Premier League memperkenalkan satu anugerah baru bagi memberikan penghargaan kepada pemain yang telah mencipta bantuan jaringan (assist) terbanyak sepanjang musim dengan menamakannya sebagai Anugerah ‘Playmaker’.
Anugerah terbaru itu akan menyertai anugerah sedia ada yang diberikan kepada penjaring terbanyak (Golden Boot) dan juga penjaga gol yang paling banyak tidak dibolosi (Golden Glove).
Tiga anugerah tersebut akan disampaikan oleh Cadbury, yang merupakan penaja rasmi snek Liga Perdana Inggeris.
Peluang dilihat memihak buat pemain Manchester City untuk meraih anugerah julung kali diwujudkan ini apabila tiga pemain The Cityzens iaitu Kevin De Bruyne, Leroy Sane dan David Silva menguasai tiga tempat teratas jumlah bantuan terbanyak setakat ini.
De Bruyne sedang mendahului dengan 15 bantuan jaringan yang telah dihasilkan pada musim ini, diikuti Sane mencatatkan 12 bantuan manakala Silva dengan 11 bantuan jaringan.
Dele Alli dari Tottenham Hotspur pula telah menghasilkan 10 bantuan jaringan.
Sama seperti anugerah yang lain, para pemain masih mempunyai baki 4 perlawanan lagi (terdapat juga pasukan yang belum beraksi untuk perlawanan ke-34) untuk menentukan siapa yang layak untuk menggondol gelaran tersebut setelah wisel penamat perlawanan terakhir ditiupkan pada 13 Mei nanti.
Legenda Arsenal, Thierry Henry yang juga merupakan pemegang rekod bantuan jaringan terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris apabila mencatatkan 20 bantuan ternyata menyambut baik pengenalan anugerah tersebut.
”Menjaringkan gol adalah satu perasaan hebat sebagai pemain yang berada diatas padang. Sudah tentu ianya tidak akan berhasil tanpa pemain yang mencipta sesuatu gerakan itu.”
”Adalah luar biasa bahawa Cadbury dan Premier League menghargai ‘playmaker’ dengan cara sebegini.”