Saingan Selangor Champions League 2019 (SCL2019) sudah sampai ke penghujungnya selepas Kingstown Klang FC akan berdepan Kuala Selangor Batu Dua FC pada aksi final yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, petang ini.
Pertemuan dua wakil dari kumpulan A itu pastinya menarik untuk disaksikan apabila seperti diketahui Kingstown Klang FC diperkuatkan dengan beberapa nama besar yang pernah mewarnai bola sepak negara seperti Azidan Sarudin, Rudie Ramli, Ahmad Azlan Zainal, Abdul Manaf Mamat dan beberapa pemain lagi.
Sementara itu, Kuala Selangor Batu Dua FC pula bakal menyandarkan harapan kepada dua pemain import, Chukwu Nnabuike Chijoke dan Jacque Faye. Di samping itu, Terence Marieselvam dan Firdaus Selvam turut merupakan tunjang kepada kekuatan pasukan tersebut.
Berdasarkan pencapaian di peringkat kumpulan, Kuala Selangor Batu Dua FC dilihat memiliki sedikit kelebihan berbanding Kingstown Klang FC.
Ia dibuktikan apabila Kuala Selangor Batu Dua FC mencatatkan empat kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan dialami untuk menduduki tempat kedua manakala Kingstown Klang FC pula di tangga ketiga hasil empat kemenangan dan tiga kekalahan.
Malah, Kuala Selangor Batu Dua FC turut berjaya menumpaskan Kingstown Klang FC 2-1 pada aksi terakhir saingan kumpulan A hasil jaringan Terence dan S. Agilan.
Bagaimana laluan ke final?
Kingstown Klang FC menundukkan MPKj FC 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat suku akhir selepas kedudukan 70 minit permainan terikat dengan keputusan 1-1.
Bagaikan mendapat tonik berguna, kelab dari Klang itu mara ke final selepas menang 3-1 ke atas SA Klasiko FC.
Kuala Selangor Batu Dua FC pula menang mudah 4-0 ketika berdepan NPNG FC Damansara Damai FC [suku akhir] dan kemudiannya mengecewakan MBSA FC di separuh akhir hasil kemenangan 1-0.
Pemain tumpuan
Persefahaman yang kuat antara Chukwu Nnabuike dan Jacque Faye sekiranya diturunkan nyata bakal menjadi masalah buat barisan pertahanan Kingstown Klang FC pada perlawanan petang ini.
Hanya beraksi pada tiga perlawanan daripada sembilan aksi dilalui Kuala Selangor Batu Dua FC, Chukwu Nnabuike berjaya menjaringkan empat gol serta mencipta satu bantuan jaringan.
Di kem Kingstown Klang FC pula menyaksikan pemain sayap kiri, Shah Azman Ekmal Saleh mampu untuk memberikan kelainan buat pasukan tersebut.
Kelincahan pemain yang pernah dipanggil menyertai latihan pusat skuad futsal kebangsaan seringkali mengkucar-kacirkan jentera pertahanan pasukan lawan.
Yang pastinya, aksi menarik bakal ditampilkan kedua-dua pasukan pada perlawanan ini.
Hari Bola Sepak Selangor 2019
Bagi anda yang berkelapangan, jangan ketinggalan untuk memeriahkan Hari Bola Sepak Selangor 2019 yang bermula pada jam 10.00 pagi ini.
Terdapat pelbagai aktiviti yang dirangka pihak penganjur dan antara yang bakal mencuri tumpuan ialah majlis memperkenalkan pemain skuad Liga Super Selangor 2020.
Jumpa anda di Stadium Shah Alam!