan Sweden sebanyak 9 kali sebelum perlawanan ini. Namun kedua-dua pasukan hanya bertemu sekali di Piala Dunia. Sweden menewaskan Mexico 3-0 dalam perlawanan tersebut, juga merupakan perlawanan pembukaan Piala Dunia 1958.
- Mexico hanya tewas sekali dari 5 perlawanan terakhir menentang Sweden. Dua lagi perlawanan menghasilkan keputusan seri dan dua kemenangan. Semua perlawanan tersebut merupakan perlawanan persahabatan antarabangsa.
- Sweden tidak pernah dibolosi dalam empat perlawanan Piala Dunia menentang wakil CONCACAF sebelum ini. Wakil Eropah tersebut turut mencatatkan 2 kemenangan, dan 1 seri.
- Mexico tidak pernah mencatatkan 3 kemenangan berturut-turut di Piala Dunia. Sekiranya berjaya menewaskan Sweden, maka El Tri akan menjadi pasukan pertama dari CONCACAF yang berjaya berbuat demikian di Piala Dunia.
- Kekalahan kepada Jerman dalam perlawanan sebelum ini, merupakan kekalahan pertama Sweden di peringkat kumpulan Piala Dunia. Kali terakhir Sweden tewas di peringkat kumpulan ialah kepada Costa Rica di edisi 1990.
- Manakala Mexico hanya tewas 2 daripada 19 perlawanan peringkat kumpulan Piala Dunia yang disertai mereka, merekodkan 10 kemenangan dan 9 keputusan seri.
- Sweden hanya menang 4 kali dari 13 perlawanan Piala Dunia selepas menjaringkan gol pendahuluan. Mereka turut tewas 4 kali dan seri 5 kali, walaupun selepas mendahului.
- Jaringan Javier Hernandez ketika membantu Mexico menewaskan Korea Selatan 2-0 adalah gol ke-4 beliau di Piala Dunia, sekaligus menyamai rekod sebagai penjaring terbanyak Mexico di Piala Dunia yang dipegang oleh Luis Hernandez.
- Penyerang Sweden, Ola Toivonen gagal menjaringkan sebarang gol dalam 23 perlawanan untuk Toulouse di saingan Ligue 1 pada musim lalu walaupun merekodkan 19 percubaan. Di Rusia, Toivonen telah menjaringkan 1 gol, hanya dengan 2 percubaan ke arah gol.
- Sweden merekodkan peratus penguasaan bola sebanyak 24% ketika tewas 2-1 kepada Jerman. Ia adalah peratus penguasaan terendah yang pernah direkodkan oleh pasukan tersebut sejak Piala Dunia 1966.
Sebelum sepak mula
Kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain utama yang mantap setakat ini.
Tatkala kemaraan ke peringkat seterusnya masih menjadi taruhan, kami menjangkakan tiada perubahan ketara akan dilakukan oleh Juan Carlos Osorio untuk Mexico dan rakan sejawat beliau di Sweden, Janne Andersson.
Kedua-dua pasukan turut tidak mempunyai isu kecederaan, ataupun pergantungan akibat layangan kad menuju perlawanan yang akan dilangsungkan di Central Stadium, Yekaterinburg pada malam ini.
Penutup
Sweden sebenarnya adalah pasukan yang mantap, dan berasaskan taktik serangan balas pantas. Mereka adalah sebuah pasukan yang sangat tersusun (organisasi), juga mempunyai semangat kebersamaan yang jitu di kalangan pemain.
Manakala Mexico pasti mahu meneruskan momentum kemenangan mereka untuk mara sejauh mungkin dalam kejohanan pada kali ini. Pemain-pemain seperti Hirving Lozano dan Javier Hernandez akan terus menjadi sandaran untuk memburu gol.
Pertemuan di antara Mexico dan Sweden, masih lagi menjadi perlawanan menarik untuk kita saksikan dari Kumpulan F.