Baru baru ini, pihak JDT telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka terpaksa menjual Jorge Pereyra Diaz kerana ada tawaran yang baik daripada kelab lain.
Pada masa yang sama, mereka juga tidak mampu menurut kehendak Diaz yang dilaporkan meminta gaji yang lebih tinggi. Ia sangat berkait rapat dengan isu kawalan gaji dalam pengurusan JDT.
Dari satu sudut, ia kelihatan agak kejam kerana pemain tersebut telah menjadi pemain penting dalam kempen mereka musim lalu.
Ini adalah teori dan penilaian kami tentang situasi tersebut.
Kenapa Pemain Meminta Gaji Lebih?
Pemain bisanya akan meminta gaji lebih besar selepas merasakan mereka masih atau sangat diperlukan oleh kelab. Berdasarkan persembahan Diaz musim lalu, rasanya itu sudah dijangka.
Beliau menjadi pemain penting dalam skuad JDT untuk memenangi 2 Piala Domestik dan satu Gelaran Sumbangsih (Perisai Komuniti).
Seterusnya adalah, isu seperti bayaran ejen dan juga isu cukai pendapatan. Untuk pemain import sudah pasti semua aspek kos boleh ubah dan kos tetap (variable & fixed cost) akan lebih tinggi.
Berdasarkan usia, Diaz akan menjengah usia 27 tahun dan ia merupakan usia kemuncak untuk kebanyakan pemain mendapat gaji tertinggi berdasarkan kajian Simon Kuiper.
Diaz jelas dalam peringkat peak terbaik dan tidak ada rekod kecederaan yang serius ataupun berterusan (prone). Beliau adalah pemenang kasut emas MSL musim lalu.
Jadi, hujah tersurat di atas sudah cukup melayakkan beliau untuk meminta gaji lebih besar dalam kontrak baru.
Pertimbangan Kelab
Berdasarkan kenyataan dari pihak JDT, mereka memamng mahu mengekalkan pemain tersebut namun terpaksa tidak meneruskan hajat tersebut kerana tidak mampu memenuhi permintaan Diaz.
Mereka juga menyatakan, ada tawaran dari luar untuk membeli pemain ini. Jadi, saya simpulkan Diaz masih ada baki kontrak yang membolehkan JDT berhak untuk menjual beliau.
Jika Diaz tamat kontrak, rasanya JDT tidak berhak untuk bercakap tentang isu menjual pemain. Jadi, dapat disimpulkan mereka melakukan transaksi awal untuk sebarang potensi kehilangan pemain ini.
Dari segi bayaran gaji, ia memang biasa berlaku di dalam pengurusan. Setiap pasukan pasti ada kawalan yang menetapkan jumlah perbelanjaan untuk gaji pemain.
JDT sedang giat membawa masuk beberapa muka baru yang sudah pasti menelan kos tersendiri. Dalam pada masa yang sama mereka juga menggariskan isu perbelanjaan pasukan pada musim baru.
Kekangan di Malaysia adalah, kita bukanlah negara yang benar-benar boleh menjana berpuluh juta ringgit setahun seperti daripada hasil hak penyiaran, penjualan barangan rasmi dan kutipan hari perlawanan.
Langkah terlalu emosional dalam pemberian gaji kepada pemain memang harus dikawal sebaik-baiknya. JDT dalam usaha untuk memastikan akaun mereka kekal seimbang.
Impak lain jika gagal membayar gaji pemain mengikut terma kontrak yang dipersetujui termasuk tindakan oleh badan bola sepak dunia. Ia akan mencemarkan imej JDT.
Penilaian Kami
Kedua-dua pihak ada alasan yang munasabah untuk mempertahankan kehendak dan keperluan masing-masing. Namun kami lebih merasakan JDT telah membuktikan tidak ada pemain yang harus lebih besar daripada kelab.
Kelab berhak untuk membuat keputusan ke atas pemain yang masih dalam kontrak. Mereka juga lebih arif tentang kawalan perbelanjaan kelab mereka.
Adalah normal juga untuk pemain kecewa dengan kegagalan mendapat kontrak yang dikehendaki.
Dari sudut yang lain, ia seakan-akan mewujudkan situasi menang-menang. Diaz mungkin akan mendapat kelab yang mahu menepati kehendak gaji yang diminta.
JDT sudah pasti tahu akan impak yang ditinggalkan oleh Diaz. Mario Gomez jelas sangat bergantung kepada The Pocket Man ini musim lalu.
Ketiadaan Diaz bermakna, beliau perlu mencari solusi siapakah yang akan menggalas tugas hakiki di zon 14. Perubahan sistem mungkin akan memberikan impak lebih besar kerana Gomez jelas sudah menanam DNA 4-4-1-1 dalam skuad JDT.
Yang pasti, Diaz antara pemain import terbaik yang pernah beraksi dalam jersi JDT dan juga dalam Liga Malaysia.
Baca juga : Pra Musim MSL 2017: Kehilangan Nazmi Faiz, Selangor Perlu Cari Pengganti Segera!