Persaingan kumpulan F di Piala Dunia 2018 masih belum menemui pasukan kedua yang sudah mengesahkan layak ke pusingan seterusnya.
Perebutan masih lagi terbuka, hatta bagi pasukan Korea Selatan yang masih belum mengutip sebarang mata masih mampu mengiringi Mexico ke pusingan kalah mati.
Perlawanan jam 10 malam waktu Malaysia melibatkan Jerman dan Korea Selatan menjadi perlawanan penentu sama ada wakil Asia itu mampu mencipta kejutan ke atas juara bertahan atau tidak.
Penuh helah
Jika diikutkan kedudukan kumpulan F, pasukan Mexico sudah sah mara ke pusingan seterusnya.
Jadi perebutan untuk ke pusingan seterusnya adalah melibatkan Jerman, Korea Selatan dan juga Sweden.
Situasi ini merupakan situasi yang tricky atau kita panggil sebagai penuh helah.
Dari perspektif Jerman, tugas mereka mudah. Mereka menang dengan berapa pun jumlah jaringan – mereka akan layak.
Bagi Sweden pula, mereka perlu menang dengan jaringan yang besar ke atas Mexico untuk memberi jaminan kerana potensi Jerman untuk menewaskan Korea Selatan itu besar.
Atau tidak, mereka boleh mengharapkan Jerman untuk seri dalam perlawanan menentang Korea Selatan.
Bagi Korea Selatan, tiada pilihan lain buat mereka selain menang menentang Jerman.
Tetapi, tugas mereka sedikit sukar kerana mereka perlu menang dan tidak bolos menentang Jerman. Sambil mengharapkan Sweden tewas di tangan Mexico.
Hal ini kerana, Korea Selatan perlu meneutralkan semula perbezaan jaringan yang mereka peroleh ketika ini kerana perbezaan jaringan mereka adalah -2 ketika ini.
Sementara Sweden dan Jerman pula mempunyai perbezaan jaringan 0 ketika ini.
Jadi, andai Korea Selatan menang ke atas Jerman dan Sweden tewas di tangan Mexico maka Korea Selatan bukan sahaja menyingkirkan satu tetapi dua pasukan!
Pemain tumpuan
Bagi Jerman, penulis berminat untuk menyaksikan bagaimana Timo Werner mengetuai barisan serangan Jerman menentang wakil Asia ini.
Beliau belum lagi menjaringkan gol di Piala Dunia 2018, jadi dalam perlawanan yang cukup genting buat Jerman ini adalah peluang terbaik untuk beliau membuktikan nilai beliau dalam skuad Jerman.
Werner mempunyai purata 2.0 percubaan dalam 2 perlawanan Piala Dunia setakat ini. Beliau jelas boleh memperbaiki prestasi beliau dalam perlawanan ini.
Untuk Korea Selatan tiada lain selain nama Son Heung-min menjadi pilihan.
Son yang menjaringkan gol saguhati Korea Selatan ketika menentang Mexico tempoh hari sekali lagi diharapkan akan memberi inspirasi buat Korea Selatan di bahagian serangan.
Sebelum sepak mula
Jerman dilihat sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan ini sementara Korea Selatan dianggap sebagai pasukan bukan pilihan.
Namun dalam bola sepak segalanya boleh terjadi, sekiranya Korea Selatan tampil berani dan garang dalam perlawanan ini – jangakakan saingan sengit dari mereka.
Jerman menjangkakan Korea Selatan akan bermain bertahan, namun dalam situasi sebegini mereka perlu menyerang untuk mencari gol.
Semoga berjaya buat kedua-dua pasukan.