Previu: Derbi Nusantara 2.0 Perjudikan Lebih Dari Sekadar Bola Sepak

Malam ini Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi akan menjadi tumpuan. Kali ini untuk perlawanan antara yang terhangat di pentas antarabangsa, digelar ‘Derbi Nusantara’ – melibatkan perlawanan Malaysia menentang Indonesia.

Selepas pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada 5 September lalu di Stadium Utama Gelora Bung Karno (SUGBK), kini giliran Indonesia untuk bertandang ke kandang Harimau Malaya di pusingan kedua kelayakan Kumpulan G Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Derbi Nusantara 2.0

Kita semua tahu apa yang berlaku pada pertemuan pertama pada September lalu. Dua kali skuad kendalian Tan Cheng Hoe ketinggalan di SUGBK, sebelum berjaya membawa pulang tiga mata berharga.

Kemenangan tersebut turut memadamkan rekod tanpa kemenangan 15 tahun pasukan negara di bumi Indonesia. Jika diimbau kembali, perlawanan yang berlangsung di Jakarta itu mempunyai segala rempah untuk digelar sebuah derbi yang panas.

Tahniah Malaysia! Tiga mata berharga dan kemenangan ke atas Indonesia. ??????

Posted by Semuanya BOLA on Thursday, September 5, 2019

Skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe dua kali ketinggalan dalam perlawanan tersebut. Disertai oleh kira-kira 300 penyokong, Harimau Malaya turut bangkit setiap kali ketinggalan.

Ia diikuti Insiden kekecohan oleh penyokong tuan rumah, sebelum jaringan minit akhir masa kecederaan Mohamadou Sumareh memastikan Sang Garuda dibaham oleh Harimau Malaya di sarang keramat mereka sendiri.

Malam ini, Derbi Nusantara 2.0 pula akan berlangsung. Pertemuan diantara kedua-dua negara lebih dari bola sepak. Ia melangkaui erti kemenangan dan juga kekalahan. Bagi Indonesia, ia adalah medan untuk menebus maruah. Manakala bagi pasukan negara, ia ibarat gelanggan untuk membuktikan keperkasaan sebuah bangsa.

Saingan Kumpulan G

Selain Indonesia, pasukan negara turut merekodkan kemenangan 2-1 ke atas Thailand pada Khamis lalu. Malaysia sudah tewas 1-2 kepada UAE, dan 1-0 kepada Vietnam setakat ini.

Di atas kertas, saingan Kumpulan G masih lagi terbuka. Selepas empat perlawanan yang dilalui, Malaysia kini berada di kedudukan ke-4, dengan kutipan enam mata – dipisahkan hanya dengan jurang satu mata dengan Thailand di tangga kedua, dan dipisahkan hanya dengan perbezaan jaringan ke atas UAE.

Sumber: AFC

UAE tidak akan beraksi pada pusingan ini, sekaligus bermakna kemenangan pada malam ini mampu melonjakkan pasukan negara ke tangga kedua – jika Vietnam menang atau seri menentang Thailand di Hanoi.

Indonesia pula tewas semua empat perlawanan yang dilalui di kempen kelayakan setakat ini. Ibarat moral yang disentap selepas tewas kepada Malaysia, rentetan kekalahan, 3-0 (vs Thailand, 5-0 (vs UAE), 3-1 (vs Vietnam) sehingga menyebabkan pengendali pasukan, Simon McMenemy dipecat oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Secara matematik, Indonesia masih lagi mampu mara ke pusingan seterusnya – atau sekurang-kurangnya ke saingan Piala Asia 2023. Namun impian itu hanya sekadar sebuah mimpi kosong jika mereka gagal mencatatkan kemenangan pada malam ini.

Taktikal Harimau Malaya menjadi

Sejak perlawanan pertama lagi, Tan Cheng Hoe cenderung dengan formasi 4-3-3 dalam implementasi taktikal. Selepas empat perlawanan, kelompok pemain yang dipanggil tampak semakin selesa beraksi bersama.

Dalam perlawanan menentang Thailand misalnya, Sumareh bukan sekadar melakukan tugasan sebagai penyerang sayap. Pemain naturalisasi kelahiran Gambia ini juga kelihatan selesa melakukan ‘track back’ untuk mematikan serangan lawan di bahagian sayap.

1 Hari Lagi

Skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe menjalani latihan rasmi di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pagi…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Sunday, November 17, 2019

Selepas bergelut dengan gandingan yang sesuai di bahagian tengah seperti ketika menentang Vietnam, Tang Cheng Hoe akhirnya menemui gandingan Brendan Gan-Syamer Kutty untuk mengemudi jentera tengah.

Kedua-dua pemain adalah memainkan peranan box-to-box, tetapi Gan dibenarkan untuk mara lebih jauh ke hadapan. Ketika melakukan tugas bertahan, Gan tampak selesa memenangi perebutan bola rendah dengan hadangan dan bentesan berkesan. Manakala Syamer pula cekap memenangi duel di udara, serta bijak membawa gerakan lawan untuk melakukan pintasan awal.

Taktikal Sang Garuda menjadi misteri

Selepas pemecatan Simon McMenemy, skuad Indonesia kini dibimbing oleh Yeyen Tumena. Yeyen bukanlah watak asing kepada barisan pemain kerana beliau merupakan pembantu jurulatih kepada Simon sebelum ini.

Namun selepas empat kekalahan sebelum ini, dan kesedaran akan perlunya kemenangan, maka tidak hairanlah Indonesia akan mengubah pendekatan mereka pada perlawanan ini. Ini menjadikan taktikal Indonesia menjadi sedikit misteri.

Ketiadaan Beto Concalves, Evan Dimas, Saddil Ramdani dan Andik Vermanshah, dan panggilan untuk muka-muka baharu untuk memperkuatkan skuad Garuda bermakna pasukan negara harus tampil berhati-hati.

Lerby Eliandry dan Irfan Barchdim berkemungkinan menjadi tonggak utama di bahagian serangan. Manakala gandingan Yanto Basna dan Otavio Dutra akan mengetuai bahagian pertahanan.

Rekod pertemuan

Kali terakhir Malaysia tewas kepada Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil ialah di perlawanan separuh akhir kedua Piala Tiger 2005.

Walaupun merekodkan kemenangan 2-1 ke atas lawan mereka itu di SUGBK di separuh akhir pertama, Harimau Malaya dijinakkan dengan jaringan 4-1 oleh Sang Garuda di Bukit Jalil.

Gol Indonesia pada ketika itu dijaringkan oleh Kurniawan Dwi Yulianto, Charis Yulianto, Ilham Jaya Kesuma, dan Boaz Salosa.

Ia pasti bukan episod yang kita mahukan dari berulang kali ini. Dalam semua 96 pertemuan sejak 1956, Malaysia menang 36 kali, tewas 39 kali, dan seri 21 kali.

Penutup

Di mana pun anda berada dan menyaksikan perlawanan ini, sokongan tidak berbelah bahagi pastinya untuk skuad Harimau Malaya kita.

Matchday | Selasa, 19 November 2019

MALAYSIA ?? lwn ?? INDONESIA
Stadium Nasional, Bukit Jalil, 8.45 malam

* Pintu…

Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, November 18, 2019

Doa kita mengiringi pemain kita, titik peluh pemain adalah perjuangan demi negara. Semoga kemenangan di Derbi Nusantara 2.0 menjadi milik kita.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN