West Ham mungkin akan disertai beberapa kelab lain yang mahukan Premier League batalkan liga terus jika penularan wabak COVID-19 akan berlanjutan melebihi 3 April.
Ketika ini bola sepak Inggeris ditangguhkan buat sementara waktu sehingga 3 April sebagai usaha untuk membendung penularan wabak COVID-19 di United Kingdom.
Setakat waktu artikel ini ditulis, wabak pandemik ini telah mencatat 1,372 kes positif daripada 40,279 orang yang diuji. 35 daripadanya telah meninggal dunia.
Niat asal Premier League adalah untuk menyambung semula aksi musim 2019/2020 selepas tarikh 3 April. Ini bermakna liga akan berlanjutan melebihi bulan Mei. Premier League pada musim ini asalnya dijadulkan tamat pada 17 Mei.
Tetapi Premier League mungkin terpaksa memikirkan pilihan lain jika penularan wabak COVID-19 masih tidak reda hingga menyebabkan ia berlanjutan melebihi 8 Ogos – iaitu tarikh pembukaan musim 2020/2021 pula.
Antara pilihan yang akan dipertimbangkan Premier League adalah batalkan liga terus. Dijangka pilihan ini akan menerima sokongan paling banyak dari kelab-kelab Premier League.
Antara alternatif lain adalah menamatkan liga berdasarkan kedudukan liga sekarang atau memperkenalkan sistem play-off untuk menentukan juara, siapa yang layak masuk Champions League, siapa yang layak masuk Europa League dan siapa yang akan disingkir ke EFL Championship.
Memandangkan Premier League merupakan sebuah syarikat swasta yang dianggotai oleh 20 pemegang syer yang terdiri daripada 20 kelab Premier League, ia memerlukan majoriti dua pertiga – atau 14 pasukan – untuk melakukan sebarang perubahan peraturan.
Perkara inilah yang pastinya dikhuatiri oleh Liverpool. Cadangan membatalkan terus liga akan merosakkan impian mereka untuk menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam masa 30 tahun.
Malah Manchester United sendiri mungkin terpaksa ‘menyokong’ aspirasi musuh tradisinya sendiri untuk menjulang trofi Premier League. Ini kerana jika Premier League batalkan liga, ia akan merencatkan momentum kebangkitan yang dipamerkan oleh mereka baru-baru ini.
Sebarang keputusan yang akan diambil oleh kelab Premier League dalam isu ini akan mempunyai kepentingan kepada diri mereka sendiri.
Sebab itulah jalan penyelesaian yang mendapat sokongan majoriti, barangkali, akan dipilih sebagai langkah yang bakal diambil oleh Premier League – jika penularan wabak COVID-19 di United Kingdom masih berlanjutan.
Situasi 13 pasukan bawah
Membatalkan liga adalah pilihan yang pastinya menerima sokongan majoriti – terutamanya bagi pasukan yang menduduki tangga ketujuh ke bawah.
Turut dijangka akan menyokong usul Premier League batalkan liga terus adalah pasukan di tangga ke-13, Newcastle dan ke bawah. Ketika ini mereka masih lagi boleh menghidu bahaya penyingkiran liga.
West Ham adalah kelab pertama yang tidak berselindung menyatakan sokongan agar liga dibatalkan terus.
Everton yang berada di tangga ke-12 dengan 37 mata pula masih belum melepasi had 40 mata yang biasanya menjamin sesebuah pasukan Premier League daripada bahaya penyingkiran liga.
Malahan penyokong Everton akan menjadi penyokong pertama yang berparti jika Liverpool tidak dapat menjulang trofi Premier League.
Tottenham Hotspur yang sedang berhadapan dengan krisis kecederaan juga akan mengalu-alukan cadangan Premier League batalkan liga terus. Ini kerana ia menjamin tempat mereka di Champions League pada musim depan selepas menduduki tangga ke-4 liga pada musim 2018/2019.
Arsenal yang satu tangga di belakang Spurs juga akan bersetuju dengan musuh tradisi mereka. Pembatalan liga bermakna mereka boleh bermain di Champions League jika Mahkamah Arbitrasi Sukan (CAS) mengekalkan keputusan mengharamkan penyertaan Manchester City.
Ini kerana Arsenal yang berada di tangga ke-5 liga pada musim 2018/2019 akan menggantikan slot City di Champions League.
Situasi 7 kelab atasan
Tentangan hebat usul ini akan datang dari pasukan yang menduduki tangga ke-7 dan atas.
Liverpool, sudah tentulah, akan menjadi penentang paling keras usul ini. Mereka hanya perlukan dua kemenangan sahaja untuk mengesahkan kejuaraan liga mereka.
Musuh tradisi mereka, Manchester United pula sedang mengejar slot kelayakan ke Champions League dan sedang berada dalam landasan baik untuk menjulang trofi FA Cup dan Europa League.
United yang sedang menikmati rentetan 11 perlawanan tanpa kalah, berharap wabak COVID-19 tidak akan merencatkan momentum revolusi Ole Gunnar Solskjaer yang nampak baru bermula.
Walaupun ini bermakna mereka terpaksa mendengar jiran Liverpool mereka berparti meraikan kejuaraan Premier League, prospek bermain di Champions League pastinya tidak mahu dilepaskan oleh The Red Devils.
Apatah lagi bila Adidas mengancam untuk memotong 30% tajaan mereka bernilai £750 juta jika United gagal layak ke Eropah dua musim berturut-turut.
Leicester City, Wolves dan Sheffield United pula pastinya mahu memastikan kerja keras mereka pada musim ini tidak menjadi sia-sia. Mereka masing-masing mempunyai peluang untuk bermain di Eropah.
Chelsea dijangka akan menyokong usul ini kerana ia bermakna slot Champions League mereka terjamin berdasarkan kedudukan akhir liga pada musim 2018/2019. Pada musim ini, The Blues mempunyai tiga kelab yang dijarakkan oleh lima mata di belakang mereka untuk slot Champions League.
Manchester City pula berada dalam kedudukan unik. Mereka tidak mendapat apa-apa faedah jika menyokong dan menentang usul ini. Cuma jika mereka menyokong usul pembatalan liga, sedikit inisiatifnya adalah mereka dapat mengekalkan kejuaraan liga.
Alternatif terbaiknya sudah tentulah untuk menyambung liga seperti biasa selepas tempoh penundaan tamat. Tetapi persoalannya adalah – adakah penularan wabak COVID-19 akan reda di UK selepas 3 April?
Jika anda penyokong Liverpool, berdoalah banyak-banyak agar wabak pandemik segera reda di UK.