Kedah dan JDT akan berentap di final pada malam ini. Perlawanan akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil yang sudah bersedia untuk final.
Ini merupakan perlawanan ulangan final Piala Malaysia 2017, di mana ketika itu JDT juara selepas menang 2-0 ke atas Kedah.
Perlawanan ini akan diadili oleh Nazmi Nasaruddin sebagai ketua pengadil.
Laluan ke final
JDT menjadi juara kumpulan B dengan mengutip 16 mata daripada 6 perlawanan. Kedah menjadi juara kumpulan A dengan 13 mata daripada 6 perlawanan.
Pada peringkat suku akhir JDT menewaskan pasukan Terengganu. Kedah pula mengatasi cabaran PKNP FC.
Dalam peringkat separuh akhir, JDT menewaskan Selangor. Aksi heroic Safawi Rasid di Shah Alam antara persembahan individu terbaik dalam sejarah Piala Malaysia.
Manakala pasukan Kedah mengatasi Pahang dalam satu aksi klasik ‘thriller’ 18 gol daripada 2 perlawanan.
Prestasi semasa
Kedah mencatatkan 2 keputusan seri dalam 2 perlawanan terakhir mereka selepas 3 kemenangan berturut-turut. Manakala JDT menang kesemua 5 perlawanan terakhir mereka.
Dalam 5 perlawanan terakhir, Kedah menjaringkan 17 gol dan bolos sebanyak 13 kali.
JDT dalam tempoh yang sama menjaringkan 12 gol dan hanya bolos 3 kali sahaja.
Rekod pertemuan
JDT menang 3 daripada 5 pertemuan terakhir dengan Kedah.
Kedah pula berjaya menang 1 perlawanan daripada jumlah yang sama.
Kedua-dua pasukan seri sekali dalam 5 perlawanan terakhir.
Pemain tumpuan
Afiq Fazail (JDT)
Beliau antara kunci penting JDT di bahagian tengah dalam kempen Piala Malaysia musim ini. Safawi kita semua sudah tahu bisanya, namun Afiq Fazail harus diberikan perhatian oleh Kedah.
Baddrol Bakhtiar (Kedah)
Baddrol masih menjadi pemain penting Kedah terutama sekali dalam perlawanan besar seperti ini. Beliau ada rekod yang sangat baik dalam menyelamatkan Kedah apabila memerlukan.
Sebelum wisel
JDT turun sebagai pasukan pilihan pada kali ini dengan status juara Liga Super.
Manakala Kedah membawa cabaran selaku juara Piala FA 2019 yang merupakan kejuaraan pertama mereka di bawah kendalian Aidil Sharin.
Kedua-dua pasukan memerlukan piala ini untuk ‘unlock’ juara berganda domestik.
Fakta perlawanan
- Kedah adalah juara 5 kali Piala Malaysia. Manakala JDT pula juara sekali
- Kedah merupakan pasukan paling banyak mara ke final dalam 5 tahun terakhir dengan 4 kali. Daripada angka itu mereka menjuarai Piala Malaysia pada 2016
- Ini merupakan penampilan ke-3 JDT di dalam final. 2 sebelum ini menyaksikan 1 juara (2017) dan 1 Naib Juara (2014)
- Kedah pula sudah mara ke final Piala Malaysia sebanyak 13 kali, 5 kali menjadi juara
- Kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam final Piala Malaysia 2017, dan dimenangi JDT