Presiden FIFA Sarankan Piala Negara Afrika Diubah Kepada Empat Tahun Sekali

Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mencadangkan supaya Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) diadakan empat tahun sekali berbanding dua tahu sekali ketika ini.

Bercakap dalam satu seminar di Rabat, Maghribi mengenai pembangunan boleh sepak di benua Afrika, beliau turut mencadangkan Liga Super Pan-Afrika dengan penyertaan 20 pasukan tetap.

Menurut Infantino, beliau agak kecewa kerana harapannya untuk melihat Afrika menjadi salah satu benua terbaik dalam bola sepak dunia masih belum menjadi kenyataan.

“Kita telah bercakap mengenai perkembangan bola sepak Afrika ini sejak sekian lama. Pele Pernah mengatakan, pasukan dari Afrika akan memenangi Piala Dunia.” kata Infantino.

“Tetapi ianya masih belum menjadi kenyataan dan kelihatan ianya masih tiada sebarang tanda-tanda akan berlaku. Bermula hari ini, kita perlu buka muka surat baharu.

“AFCON cuma menghasilkan keuntungan yang kurang 20 kali ganda berbanding kejuaraan Eropah (Euro) sekalipun diadakan setiap dua tahun. Adakah ianya sebuah nilai komersial yang baik? Adakah infrastruktur di negara penganjur semakin baik? Fikirkan semula.”

Infantino kemudian membentangkan cadangannya supaya dianjurkan liga pan-Afrika yang akan menampilkan 20 hingga 24 pasukan dengan maksimum dua pasukan dari liga setiap negara dengan kerjasama Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF).

CAF ketika ini sudah pun menguruskan dua pertandingan untuk kelab-kelab negara Afrika iaitu Liga Juara-Juara Afrika untuk juara dan naib juara liga serta Piala Konfederasi Afrika.

Infantino turut mendedahkan rancangannya untuk melaburkan $1 bilion untuk membina sekurang-kurangnya satu stadium yang canggih di setiap 54 negara Afrika dan juga infrastruktur yang lain.

Beliau juga merancang untuk melahirkan 20 orang pengadil profesional di Afrika yang akan dilatih dan diberikan kontrak profesional bagi mengadili perlawanan-perlawanan penting.

Leave a Reply