Previu EPL: Evolusi Taktikal 3-4-3 Nuno Santo Sandaran Wolverhampton Wanderes Buru Impian

Enam musim hilang dari radar, Wolverhampton Wanderes F.C atau lebih sinonim dengan panggilan Wolves kini kembali ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Layak selaku juara EFL Championship 2017/18, ada beberapa perkara mengenai pasukan ini yang menarik perhatian ramai.

Nuno Espírito Santo

Jika musim ini dianggap sebagai peluang untuk Wolves menyinar, maka tanggapan yang sama harus diberikan buat pengurus berusia 44 tahun, Nuno Espirito Santo.

Pada usia 44 tahun, Nuno sebenarnya sudah mempunyai pengalaman di dalam pengurusan bola sepak untuk saingan di peringkat yang lebih tinggi.

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Sebelum menyertai Wolves pada musim lalu, Nuno pernah bersama Valencia dan juga Porto, mengemudi kedua-dua pasukan untuk saingan domestik dan UEFA Champions League (UCL).

Selepas mengejutkan ramai dengan memilih Wolves sebagai pasukan seterusnya, satu lagi musim yang berhasil seperti musim lalu akan terus menaikkan ‘saham’ pengurus muda ini.

(Photo by David Rogers/Getty Images)

Seperti kata pembantu beliau Ian Cathro, tidak syak lagi bahawa Nuno boleh berbangga berdiri sama tinggi dengan barisan jurulatih terbaik dunia jika Wolves berjaya memberikan impak di EPL pada musim ini.

Pembinaan skuad Wolverhampton 2018/19

Wolves adalah sebuah pasukan yang berada di kelas tersendiri di Championship pada musim lalu, namun ia tidak bermakna mereka tidak perlu untuk menguatkan pasukan mereka untuk saingan di EPL pada musim ini.

Antara yang hadir ialah dua pemain antarabangsa Portugal, Joao Moutinho (pemain tengah) dan penjaga gol berpengalaman, Rui Patricio.

Wolves juga mengikat penyerang Mexico, Raul Jimenez secara pinjaman dari Benfica.

Wolves mengekalkan hampir semua pemain utama mereka, kecuali Benik Afobe yang memilih untuk menyertai Stoke City.

Formasi dan taktikal

3-4-3 adalah asas kepada sistem yang diterapkan oleh Nuno Espirito Santo kepada pasukan Wolves. Apa yang menarik mengenai sistem oleh Nuno ialah transisi permainan mereka di setiap fasa permainan.

Tanpa penguasaan bola, sistem ini akan membentuk 5-4-1, khusus untuk bertahan. Di fasa serangan, Wolves sistem ini akan berubah kepada 3-2-5.

3-4-3 asas Wolverhampton Wanderers FC.

Pemain pertahanan, Conor Coady adalah watak penting di dalam taktikal oleh Nuno. Coady pada asalnya adalah seorang pemain tengah. Di bawah kendalian Nuno, Coady dibentuk sebagai seorang ball-playing centre back.

Di dalam sistem bek bertiga oleh Nuno, ketiga-tiga bek tengah Wolves harus memiliki kemahiran kawalan bola (ball-playing). Namun Coady punyai peranan yang menarik dan agak berlainan.

Ketika Wolves berusaha untuk mengawal penguasaan di bahagian tengah (midfield battle), Coady akan menjadi pemain ke-3 pasukan, untuk membentuk rangkaian lima pemain tengah.

Coady sebagai ball-playing centre back membantu bahagian tengah.

Di sinilah kepentingan dan versatiliti Coady terserlah di dalam taktikal Nuno. Kehadiran Coady menyebabkan lawan sukar menembusi bahagian tengah Wolves yang padat.

Setiap kali bola dimenangi kembali dari bahagian tengah, serangan balas akan pantas dilakukan melalui dua bek sayap di kiri atau kanan. Pada fasa ini, anda akan melihat sehingga lima pemain Wolves berada di hadapan pada satu masa.

Selain itu, peranan tiga pemain di bahagian hadapan juga turut menarik perhatian melalui gerakan mereka.

3-2-5 Wolves di fasa serangan.

Satu lagi aspek taktikal oleh Nuno ialah mobiliti tiga pemain di hadapan. Dua pemain penyerang aktif bergerak di kawasan half-space, dan sorang penyerang tunggal yang bertindak sebagai fokal serangan pasukan.

Penyerang tunggal, Benik Afobe adalah senjata utama Wolves di bahagian serangan. Memiliki kekuatan di udara, Afobe juga bertindak membuka ruang untuk rakan sepasukan menjaringkan gol.

5-4-1 Wolves ketika bertahan.

Di tengah Ruben Neves dan Joao Moutinho dilihat sebagai gandingan yang mantap. Neves hanya berusia 21 tahun. Namun pemain ini mempunyai kualiti dan kreativiti dalam melakukan hantaran untuk memulakan serangan.

Bakal digandingkan dengan Joao Moutinho yang lebih berpengalaman, ini menjadikan Wolves sebagai sebuah pasukan yang amat bagus dalam melakukan serangan balas ketika berada di dalam formasi 5-4-1 yang kompak ketika bertahan.

Ekspektasi musim 2018/19

Tampil sebagai juara EFL Championship pada musim lalu, perkara pertama yang harus dielak oleh Wolves ialah penyingkiran terus dari EPL di musim pertama.

Nuno telah membentuk struktur pasukan Wolves yang mampu memberikan cabaran kepada pasukan-pasukan utama Liga Inggeris.

Bagaimanapun, Wolves mungkin berhadapan dengan kualiti squad depth, terutama ketika keletihan atau kecederaan mulai melanda di pertengahan saingan.

Pada pendapat kami, kedudukan ke-10 sehingga ke-15 adalah pencapaian yang adil untuk pasukan ini.

Penutup

Di bawah kendalian Nuno Espirito Santo, Wolves menjadi sebuah pasukan yang menarik perhatian dari segi penampilan taktikal.

Mampukah mereka memberi cabaran dan seterusnya mengejar gemilang di peringkat tertinggi?

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN