Pertemuan Brazil dan Belgium pada awal pagi nanti merupakan perlawanan kedua peringkat suku akhir Piala Dunia 2018.
Kedua-duanya adalah pasukan pilihan menuju ke Rusia 2018, dan kini pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan slot ke separuh akhir menjadi taruhan.
Apakah yang perlu kita tahu mengenai kedua-dua pasukan menjelang perlawanan ini?
Brazil
Walaupun menewaskan Mexico 2-0 di pusingan kedua hasil jaringan Neymar dan Roberto Firmino, Brazil bukanlah pasukan yang mempamerkan bola sepak free-flowing seperti yang dicanang kerana kehebatan barisan pemain individu milik mereka.
Skuad Brazil kali ini memperagakan kekuatan di bahagian pertahanan juga barisan pemain tengah yang berpengalaman.
Namun jentera serangan yang terdiri dari nama-nama seperti Neymar, Gabriel Jesus dan Firmino dilihat masih bergelut untuk menunjukkan prestasi sebenar.
Sepanjang kempen Piala Dunia 2018, Brazil belum lagi diuji oleh mana-mana pasukan pilihan. Dan Belgium adalah pasukan pilihan pertama yang akan memberikan ujian tersebut.
Belgium
Skuad Belgium untuk saingan Piala Dunia 2018 ini dianggap sebagai antara yang terbaik pernah dihimpunkan.
Berbeza dengan Brazil, pencapaian terbaik skuad dengan nama jolokan The Red Devils ini ialah pada 1986 apabila layak sejauh ke saingan separuh akhir.
Di pusingan kedua, Belgium hampir dikejutkan oleh Jepun selepas ketinggalan 2-0 ketika perlawanan berbaki hanya 30 minit. Namun demikian, anak buah Roberto Martinez mempamerkan semangat melawan yang tinggi untuk menafikan Jepun dengan gol kemenangan minit akhir perlawanan.
Semangat sebegitu seharusnya memberi kerisauan kepada Brazil, apatah lagi dengan deretan pemain dimiliki Belgium yang jelas berada di kelas berbeza berbanding lawan mereka sebelum ini.
Info terkini pasukan
Di kem Brazil, Marcelo dijangka akan kembali memperkuatkan posisi bek kiri. Manakala Fernandinho dijangka akan memulakan perlawanan buat pertama kalinya sepanjang kempen Brazil di Rusia.
Pemain tengah Manchester City ini akan menggantikan Casemiro yang terpaksa direhatkan akibat digantung perlawanan. Jesus dijangka akan terus berada di dalam kesebelasan utama walaupun belum lagi menjaringkan sebarang gol setakat ini.
Walaupun menyumbangkan gol dalam perlawanan menentang Jepun, Maraouane Fellaini dan Nacer Chadli dijangka akan terus berada di bangku pemain simpanan untuk perlawanan ini.
Kevin De Bruyne dilaporkan mengalami sedikit kecederaan, namun diyakini akan cergas sepenuhnya untuk perlawanan penting ini.
Namun demikian, lima pemain iaitu Thomas Meunier, Jan Vertoghen, Kevin de Bruyne, Youri Tielemans dan Leander Dendoncker harus mengelakkan dari layangan kad kuning untuk mengelakkan diri terlepas saingan separuh akhir sekiranya menang perlawanan ini.
Pemain tumpuan
Dua pemain tumpuan utama dalam perlawanan ini pasti akan tertuju kepada Neymar dan juga Eden Hazard.
Kedua-dua pemain adalah arkitek utama dalam usaha memburu gol bagi pasukan masing-masing.
Namun pertembungan Paulinho dan De Bruyne di bahagian tengah yang diibaratkan jeneral pasukan masing-masing turut mencuri tumpuan untuk menguasai bahagian tengah.
Satu perkara yang menarik mengenai Belgium ialah Plan B dan senjata rahsia yang dimiliki mereka.
Sepertimana ketika menentang Jepun apabila semua perancangan tidak menjadi, Roberto Martinez boleh mengharapkan Marouane Fellaini untuk memberi gaya ancaman yang berbeza.
Taktikal pasukan
Tidak akan ada perubahan ketara dari segi formasi kedua-dua pasukan menuju ke perlawanan ini.
Tite dengan sistem 4-3-3, manakala Roberto Martinez turut dijangka akan mengekalkan formasi 3-5-2 yang telah digunapakai sepanjang kejohanan berlangsung.
Apa yang menarik ialah kecenderungan kedua-dua pasukan menggunakan bahagian sayap untuk melakukan serangan.
Marcelo dijangka akan berhadapan dengan cabaran dari Meunier, dan Yannick Carrasco akan mencabar Fagner di arah bertentangan.
Sistem pertahanan zonal Brazil yang berkesan setakat ini turut akan diuji sepenuhnya menentang skuad Belgium, tatkala kelemahan sistem bek bertiga Belgium turut boleh terdedah oleh Willian dan Neymar dari setiap sisi.
Rumusan
Jika anda inginkan perlawanan tumpuan wajib tonton sepanjang tempoh Piala Dunia di Rusia ini, pertemuan Brazil dan Belgium ini adalah salah satu daripadanya.
Lukaku atau Jesus? Paulinho atau De Bruyne? Atau adakah Neymar atau Hazard?
Siapakah yang gah melangkah ke separuh akhir? Sama-sama kita nantikan perlawanan pada malam ini.