“Power Ke Main Di Jepun?” – Klausa Perpindahan Dan Pendapatan Chanatip Di J-League Sejak 2017

“Power ke main di Jepun?” Itu antara pertanyaan yang kami perolehi hari ini apabila berita perpindahan kapten Thailand, Chanatip Songkrasin dari Consadole Sapporo ke Kawasaki Frontale disiarkan.

Tidak kurang juga ada di kalangan pembaca yang memberi komen bernada skeptikal, bertanggapan pemain tidak perlu beraksi di luar kerana bayarn gaji di saingan Liga Malaysia sudah cukup tinggi.

Ada juga yang berpendapat apalah sangat beraksi di J-League berbanding di Eropah. Tatkala kita asyik dan khusyuk dengan nada sarkastik – yang sering menghantui bola sepak kita sejak turun temurun, mungkin ada yang lupa perkara terutama ialah sejauh manakah pengalaman yang mampu diperolehi ketika beraksi di luar negara. Atau sejauh manakah seseorang pemain itu mampu memberikan sumbangan kepada pasukan kebangsaan hasil pengalaman yang diraih?

Kita semua tahu tidak mudah bagi pemain dari rantau ini, khususnya pemain tempatan kita sendiri untuk berkelana di luar negara kerana pelbagai sebab atau alasan.

Namun jika wang yang menjadi penanda aras, maka perkongsian daripada media Thailand ini mengenai klausa perpindahan, dan pendapatan Chanatip sejak berhijrah ke Jepun pada 2017 ini maka wajar semua pihak ambil tahu.

Dari Thailand ke Jepun

Sebelum kita pergi lebih jauh, kita ikuti perjalanan karier Chanatip Songkrasin secara ringkas sehingga boleh menarik perhatian kelab berstatus gergasi Asia seperti Kawasaki Frontale.

Seperti mana pemain Thailand yang lain, karier profesional Chanatip juga bermula bersama kelab tempatan, iaitu BEC Tero Sasana pada 2012. Dianggap sebagai antara bakat muda Thailand berpotensi besar pada ketika itu, Chanatip pernah dipanggil untuk menghadiri ujian percubaan pada 2013 bersama Shimizu S Pulse, namun gagal meyakinkan kelab Jepun tersebut pada ketika itu.

Chanatip kemudiannya terus beraksi di Liga Thai dan menyertai Muangthong United pada 2016. Hanya setahun selepas itu, Chanatip mengambil langkah berani kembali ke Jepun untuk menyertai Consadole Sapporo secara pinjaman.

Merupakan pemain termuda pernah memenangi gelaran Piala AFF pada 2014, ia tidak menghairankan mengapa Sapporo boleh mengikuti bakat pemain ini. Tetapi beliau berjaya meyakinkan Sapporo untuk menandatangani beliau selepas pusingan akhir perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Asia di antara Jepun dan Thailand.

Walaupun Thailand tewas 2-0 dalam perlawanan  pada 28 Mac 2017 itu, kesungguhan Chanatip dan keinginan beliau untuk beraksi di Jepun dalam sidang media selepas perlawanan menyebabkan Sapporo tidak membuang masa menyambar pemain tersebut.

Ramai bertanggapan Sapporo hanya menandatangani Chanatip untuk tujuan komersil semata-mata. Ini kerana Chanatip adalah pemain paling popular di Thailand, dan ini memudahkan kelab Jepun itu mendapatkan tajaan.

Ini menyebabkan jumlah perlawanan Chanatip pada musim pertamanya di Jepun terhad kepada 11 perlawanan sahaja – tetapi secara perlahan-lahan Chanatip juga mulai meyakinkan jurulatih dengan kemampuan beliau di atas padang.

Chanatip tidak memandang ke belakang lagi selepas itu. Perpindahan daripada Muangthong United yang pada mulanya sebagai pemain pinjaman akhirnya dijadikan perpindahan tetap pada 2019.

Berapkah pendapatan Chanatip di Jepun?

Sebuah portal sukan di Thailand, Siam Sports mendedahkan klausa perpindahan yang perlu dibayar Kawasaki Frontale kepada  untuk mendapatkan khidmat pemain dengan jolokan nama ‘Messi Thailand’ itu.

Menurut portal tersebut, Kawasaki Frontale harus membayar sekitar USD3.8 juta (bersamaan RM16.2 juta) yang terkandung di dalam kontrak pemain itu sebagai klausa untuk perpindahan tersebut direalisasikan.

Kesanggupan Kawasaki Frontale membayar nilai tersebut menjadikan Chanatip pemain termahal di dalam sejarah bola sepak Thailand – selain perpindahan termahal domestik yang pernah berlaku di J-League.

Perpindahan tersebut sekali gus menjadikan Chanatip Songkrasin sebagai sensasi terkini bola sepak Jepun. Kawasaki Frontale dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang terkenal dengan gelaran ‘Messi Thailand’ itu untuk memperkuatkan bahagian serangan pasukan untuk saingan musim baharu dan untuk saingan ACL Champions League.

Pemergian pemain penyerang, Rio Hatate yang berhijrah ke Celtic baru-baru ini juga mendorong Kawasaki Frontale untuk segera menyambar khidmat Chanatip.

Berapakah bayaran diperolehi Chanatip sebelum ini?

Tidak dapat dipastikan apakah kandungan kontrak di antara Chanatip dan Kawasaki Frontale. Namun laporan yang sama dari Thailand turut berkongsi pendapatan pemain itu ketika bersama Consadole Sapporo sejak 2017.

Bermula dengan kontrak selama 6 bulan pada 2017, Chanatip dipercayai mendapat bayaran sebanyak 289,657 bath, atau bersamaan dengan RM36, 230 sebulan. Ini bermakna pada tahun pertama beraksi di J-League, Chanatip berjaya mengumpul sebanyak RM217,380.

Jumlah pendapatan Chanatip Songkrasin seperti yang didedahkan oleh portal dari Thailand.

Pendapatan pemain itu menunjukkan peningkatan pada setiap musim selepas itu. Pada 2019, pendapatan Chanatip telah meningkat kepada RM90,577 sebulan menjadikan pendapatan keseluruhan pada tahun itu bernilai RM1.1 juta.

Pada musim terakhir bersama Consadole Sapporo, Chanatip sudah dianggap sebagai antara pemain utama dan senior pasukan dan menerima bayaran RM120552 sebulan. Ini bermakna pendapatan Chanatip daripada gaji sahaja sudah bernilai RM1.4 juta pada tahun 2021.

Menurut laporan tersebut juga, Chanatip sebenarnya mendapat jumlah bayaran yang lebih tinggi daripada yang dinyatakan kerana apa yang dikongsikan belum lagi termasuk bayaran bonus perlawanan, dan sign-up fee ketika menandatangani kontrak.

Secara keseluruhan pendapatan Chanatip sejak lima tahun lalu di Jepun kini menjangkau nilai tidak kurang RM4.5 juta.

Rumusan

Jadi power atau tak bermain di Jepun? Gaji permulaan Chanatip di J-League mungkin agak kecil, dan boleh dikatakan menyamai pendapatan segelintir gaji pemain di Liga Malaysia.

Namun hasil usaha keras Chanatip berjaya menjadikan beliau sebagai salah seorang pemain berpendapatan tinggi. Bayangkan peningkatan gaji yang beliau perolehi di Kawasaki Frontale pula.

Kelab baharu sudah pasti akan datang dengan kontrak baharu. Kami harap artikel ini mampu menjawab pertanyaan sebahagian pembaca kami.

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN