Gara-gara kerana bergambar bersama Piala Malaysia dengan aksi yang tidak sepatutnya, Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim dikecam hebat oleh netizen yang menyifatkan perbuatannya itu sebagai tidak senonoh.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak berkata kepada Sinar Harian, memohon maaf dan mengakui kekhilafan dirinya sewaktu bergambar dengan trofi Piala Malaysia ketika makan mi segera di dalam bilik hotel dan di tepi kolam renang sebagaimana tular di media sosial.
“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia atas kekhilafan dan kelemahan diri kerana terlalu teruja selepas Perak berjaya memenangi trofi tersebut.
“Saya tiada niat untuk menjatuhkan martabat dan keunggulan trofi bola sepak kebanggaan negara itu dan gambar-gambar tersebar itu pun sebenarnya hanya simpanan peribadi sebelum disebarkan pihak lain tanpa saya sedar.
“Itu kelemahan saya sendiri, pertama kali menang Piala Malaysia dan saya teruja lalu terkongsi gambar dalam Status WhatsApp,” katanya kepada pihak media.
Hasnul Zulkarnain turut menjelaskan beliau tiada niat untuk berkongsi gambar tersebut dengan netizen di laman sosial dan hanya digunakan untuk simpanan peribadi.
“Gambar tersebut dirakamkan di hotel penginapan selepas perlawanan akhir Sabtu lalu.
“Saya tak sangka ada pihak yang mengambil gambar tersebut di WhatsApp Status saya dan memuat naik di Facebook,” katanya.
Salah seorang bekas pemain Perak yang enggan dikenali turut mengkritik tindakan Presiden PAFA itu kerana dianggap tidak menghormati pengorbanan pemain.
“Pemain bersusah payah untuk memenanginya tetapi ada pegawai yang seperti tidak menghargai usaha serta memahami perit jerih yang diharungi pemain, ” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Seorang lagi bekas pemain Perak berkata, piala itu sepatutnya disimpan di tempat selamat dan sesuai seperti di pejabat PAFA atau Pejabat Menteri Besar dan bukan diusung merata-rata tanpa sebab.
“Saya ingat ketika Perak muncul juara pada 1998, mendiang Karl Heinz Weigang ketika itu tidak membenarkan langsung orang ramai menyentuhnya.
“Hanya pemain dan pegawai pasukan dibenarkan mengusap piala. Orang ramai boleh tengok sahaja,” katanya.