Ketua Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini berkata satu-satunya cara untuk mengelak pemain dari memberikan penalti kerana kesalahan bola terkena tangan hanyalah dengan cara memotong tangan mereka.
Jurulatih berusia 62 tahun itu ternyata tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil menganugerahkan dua sepakan penalti kepada Juventus ketika pasukannya seri 2-2 dalam perlawanan Serie A di Stadium Allianz.
Kemarahan Gasperini tidak dapat dibendung apabila pasukannya bolos kedua-dua gol menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Cristiano Ronaldo walaupun pasukannya dua kali mendahului perlawanan.
Ronaldo tucks away his second penalty! Another handball by Atalanta, this time Luis Muriel on the edge of the box. Juventus 2-2 Atalanta. Atalanta nearly secured 2nd place had the result held, but CR7 spoiled their party. Crazy pic.twitter.com/rhJxLINQnI
— Lilian Chan (@bestgug) July 11, 2020
Kedua-dua insiden bola terkena tangan itu ternyata berlaku tanpa disengajakan. Pertama Marten de Roon dan kemudian Luis Muriel, tetapi disebabkan posisi tangan dua pemain Atalanta itu, pengadil telah memberikan penalti berdasarkan peraturan baharu.
“Sampai bila kita nak teruskan peraturan seperti ini? Saya rasa hanya di Itali sahaja begini. Apa kita nak buat? Potong tangan semua pemain?,” kata Gasperini dalam sidang media selepas perlawanan.
“Ini bukan kali pertama penalti diberikan seperti ini, sebelum ini pun dah banyak. Adakah peraturan itu ditafsir sama seperti liga-liga lain di seluruh dunia? Saya rasa kita perlu nilai semula cara mentafsir peraturan tersebut.”
Gian Piero Gasperini was ‘very happy with the performance and very disappointed not to have won’ a 2-2 draw with Juventus, as the Atalanta coach was irritated by the ‘interpretation of handball’ in Italy https://t.co/w1Q5sIKGpm #Juventus #Atalanta #SerieA #JuveAtalanta #UCL #PSG pic.twitter.com/S59GYm4hEx
— Football Italia (@footballitalia) July 11, 2020
Keputusan seri tersebut mengekalkan Atalanta di tangga ketiga liga, sembilan mata di belakang pendahulu, Juventus dengan saingan berbaki enam perlawanan.
“Kami bermain dengan cukup baik malam ini walaupun berdepan dengan pendahulu liga di tempat lawan. Saya sangat gembira dengan prestasi pasukan tetapi amat kecewa tidak dapat meraih kemenangan.”
Bagaimanapun Gaseperini berkata beliau yakin jika Atalanta dapat merapatkan jurang dengan Juventus kepada enam mata, belum tentu pasukannya mampu untuk muncul juara liga.
“Kejuaraan Juve itu tak mungkin dapat dicabar. Saya percaya Scudetto masih jauh dari kemampuan kami, tetapi untuk kami dapat memberi saingan kepada mereka sudah cukup baik. Tambahan pula kami akan menghadapi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah tidak lama lagi, jadi kami perlu bersedia.”
Atalanta telah diundi bertemu Paris Saint-Germain di peringkat suku akhir yang akan berlangsung secara kejohanan mini di Lisbon tanpa perlawanan timbal balik.