Sebentar tadi telah berlangsung pertemuan diantara Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Dato’ Posa Majais di sebuah hotel di ibu negara.
Pertemuan tersebut diatur sendiri oleh FAM bagi menyelesaikan kemelut antara FAS dan juga Malaysian Football League (MFL). Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Exco FAM, Christopher Raj.
Menurut kenyataan dari FAM, pertemuan tersebut diadakan bagi memberikan peluang kepada Dato’ Posa Majais meluahkan perkara-perkara yang membuatkan beliau berasa tidak puas hati dengan MFL baru-baru ini.
Hasil pertemuan, Dato’ Posa akhirnya bersetuju agar segala permasalahan tidak dipanjangkan kepada media.
“Hasil kesepakatan bersama yang dicapai pada hari ini, Dato Posa akhirnya akur untuk isu-isu yang dibangkitkannya itu dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL supaya ia dapat diselesaikan menerusi semangat solidarity (perpaduan) sesama keluarga bola sepak Malaysia.
“Selain menerima dan menuruti segala nasihat berkaitan bola sepak yang diberikan oleh Dato’ Haji Hamidin, Dato Posa turut menyatakan bahawa selaku presiden salah sebuah ahli gabungan FAM, beliau akan terus memastikan FAS kekal menyokong FAM di bawah kepimpinan Dato’ Haji Hamidin sebagai badan induk bola sepak negara,” ujar kenyataan tersebut.
Sebelum ini Dato’ Posa lantang membidas MFL seperti yang dilaporkan oleh beberapa media tempatan, khususnya Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam berkenaan beberapa isu melibatkan insuran pemain, geran pasukan, tajaan dan terbaru, tuntutan dan bayaran kepada pengadil yang dikatakan tertungak sejak tahun lalu.
Presiden FAS itu turut meminta Kevin meletakkan jawatan kerana gagal menyelesaikan beberapa isu melibatkan pertandingan Liga Malaysia.