Perlawanan ke 14 Bundesliga akan diteruskan minggu ini melibatkan 9 lagi perlawanan yang bakal menjanjikan aksi yang mendebarkan.
Selepas beberapa keputusan yang agak mengejutkan dalam perlawanan pada minggu ke 13 yang lalu, mampukah pasukan-pasukan yang kurang menyerlah sebelum ini mendapat kembali rentak permainan sebenar mereka.
Kembalinya Thomas Muller
Selepas sekian lama berehat, minggu ini, skuad Bavarian akan diperkuatkan dengan penyerang prolifiknya, Thomas Muller. Beliau yang terlepas 7 perlawanan akibat kecederaan ‘hamstring’ dijangka akan membuat penampilan tatkala pasukannya bakal melayani kunjungan Hannover 96 di Allianz Arena.
Kehadiran Muller adalah sangat tepat selepas Bayern tewas mengejut ke atas Moncgengladbach 1-2 yang turut menyaksikan rekod bersih Heynckes tercalar selepas bertahan dengan rekod tanpa kalah.
Bukan itu sahaja, Frank Ribery turut dilaporkan sudah menjalani latihan bersama pasukan sejak beberapa hari yang lalu seterusnya akan menambah pilihan buat kem kejurulatihan Bayern.
Hanya jurang 3 mata
Meskipun baru melepasi 13 perlawanan, musim ini memperlihatkan saingan kembali terbuka apabila penghuni tempat kedua, RB Leipzig hanya dipisahkan 3 mata dengan pendahulu liga, Bayern Munich.
Walaubagaimanapun, RB Leipzig perlu menang besar minggu ini sekiranya ingin mengambil alih tempat Bayern. Ini kerana kelebihan perbezaan gol yang agak besar Bayern berbading Leipzig.
Reputasi Nagelsmann
Namun cabaran RB Leipzig bukan mudah minggu ini. Mereka akan berhadapan dengan TSG Hoffenheim.
Jurulatih muda yang mula mencipta nama di Bundesliga sejak musim lalu agak bergelut dalam mengekalkan reputasi pasukannya, Hoffenheim. Berada di tangga ke tujuh dan tewas 3-0 pada perlawanan terakhir sedikit mencalar kredibilitinya.
Namun, ada berita yang sedikit melegakannya selepas beliau dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Borussia Dortmund, selepas Peter Bosz dilihat semakin terancam kedudukannya.
Nmaun begitu, perlawanan ke atas RB Leipzig di laman sendiri harus dimanfaatkan dengan kemenangan seterusnya mengembalikan reputasi sebenar Nagelsmann sekaligus meningkatkan ‘value’ jurulatih ini dalam pasaran liga Eropah.
Perebutan slot kejuaraan Eropah
Moncengladbach yang masih segar dengan kemenangan ke atas Bayern, pasti mahu mengulanginya dalam memastikan tidak terlepas merebut slot beraksi di pentas Eropah.
Musim lalu, pasukan ini pernah menduduki tempat ke 4 selepas 5 perlawanan, namun terus kempunan layak ke Eropah selepas menamatkan saingan di tangga ke 9.
Begitu juga keazaman yang diletakkan pasukan Schalke musim ini. Selepas bangkit dari ketinggalan 4-0 di Signal Iduna Park tempoh hari, Schalke dilihat dalam landasan yang tepat untuk kembali ke Eropah.
Schalke dilihat tidak berhadapan dengan banyak masalah untuk berdepan Koln yang menghuni tangga tercorot, namun tetap berwaspada tatkala Koln sedang memburu kemenangan pertamanya.
Satu lagi perlawanan yang turut mencuri tumpuan melibatkan pertembungan Bayer Leverkusen dan Borussia Dortmund. Hanya dipisahkan dengan 1 mata, Leverkusen dilihat memiliki sedikit kelebihan untuk memintas Dortmund.
Motivasi Dortmund nyata sedikit terjejas gara-gara gagal melakar kemenangan selepas selesa meledak 4 gol dalam 25 minit pertama permainan, ditambah dengan kehilangan peledak utamanya, Aubameyang yang digantung perlawanan.
Berbekalkan reputasi tanpa kalah selepas 8 perlawanan liga dan prestasi yang kian memuncak buat peledak utamanya, Kevin Volland, Leverkusen mampu melakar kemenangan di Bay Arena Sabtu ini.
Perlawanan minggu ke 14:
Sabtu:
Freiburg v Hamburg SV (3.30 am)
Mainz v FC Augsburg (22.30pm),
Bayer 04 Leverkusen v Borussia Dortmund (22.30pm),
FC Bayern Munich v Hanover 96 (22.30pm),
TSG 1899 Hoffenheim v RB Leipzig (22.30pm),
Werder Bremen v VfB Stuttgart (22.30pm),
Ahad:
FC Schalke 04 v Cologne (1.30am)
Hertha Berlin v Eintracht Frankfurt (22.30pm)
Isnin: VfL Wolfsburg v Borussia Moenchengladbach (1.00am)