Presiden PAFA: Tidak Ada Lagi Tiket Kroni Untuk Edaran Final Piala FA 2019

Isu penjualan tiket yang tidak telus dan juga pilih kasih sentiasa menjadi topik setiap kali menjelang perlawanan akhir piala domestik.

Antara yang menjadi isu yang kerap dibangkitkan adalah tiket kepada kroni. Tiket yang diserahkan terus kepada individu tertentu – terutamanya tetamu kehormat – untuk diedarkan kepada orang mereka. Sedangkan yang lain terpaksa beratur panjang dan berebut tiket yang terhad.

Presiden Persatua Bola Sepak Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan bahawa tiada lagi tiket kroni. Tiket perlawanan akhir Piala FA akan dijual pada 23 Julai ini. Perlawanan final berlangsung 4 hari kemudian.

Perak akan berhadapan dengan Kedah dalam final yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak memberitahu media bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan SPRM untuk memastikan segala urusan penjualan tiket dilakukan dengan telus di kesemua lokasi yang ditetapkan.

Dipetik dari Utusan Malaysia, Ahmad Faizal, berkata: “Apa yang boleh saya beri jaminan adalah penjualan tiket akhir secara telus akan dilakukan, tiada laluan atau kemudahan tertentu buat saya selaku Presiden dan exco lain mendapatkan tiket untuk kaum keluarga, tetamu kehormat mahupun rakan terdekat.”

“Sebagai contoh jika anak saya mahu dapatkan tiket, dia juga perlu mematuhi proses penjualan yang telah ditetapkan, tiada laluan khas. Perkara ini mesti dipantau, tiada yang istimewa buat ahli keluarga mahu pun exco,” katanya lagi.

Leave a Reply