Quantcast

BERITA

Pra-Kelayakan Piala Dunia: Malaysia Beraya 7 Gol Atasi Timor Leste

Perlawanan pra-kelayakan Piala Dunia dan juga kelayakan Piala Asia di antara Malaysia dan Timor Leste berakhir dengan kemenangan besar 7-1. Ini merupakan perlawanan pertama melibatkan kedua dua pasukan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe terlalu hebat untuk ditandingi oleh Timor Leste pada malam ini. Malaysia menguasai 69% perlawanan dan sangat tajam di hadapan gol.

Malaysia di hadapan menerusi Corbin Ong pada minit ke-12 – selepas menerima hantaran Safawi Rasid dengan kaki luar.

Ini diikuti oleh jaringan Shahrel Fikri pada minit ke-23. Beliau yang tak dikawal dengan mudah menolak bola ke gawang. Kredit kepada permainan kombinasi antara Sumareh, Davies dan Safawi Rasid.

Harimau Malaya terus menambah gol pada minit ke-43 menerusi Norshahrul Idlan Talaha.

Sebelum wisel rehat dibunyikan, Malaysia sempat menambah 1 lagi gol pada minit ke-45 menerusi Safawi Rasid. Beliau seakan-akan menebus kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti.

Ini membolehkan skuad kebangsaan selesa masuk ke bilik persalinan dengan keputusan 4-0.

Bermula pada separuh masa kedua, Timor Leste cuba memperbaiki rentak permainan mereka. Hasilnya, mereka memanipulasi kesilapan pertahanan dengan gol pertama pada minit ke-52 menerusi Joao Pedro.

Malaysia hampir juga melepaskan satu lagi gol kepada Timor Leste selepas itu namun mujurlah berjaya dihadang oleh pertahanan Malaysia.

Pada minit ke-59, Malaysia menambah 1 lagi gol hasil daripada umpanan Sumareh yang dirembat deras oleh Safawi Rasid.

Pemain gantian, Faiz Nasir menambah 1 lagi gol antarabangsa beliau. Namun kali ini dengan gaya tersendiri, beliau melakukan voli deras selepas menerima hantaran Matthew Davies.

Ketika perlawanan seolah-olah berakhir 6-1, Akhyar Rashid meletakkan nama beliau sebagai penjaring.

Tamat perlawanan, Malaysia 7 dan Timor Leste 1. Perlawanan kedua melibatkan kedua-dua pasukan adalah Selasa akan datang.