Pertembungan kedua melibatkan kumpulan A awal pagi nanti akan menemukan tuan rumah, Rusia dengan wakil dari Afrika, Mesir.
Kedua-dua pasukan menerima nasib berbeza pada perlawanan sulung apabila Rusia berjaya membelasah Arab Saudi 5-0.
Mesir pula kecewa akibat jaringan pada minit ke-89 oleh Jose Gimenez yang sekaligus meleburkan impian untuk sekurang-kurangnya mendapatkan satu mata ketika bertemu Uruguay.
Rusia dalam mood terbaik raih kemenangan bagi cipta sejarah
Kemenangan besar yang diraih pada perlawanan pembukaan semestinya melonjakkan semangat anak buah Stanislav Cherchesov bagi menghadiahkan satu lagi kegembiraan buat negara tuan rumah itu.
Andainya kemenangan dapat dilakarkan keatas Mesir awal pagi nanti, ia bakal menjadi sejarah pertama kali bagi negara tersebut melayakkan diri ke pusingan kalah mati Piala Dunia sebagai negara Rusia.
Ketika saingan 2014 di Brazil, mereka hanya mampu menamatkan saingan kumpulan H di tempat ketiga, selepas tewas ditangan Belgium dan sekadar seri bertemu Korea Selatan dan Algeria.
Misi hidup atau mati Mesir
Hanya kemenangan dapat menghidupkan kembali peluang buat Mesir dalam usaha merebut tempat ke pusingan kalah mati.
Persembahan ketika tewas tipis menentang Uruguay tempohari perlu diperkemaskan bagi mengilhamkan lebih banyak peluang untuk diterjemah dengan lebih kreatif oleh anak buah Hector Cuper ini.
Kehadiran semula pemain yang menjadi fenomena ketika ini, Mohamed Salah bakal meningkatkan moral serta kekuatan Mesir bagi menghadapi perlawanan itu nanti.
Pemain tumpuan
Aleksandr Golovin akan sekali lagi menjadi sandaran utama Cherchesov dalam usaha merobek gawang lawan seperti yang dipamerkannya pada perlawanan bertemu Arab Saudi.
Golovin berjaya menjaringkan satu gol serta mencipta dua bantuan jaringan untuk menjadikan beliau sebagai pemain yang perlu menjadi perhatian jentera pertahanan Mesir nanti.
Beliau berupaya menjelmakan hantaran berkualiti bagi mencipta peluang menarik buat rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan.
Keupayaan Denis Cheryshev yang mencetak dua jaringan juga tidak wajar dipandang enteng oleh Mesir.
Di kem Mesir, sudah pasti kehadiran semula Mohamed Salah yang dilaporkan sudah pulih sepenuhnya akan menimbulkan kegusaran buat Rusia.
Penjaring 44 gol bersama Liverpool musim ini itu akan dijadikan sandaran buat Hector Cuper dalam usaha mengelakkan Mesir terkandas di pusingan awal.
Pengendali dari Argentina itu tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan Salah pada perlawanan menentang Uruguay.
Keadaan semasa yang melibatkan Mohamed Salah juga memperlihatkan perkembangan positif setelah ia disahkan sendiri oleh pegawai pasukan.
Pasti ramai yang menantikan impak yang bakal dipertontonkan pemain berusia 26 tahun itu pada penampilan sulungnya dalam kancah Piala Dunia.
Sebelum sepak mula
Menarik untuk disaksikan perlawanan yang bakal berlangsung di Saint Petersburg, apabila kedua-dua pasukan masih belum pernah beraksi sesama sendiri sebelum ini.
Kelebihan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri buat para pemain Rusia bakal diuji dengan kekentalan semangat juang wakil dari Afrika itu seperti apa yang dibuktikan ketika bertemu Uruguay tempohari.