Pemain bintang Indonesia yang kini beraksi di Jepun, Pratama Arhan disahkan bakal memperkuatkan skuad kebangsaannya untuk aksi persahabatan selepas ini menentang Curacao.
Dua perlawanan antarabangsa tersebut bakal berlangsung pada 24 dan 27 September ini dengan misi Indonesia untuk menggunakan aksi persahabatan ini sebagai medan untuk menguji para pemain mereka.
Kenyataan Arhan untuk menyertai skuad kebangsaan itu disahkan sendiri oleh pemain tersebut menerusi pertemuan secara maya bersama Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) iaitu Mochamad Iriawan, semalam.
Perbincangan kedua individu tersebut dikongsikan sendiri oleh Iriawan di Instagram beliau semalam dan mendapat reaksi positif daripada penyokong Indonesia mengenai pemain tersebut.
“Saya disini sihat sahaja. Saya boleh beraksi untuk perlawanan ini dan diizinkan oleh kelab, Tokyo Verdy,” jelas Arhan kepada Iriawan menerusi video yang dikongsikan tersebut.
Pemain muda berbakat itu juga menjelaskan dirinya berkemungkinan akan berlepas dari Jepun ke Indonesia pada 18 September ini untuk menyertai sesi latihan pasukan.
“Kemungkinan besar saya bakal bertolak pada 18 September. Apapun setibanya di Jakarta nanti saya akan bertemu tuan dahulu,” jelas Arhan kepada Iriawan menerusi petikan CNN Indonesia.
Pada masa sama, Arhan juga menyatakan dirinya setakat ini berada dalam keadaan baik dan selesa di Jepun bersama Tokyo Verdy.
Setelah tonggak pertahanan Indonesia ini pasti akan beraksi buat pasukan kebangsaan, maka boleh dikatakan Shin Tae-yong pastinya mempunyai lebih banyak pilihan dari segi para pemain untuk perlawanan persahabatan ini.
Selain beliau, Indonesia masih lagi mempunyai pemain-pemain lain yang sangat bagus beraksi di luar negara seperti Elkan Baggott, Witan Sulaeman, Egy Maulana Vikri, serta Asnawi Mangkualam.
Namun, Tae-yong terpaksa melupakan khidmat pemain warisan baharu mereka iaitu Jordi Amat dan Sandy Walsh, apabila kedua tonggak tersebut masih lagi dalam proses pendaftaran untuk mendapat kerakyatan.
Dua aksi persahabatan menentang Curacao ini, mereka bakal beraksi pada 24 dan 27 September dengan terlebih dahulu berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA).
Untuk aksi kedua, pada awalnya perlawanan tersebut bakal berlangsung di Jakarta International Stadium (JIS), namun disebabkan beberapa faktor, lokasi tersebut terpaksa diubah.
Dua lokasi yang dicadangkan untuk perlawanan tersebut ialah Stadium Pakansari, Cibinong Bogor, atau Stadium Patriot Bekasi mengikut keadaan.