Previu CIMB Piala Sumbangsih 2020: Medan Perseteruan Dua Gergasi Utara & Selatan

Malam ini berlangsungnya CIMB Piala Sumbangsih 2020 sebagai pembuka tirai saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Dari lima edisi perlawanan untuk merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah yang lalu, hanya dua pasukan sahaja yang pernah menjulang piala simbolik pembuka tirai musim baharu Liga Malaysia.

Empat daripadanya didominasi oleh JDT. Manakala satu lagi edisi pada 2017 pula dimenangi oleh Kedah. Daripada lima pertemuan tersebut, dua daripadanya membabitkan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan dari utara dan selatan tanah air ini.

Selepas menewaskan JDT melalui penentuan sepakan penalti di Larkin pada 2017, musim berikutnya giliran JDT pula merampas kembali piala tersebut untuk kekal di selatan tanah air.

Malam ini kedua-dua pasukan ini akan meneruskan perseteruan mereka merebut piala ini. Lebih daripada itu, tiga mata turut menjadi taruhan – yang memastikan permulaan sempurna buat pasukan yang menang.

JDT buru langkah kanan di Stadium Sultan Ibrahim

Perlawanan menentang Kedah akan menjadi perlawanan kompetitif pertama yang berlangsung di arena serba baharu milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Keterujaan penyokong Harimau Selatan untuk hadir menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan mereka di stadium ini amat tinggi, menyebabkan 11,000 tiket perlawanan yang dijual di kaunter telah habis terjual.

Sebagai juara Liga Super enam musim berturut-turut, skuad kendalian Benjamin Mora tidak boleh dinafikan berada di dalam kelas mereka tersendiri.

Ia menjadikan JDT sebagai pasukan pilihan untuk menang perlawanan ini, sekaligus meneruskan dominasi mereka di saingan liga.

Jika ada perkara yang perlu dielakkan oleh barisan pemain JDT pada hari perlawanan, ia adalah tekanan beraksi di hadapan penyokong sendiri, dan harapan yang diberikan kepada pasukan ini. Faktor pengalaman pasti akan memainkan peranan.

Kedah berazam rosakkan parti JDT

Kedah kendalian jurulatih dari Singapura, Aidil Sharin dilihat sebagai sebuah pasukan yang lebih lengkap dan bersedia pada musim ini.

Musim lalu – musim pertama Aidil – Kedah menamatkan saingan Liga Malaysia sebagai juara Piala FA, dan tempat keempat di saingan Liga Super. Mereka juga mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia sebelum dikecewakan JDT.

Tidak menunggu lama, Kedah pantas melakukan perubahan selepas tamat saingan Liga Malaysia pada musim lalu dalam memastikan saingan pada musim ini lebih kompetitif.

Beberapa muka baharu dari kalangan pemain tempatan dan pemain import turut dibawa masuk dalam usaha Aidil memperkemaskan pasukan.

Tidak ada perlawanan yang lebih sesuai daripada perlawanan menentang juara bertahan di rumah baharu mereka untuk Kedah mula melaungkan kesungguhan mereka pada musim ini.

Pemain tumpuan

Kedah: Gandingan ‘Double K’ Tcheche Kipre dan Kpah Sherman pasti akan menarik perhatian ramai. Keupayaan kedua-dua pemain penyerang ini sememangnya telah terbukti dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini.

Kpah Sherman misalnya pernah bersama MISC-MIFA dan kemudiannya PKNS FC menjadi duri dalam daging untuk JDT pada musim-musim sebelum ini.

Kipre-Tchetche-Kedah-Tai-Po-FC-Kelayakan-ACL-2020-1
FOTO: Kedah FA

Hatrik Kipre untuk Kedah dalam perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara Asia menentang Taipo FC turut membuktikan pemain ini mampu menghadirkan ancaman sekiranya diberikan ruang.

JDT: Hanya dua muka baharu dibawa masuk oleh JDT pada musim ini. Kedua-duanya juga bukan nama asing di kalangan pengikut bola sepak Malaysia.

Liridon Krasniqi misalnya adalah bekas pemain import Kedah. Pernah menjadi pemain kesayangan penyokong Lang Merah, pemain kelahiran Kosovo itu kini berstatus naturalisasi.

Liridon Krasniqi JDT Liga Super 2020
FOTO: JST

Liridon sudah tidak beraksi selama hampir setahun di peringkat kompetitif. Namun pada prestasi terbaiknya, semua orang tahu ancaman yang boleh diberikan oleh pemain ini.

Perhatian kita pada malam ini turut akan terarah kepada Matthew Davies. Gandingannya bersama Safawi Rasid di sebelah kanan serangan sudah terbukti ketika bersama pasukan negara.

Ia pasti menarik melihat gandingan ini beraksi setiap minggu bermula dengan perlawanan menentang Kedah pada malam ini.

Ramalan perlawanan

Sukar untuk meramalkan perlawanan yang hadir dengan intensiti sebegini. Sebagai peminat sukan bola sepak, kita pasti mahu menyaksikan perlawanan bermutu tinggi ditampilkan oleh kedua-dua pasukan.

Siapakah yang akan membawa pulang CIMB Piala Sumbangsih 2020, sekaligus mengumpul tiga mata berharga pada malam ini? Buat JDT dan Kedah, selamat maju jaya kami ucapkan!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN